Alhamdulillah, setelah beberapa hari tiba di sini, kami hampir dapat menyesuaikan diri dengan putaran masa di Des Moines. Cuaca di sini tidak menjadi masalah yang besar kepada kami kerana suhu pada musim panas di sini hampir menyamai suhu di Malaysia. Cumanya, kami tidak berpeluh walaupun cuaca amat panas di sini. Panasnya adalah panas kering. Berbeza dengan Malaysia yang panasnya adalah panas lembap.
Kami juga tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan komuniti Muslim di sini. Mereka sangat ramah dan rajin bertegur sapa. Antara perkataan yang 'wajib' keluar dari mulut komuniti Muslim di sini apabila bertemu adalah ucapan Salam dan 'How are you? disertai dengan senyuman. Mereka semua sangat bersedia untuk membantu jika ada sebarang masalah dan sering bertanya sama ada kami ada masalah atau tidak sepanjang berada di sini.
-Roti Arab bersama dengan Gyro berserta sedikit sayur. Lengkap sumber daripada Karbohidrat, Protein dan Serat-
-Mexico Bun-
Kami juga lansung tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan makanan di sini. Sehingga hari ini, pelbagai jenis makanan yang telah dihidangkan kepada kami. Masakan gulai kambing Pakistan, daging Gyro Amerika, manisan Mesir, real 'Mexico' bun, manisan Pakistan, Nasi Bosnia, Susu Segar (Whole Milk) Des Moines, strawberi, jagung, epal, meatball Amerika dan pelbagai lagi. Limpahan makanan yag disediakan kepada kami setiap hari telah menghilangkan buat sementara waktu kerinduan kami terhadap masakan Malaysia. Syukur Ya Rabb!
Difahamkan, pelbagai lagi variasi makanan akan dapat dilihat apabila Ramadhan menyinggah. Masing-masing akan membawa makanan tradisi mereka dan akan dijamu bersama untuk hidangan berbuka dan bersahur. Bulan Ramadhan adalah waktu yang paling meriah di sini kerana setiap keluarga Muslim akan berkumpul pada waktu berbuka puasa dan akan berbuka puasa serta menunaikan Solat Sunat Terawih bersama-sama.
Makanan di sini sedikit berbeza dengan makanan di Malaysia. Penduduk Amerika lebih mementingkan aspek kesihatan dalam makanan berbanding penduduk Malaysia. Susu segar amat mudah didapati dan harganya agak murah berbanding di Malaysia (cumanya nilai tukaran duit di sini yang menyebabkan harganya agak tinggi jika ditukarkan kepada duit Malaysia). Minyak masak yang digunakan di sini adalah minyak jagung. Roti dan buah-buahan adalah antara makanan utama di sini. Minuman utama di sini adalah jus buah-buahan selain daripada susu segar. Semua makanan boleh didapati dalam keadaan segar di samping tahap 'hygiene' yang tinggi di sini.
Terima kasih kepada Uncle Muhammad Wahid dan Aunty Betty serta komuniti Muslim yang lain yang tidak putus-putus membekalkan kami makanan yang pelbagai sehinggakan kadang-kadang kami tidak mampu menghabiskannya. Terima kasih juga kepada Amirul (pelajar Malaysia) yang sering menemani kami ketika makan malam di samping menjadi 'pondok pertanyaan' kami mengenai urusan di sini. Terima kasih juga kepada keluarga Muhammad (berasal daripada Mexico, asalnya beragama Kristian) yang kadang-kadang membantu menghabiskan makanan-makanan kami dan memperlawa kami merasai makanan anda.
Setakat ini dahulu catatan untuk kali ini. Sekian.
10.58 am (29/7/2011),
Masjid Noor,
1117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan