Isnin, 6 Disember 2010

Kisah Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi & Tetamunya


Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi adalah seorang pemimpin kerajaan Umaiyah yang terkenal dengan kezaliman lagi kejam dan banyak membunuh ulama'-ulama'. Namun, beliau juga seorang yang banyak mengetahui mengenai al-Quran dan banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran.

Beliau juga seorang yang amat memuliakan tetamu. Diriwayatkan, beliau pernah menyuruh pembantu rumahnya/tenteranya untuk mencari tetamu supaya boleh makan bersamanya. Lalu pembantu rumahnya/tenteranya menjemput seorang Arab Badwi masuk ke tempat Hajjaj.

Apabila sampai di bilik makan, orang Arab Badwi itu bertanya, "Adakah kamu ini Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi?"

Hajjaj menjawab, "Ya." Orang Badwi itu bertanya lagi, "Mengapa kamu memanggil aku?"

Hajjjaj menjawab, "Kamu menjadi tetamu aku pada hari ini." Arab Badwi itu menjawab, "Aku tidak boleh makan kerana aku telah menjadi tetamu yang lebih tinggi daripada kamu."

Hajjaj bertanya, "Siapakah dia yang lebih tinggi daripada aku ini?" Arab Badwi itu menjawab, "Allah Ta'ala, sebabnya pada hari ini aku berpuasa dan aku menjadi tetamu Allah Ta'ala. Oleh kerana itu, apabila sampai waktu berbuka barulah aku boleh makan."

Hajjaj bertanya lagi, "Bukankah hari ini merupakan hari yang sangat panas?" Arab Badwi itu menjawab, "Aku berpuasa pada hari ini untuk hari yang lebih panas lagi daripada hari ini, iaitu hari Kiamat"

Hajjaj bertanya lagi, "Tidakkah ada Hadith yang menyatakan berbuka sehari dan berpuasa sehari? Berbukalah pada hari ini dan esok kamu boleh berpuasa pula" Lalu Arab Badwi itu menjawab, "Baiklah, kalau aku berbuka pada hari ini, adakah kamu boleh memberi jaminan kepada aku bahawa aku dapat hidup sempai hari esok?"

Hajjaj tidak menjawab pertanyaan tersebut.


Arab Badwi tersebut menunjukkan keberaniannya di hadapan seorang pemimpin dan ketua tentera yang terkenal sebagai seorang yang kejam. Beliau menzahirkan apa yang beliau yakini dan pegang, tanpa menunjukkan sedikit pun rasa takut.

Kita bagaimana? Ketika berhadapan dengan manusia, adakah kita berani meyatakan yang Haq dan menegah yang Batil?

*Kisah ini diolah daripada Tafsir at-Tibyan Surah al-Hujurat, tulisan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Sabtu, 4 Disember 2010

Terima Kasih kepada Semua!

Alhamdulillah, jam 3.30 petang 4/12/2010, aku dibebaskan daripada 'penjara' pesakit, iaitu wad. Masa 'tahanan'ku agak singkat berbanding gambaran awal yang diberikan oleh doktor sebelumnya. Aku ditahan selama 8 hari di dalam wad akibat demam berpanjangan yang membawa kepada masalah radang hati yang berpunca daripada demam kepialu. Punca asalnya setakat ini dipercayai disebabkan oleh makanan yang kotor

-Darul Ehsan Medical Centre.. tempat yang memenjarakan aku selama 8 hari-


Pertamanya, aku ingin berterima kasih kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Latif. Terlalu banyak hikmah dan pengajaran yang aku perolehi sepanjang 8 hari aku berada di DEMC. Tempoh singkat ini mengajar aku apa itu kesabaran, ketabahan, husnuzon kepadaNya, bergantung harap hanya kepadaNya, bersyukur dan berterima kasih kepadaNya.

Ujian ini mendekatkan aku kepadaNya (harap-harap bukan ketika diuji kesusahan sahaja). Diharapkan ujian kecil ini dapat menyedarkan aku banyak perkara dan menghapuskan dosa-dosaku yang tidak terkira banyaknya.

Terima kasih juga kepada makhluk ciptaanNya terutama kepada abah, umi dan adik-adik yang setia membantu dan melawat diriku walaupun dalam keadaan keletihan. Terima kasih khas buat adikku, Abdul Halim yang setia menemaniku saban hari walaupun pada satu ketika, doktor meminta dia pulang kerana dikhuatiri akan dijangkiti demam kepialu yang ada padaku.

Tidak dilupakan juga ribuan terima kasih diucapkan kepada sanak saudara dan sahabat-sahabiah yang datang melawatku di dalam wad. Ada yang datang melawatku lebih daripada sekali seperti keluarga Ayah Mad dan Ust Iqbal Abdul Wahab. Ada yang datang daripada Temerloh seperti geng-geng Nursing. Ada juga yang tidak diduga datang melawat seperti pimpinan ISIS Pusat dan beberapa orang sahabat lain. Terima kasih semua!

Terima kasih juga kepada sahabat-sahabiah yang tidak putus-putus mengirimkan sistem pesanan ringkas (sms) dan menghubungi diriku. Ada yang bertanya khabar, ada yang mendoakan kesejahteraan diriku. Terima kasih semua!

