Ahad, 17 September 2017

Tujuan Orang Mu'min Menziarahi Kubur



Tujuan orang-orang Mu'min menziarahi kubur:

1) Untuk mengingati hari Akhirat, mengambil iktibar dan pengajaran darinya.

2) Untuk membuat kebaikan kepada ahli kubur dengan mendoakan mereka, memohon keampunan, kerahmatan dan kebaikan kepada mereka.

3) Untuk membuat kebaikan kepada diri sendiri dengan mengikut sunnah Nabi (صلى الله عليه وسلم) yang menziarahi kubur dan berhenti setakat apa yg dilakukan oleh Nabi sahaja ketika menziarahi kubur.


(إغاثة اللهفان من مصايد الشيطان لابن قيم الجوزية رحمه الله)

Sabtu, 16 September 2017

قاعدة نافعة في الحفظ والفهم


:قال الشيخ د. صالح بن عبدالله بن حمد العصيمي حفظه الله 
القاعدة النافعة في الحفظ: رفع الصوت،
والقاعدة النافعة في الفهم: خفض الصوت
لأن الإنسان إذا أراد أن يحفظ شيئا فرفع صوته اجتمع على الحفظ: عينه وأذنه؛ فكان ذلك أقدر في حفظه للعلم، وإذا أراد الفهم خفض صوته؛ لأنه بخفض الصوت يجمع قلبه على المطلوب فيدرك معناه
فهذه هي الجادة التي ينبغي أن تسلكها إذا أردت حفظا أو أردت فهما
(شرح كتاب : تعليم المتعلم طرق التعلم, ص.86)

Jumlah Ibadah Umrah dalam Satu Permusafiran ke Mekah; Yang Terbaik dan Yang Harus


Yang terbaik adalah melakukan ibadah umrah sekali sahaja untuk setiap kali permusafiran ke Mekah kerana ia seperti apa yang telah dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم.

Adapun melakukan ibadah umrah lebih daripada sekali untuk satu permusafiran ke Mekah, hukumnya harus dan tidak mengapa kerana terdapat riwayat daripada para salaf telah melakukannya.

Sheikh Saad Turki al-Khaslan Hafizahullah, 
Pengajian di Masjidil Haram Mekah al-Mukarramah.

Jumaat, 15 September 2017

Memakai Jam Tangan; Yang Manakah Lebih Afdhal, Tangan Kanan atau Tangan Kiri?


"Harus memakai jam tangan di sebelah tangan kanan atau kiri, kerana sesungguhnya telah sabit daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bahawasanya Baginda adakalanya memakai cincin di sebelah kanan dan di waktu yang lain telah memakainya di sebelah kiri dan ini menunjukkan kepada keluasan dalam perkara ini. Jam tangan juga seperti cincin; tidak mengapa memakainya di sebelah kanan mahupun kiri" 

- Sheikh Abdul 'Aziz bin Baz Rahimahullah-



"Tidaklah lebih utama memakai jam pada tangan kanan berbanding dengan memakainya pada tangan kiri. Ini kerana jam tangan menyerupai cincin; maka tiada bezanya sama ada memakainya di sebelah kanan mahupun kiri, bahkan tidak syak lagi memakainya di sebelah kiri lebih memudahkan bagi sebahagian manusia dari segi pergerakan dan untuk melihat kepada jam tersebut. Ia juga pada kebiasaanya lebih selamat kerana tangan kanan pada kebiasaanya lebih banyak pergerakan daripada tangan kiri. Maka, ia lebih berisiko berbanding memakainya di sebelah kiri.

Perkara ini adalah suatu perkara yang luas. Janganlah dikatakan sesungguhnya bahawa sunnah memakai jam tangan di sebelah kanan kerana telah datang sunnah memakai cincin di sebelah kanan dan kiri dan jam tangan menyerupai cincin dalam perkara ini" 

-Sheikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin Rahimahullah-

Jumaat, 20 Januari 2017

Adakah Kita Benar-Benar Mengenali Ibu Kita Sendiri?

