Bertemu dengan Jumaat pertama di sini, memberikan pengalaman yang amat berharga kepada kami. Selepas hampir seminggu kami di sini, akhirnya kami bertemu dengan wajah-wajah komuniti Muslim di sini yang pelbagai. Pelbagai warna kulit dan latar belakang Muslim di sini; Bosnia, Pakistan, India, mesir, Somalia, Sudan, Amerika Syarikat & banyak lagi. Semua disatukan atas satu payung pegangan, iaitu Islam. Inilah wajah Islam yang sebenar. Islam adalah untuk semua, tidak kira apa jua bangsa, keturunan dan pangkat.
Hanya 1 azan untuk solat Jumaat di sini. Khutbah yang bertenaga telah disampaikan oleh Imam Afrah. Khutbah disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris. Hari ini juga kami didatangi oleh jemaah Tabligh. Kedatangan mereka menambahkan lagi zariasi jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat di sini. Jemaah Tabligh yang hadir adalah penduduk Amerika Syarikat yang berasal daripada negara Turkuminestan, Kurdistan, Tajikistan, Pakistan, Uzbekistan dan banyak lagi.
Seusai solat, alhamdulillah seorang warga Amerika Syarikat secara rasmi mengucap dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Mr Wahid Khan. Selesai majlis tersebut, laungan takbir, Allahu Akbar dilaungkan dan disambut oleh jemaah lain. Bertambah seorang lagi Muslim di bumi Allah ini.
Setelah itu, semua jemaah Masjid menjamu selera Nasi Briyani / Mandy Somalia secara beramai-ramai di bahagian dapur masjid.
2 hari lagi menjelang Ramadhan. Tugas sebenar kami akan bermula walaupun tugas-tugas kecil telah ditugaskan kepada kami sejak kami mula tiba di sini lagi. Ya Allah, permudahkan segala urusan hamba-hambamu ini!
Selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya. Ramadhan yang sama, natijahnya yang berbeza.
11.13 am (30/7/2011),
Masjid Noor,
1117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.
1 ulasan:
selamat berpuasa di perantauan..
pasti lebih banyak mujahadahnya bila berpuasa di sana.. (",)
Catat Ulasan