Di tengah-tengah pengajian hadith daripada kitab Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, Sheikh Muhammad Abdullah al-Khudair Hafizahullah telah bertanyakan kepada kami, siapa antara kamu yang tidak mengenali ibu sendiri?
Semua menjawab, mestilah kami mengenali ibu kami sendiri.
Ok, kalau macam tu siapa antara kamu yang ingat kesemua nama Isteri Nabi (صلى الله عليه وسلم) beserta dengan nasab mereka hingga ke datuk setiap isteri-isteri Nabi tersebut? (orang Arab sangat mementingkan nasab keturunan)
Kami semua terdiam.
Sheikh Muhammad al-Khudair bertanya lagi, bukankah mereka itu ibu-ibu kamu dan ibu-ibu umat Islam semuanya?
Beliau menamatkan 'pukulan' pada pagi tersebut: Jika diberikan senarai nama-nama pemain bola, kamu semua dapat mengenali dan membezakan sama ada pemain itu bermain di kelab al-Hilal, al-Ittihad, an-Nasr dan kelab-kelab lain (kelab-kelab bola sepak di Arab Saudi).
Namun, sayangnya nama ibu-ibu kamu sendiri kamu tak kenali.
Kami semua terus terdiam. Pukulan yang sangat padu dikenakan kepada kami pada pagi tersebut.
*Sheikh Muhammad bertanyakan soalan tersebut apabila kami bertemu dengan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, 'Aisyah (رضي الله عنها).

Perkara-Perkara yang Boleh Mengangkat Dosa-Dosa yang Telah Dilakukan



Dosa yang telah dilakukan boleh terangkat disebabkan oleh:


1. Taubat
2. Istighfar
3. Amalan-amalan soleh yang menghapuskan amalan-amalan jahat
4. Musibah yang menghapuskan dosa
5. Syafaat yang diberikan
6. Rahmat dan kasih sayang Allah.

Sumber: 
Kitab:رفع الملام عن الأئمة الأعلام 
Karangan: أبو العباس تقي الدين أحمد ابن تيمية رحمه الله

Tidak Semudah Itu untuk 'Delete' dan 'Edit'


Kita mungkin mampu 'delete' dan 'edit' status atau komen yang kita telah terlanjur menulisnya, namun tidak semudah itu untuk kita 'delete' dan 'edit' kesilapan yang mungkin kita telah lakukan kepada Dia atau individu atau kelompok tertentu atas tulisan kita tersebut tanpa bertaubat dan meminta maaf kepada mereka yang terbabit.

Percayalah, kita tidak pernah rugi jika kita mengambil sedikit masa untuk berfikir atas apa yang akan kita tulis dan sebutkan. Timbanglah ia diatas neraca dosa dan pahala sebelum menulis.

Semoga laman sosial menjadi wasilah yang memberatkan amal soleh kita, bukannya wasilah yang membawa kita kepada muflis di akhirat kelak.

الله المستعان.

Syuhada', Ulama', Qurra' dan Dermawan yang Dihumban ke Dalam Api Neraka


Antara golongan yang terawal diadili di hari qiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. 
Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu berjuang untuk digelar pejuang yang berani".
Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan al-Quran keranaMu ".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".
Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Tidak ada sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan".
 Lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
(Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)

Muhasabah untuk kita semua.

Setiap amalan akan dinilai berdasarkan niatnya walaupun pada zahirnya ia menepati Syariat dan merupakan satu amalan yang besar ganjarannya.

Niat boleh menjadikan sesuatu amalan besar itu menjadi kecil dan tidak berguna, namun niat juga mampu menjadikan satu amalan yang kecil itu sangat besar nilaiannya di sisi Allah.

Golongan Munafiq; Bilakah mereka mula muncul dalam masyarakat Islam?

Bilakah golongan Munafiq mula muncul dalam sejarah umat Islam?

Golongan Munafiq belum wujud sebelum hijrahnya Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم) ke Madinah sehingga setelah kejadian Peperangan Badar al-Kubra.

Setelah kemenangan bersejarah umat Islam dalam peperangan Badar al-Kubra, sebahagian daripada manusia menampakkan keislaman mereka kerana takut, dan untuk menjaga darah dan harta mereka. Mereka inilah golongan Munafiq yang lahir di tengah-tengah masyarakat Islam.

Mereka menampakkan keislaman mereka secara lahiriyah, padahal pada hakikatnya, mereka bukanlah dari kaum Muslimin. Sejak dari itu, golongan Munafiq sentiasa wujud dalam masyarakat Islam sehinggalah ke hari ini.

Semoga kita dijauhkan daripada tergolong dalam golongan Munafiq, baik Munafiq dari segi iktiqad mahupun akhlak, ataupun cenderung kepada golongan Munafiq dan membantu mereka. Na'uzibillahi Min Zalik.


-Tafsir ayat ke 8 & dan 9 Surah al-Baqarah daripada kitab:
 "تفسير الكريم الرحمن في تفسير كلام المنان"
, karangan: الشيخ عبد الرحمن بن ناصر السعدي رحمه الله. 

Isnin, 17 Ogos 2015

Mengapa Harus Ada Rasa Ragu Dengan Sirah Nabi?


Ulama' berselisih pendapat tentang usia sebenar 'Aisyah (رضي الله عنها) ketika berkahwin dan mula tinggal bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم)). 

Apa yang pasti, umur Aisyah jauh lebih muda daripada umur Baginda ketika itu. Suatu jarak usia yang kelihatannya mustahil terjadi di zaman ini.

Perbezaan ini adalah antara hujah yang digunakan oleh orientalis dan pemikir-pemikir Barat untuk menyerang Islam dan menanamkan keraguan ke dalam jiwa umat Islam. Bahkan, tidak kurang umat Islam sendiri dari pelbagai aliran turut terpengaruh dengan serangan ini.

Mereka sebenarnya mungkin terlepas pandang atau buat-buat tidak nampak akan 'critical point' dalam isu ini, iaitu adat setempat pada zaman tersebut.

Kita sedia maklum yang kaum Musyirikin Mekah, puak Munafiq Madinah dan kaum Yahudi adalah penentang utama kepada Rasul dan sahabat-sahabat Baginda. Namun, pernahkah kita mendengar mereka menggunakan hujah jarak umur Nabi dengan isteri Baginda sebagai senjata untuk menyerang Nabi dan menanamkan keraguan kepada pengikut Baginda?

Tidak pernah.

Mereka adalah golongan yang paling membenci Nabi dan lebih mengenali Nabi. Jika 'point' itu cukup kuat untuk mencacatkan peribadi Nabi, mereka pasti lebih awal menggunakannya seperti mana mereka mengatakan Nabi menggunakan sihir, mahukan kekuasaan dan dakwaan-dakwaan lain.

Mereka tidak gunakan 'point' tersebut kerana perkahwinan dalam jarak usia tersebut adalah normal bagi masyarakat Arab ketika itu. Kita juga boleh melihat jarak usia sesetengah Sahabat dengan isteri-isteri mereka yang juga mempunyai jurang usia yang besar. Contohnya, Umar al Khattab رضي الله  عنه)) telah berkahwin dengan anak perempuan Ali bin Abi Tolib (رضي الله  عنه) yang bernama Umm Kalthum sedangkan kita sedia maklum bahawa jarak umur Ali jauh lagi muda dengan Umar, apatah lagi umur Umm Kalthum yang merupakan anak kepada Ali. Jaraknya pasti lebih jauh.  

Adat setempat boleh berubah-ubah mengikut tempat, zaman dan keadaan. Islam meraikan adat setempat selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.

Kita tidak pernah menyangkal mahupun pelik apabila mendengar cerita yang nenek moyang kita berkahwin dan bersalin pada usia awal belasan tahun dan menjadi datuk atau nenek pada usia seawal 20an, namun kita juga mengakui situasi tersebut mungkin sudah tidak sesuai di zaman ini.

Jika jarak masa beberapa generasi sahaja telah menghasilkan adat dan gaya hidup yang sangat berbeza, bagaimana dengan jarak ribuan tahun yang memisahkan zaman kita dan zaman tersebut?

Mengapa perlu ada rasa ragu dengan kisah Nabi yang jarak zamannya beribu tahun jauh dari zaman kita?