Terima kasih juga buat sahabat-sahabiah yang tidak menghantar apa-apa pesanan ringkas atau menghubungi diriku, tetapi telah mendoakan kesejahteraan diriku. Terima kasih semua!

Kini aku dalam fatrah untuk menghabiskan antibiotik (Ciprobay) dan ubat untuk radang hati (Legalon) bersama 'follow up' dengan doktor. Diharapkan semua berjalan lancar dan kuman dapat dinyahkan sepenuhnya daripada badanku.

Ingat, bukan ubat mahupun doktor yang mampu menyembuhkan penyakit. Hanya Dia yang mampu menyembuhkan segala penyakit.

"Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku" (Asy-Syu'araa': 80)

Khamis, 2 Disember 2010

Ada Apa Dengan TV Malaysia?

Sudah genap seminggu aku berada di dalam wad. Pergerakanku sangat terbatas.

TV menjadi teman baruku sepanjang aku berada di dalam wad walaupun sebelum ini aku amat jarang bersamanya. Selama aku berada di dalam wad ini, TV sedia tergantung di depan katilku. Hanya perlu menekan butang 'ok' untuk menontonnya.


-Banyaknya pilihan siaran yang disediakan oleh kerajaan, syarikat kerajaan dan syarikat swasta-


Secara kasarnya, sungguh banyak pilihan kepada penonton untuk menonton rancangan-rancangan yang disediakan oleh stesen-stesen television. Namun, pada hakikatnya, penonton sebenarnya hampir-hampir tiada pilihan dalam menonton. Hampir semua rancangan dan iklan menuju kepada satu arah, iaitu hedonisme.

Lambakan pertandingan nyanyian bermula daripada idola kecil sehinggalah kepada pertandingan lagu klasik. Semua siaran television pasti ada pertandingan nyanyian mereka sendiri. Semua berebut-rebut membuka ruang untuk merosakkan umat, tidak kira untuk golongan muda mahupun golongan yang hanya tunggu masa untuk dipanggil Ilahi.


Lebih menyedihkan, program bual bicara di pagi hari pasti ada slot untuk artis. Setiap hari pasti ada perbincangan yang berkaitan dengan artis walaupun kadang-kadang kelihatannya jelas, tiada apa yang hendak dibincangkan. Hanya mengadakan perbincangan kosong. Menjemput seorang yang 'kosong' semestinya melahirkan perbincangan yang kosong. Walhal, berlambak lagi isu-isu penting yang boleh dibincangkan di slot pagi yang sangat terbatas masanya itu.

Artis juga dijemput di dalam rancangan Bicara Siswa. Relevankah?Untuk apa?

Di kala masyarakat melihat wajah-wajah dan idea-idea segar daripada wakil-wakil pelajar IPT, mereka juga dihidangkan dengan persembahan artis yang kebanyakannya sebaya dengan mahasiswa tersebut, namun tampil berbeza, dengan gaya yang 'rugged' dan lebih dekat kepada cara hidup Barat. Sungguh mengelirukan!

Lebih mengharukan apabila pengacara program (juga artis), mewarwarkan bahawa artis tersebut telah membawa nama negara ke persada dunia apabila mewakili Malaysia dalam pertandingan nyanyian di peringkat antarabangsa. Satu doktrin yang sesat!

Kita boleh tanya muda-mudi zaman kini. Siapakah yang mereka lebih kenali antara Dr.Yusof al-Qaradhawi dan Justin Bieber?Hasan al-Banna dan Siti Nurhaliza?Lady Gaga dan Zainab al-Ghazali?

Mengapa semua ini terjadi?

Ia terjadi apabila artis disanjung, dipuja dan diberikan ruang yang luas dan bebas dalam masyarakat. Ingatlah pesanan Nabi S.A.W., diriwiyatkan daripada Ali bin Abi Thalib R.A:

"Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka. 15 perkara tersebut ialah:

1) Apabila kekayaan negara dimiliki oleh orang tertentu sahaja
2) Apabila amanah dijadikan sumber memperoleh keuntungan
3) Zakat dijadikan hutang (tidak bayar zakat)
4) Suami taat kepada isteri
5) Anak mendurhakai ibunya, (6) sedangkan ia berbaik-baik dengan temanya (7) dan menjauhkan diri dari bapanya.
8) Suara ditinggikan di dalam masjid
9) Orang yang paling hina di kalangan suatu kaum menjadi ketua kaum itu
10) Seseorang itu dimuliakan kerana kejahatannya
11) Arak diminum di merata-rata tempat
12) Kaum lelaki ramai yang memakai kain sutera
13) Artis-artis disanjung tinggi dan dipuja
14) Banyak jenis muzik dimainkan
15) Generasi umat Islam pada zaman ini menyalahkan generasi yang terdahulu

Hendaklah mereka menanti ketibaan tiupan angin merah atau gempa bumi, ataupun mereka akan ditukar menjadi makhluk lain" ( hadith riwayat at-Tirmizi)


Hampir semua 15 perkara di atas sudah terjadi dalam kehidupan hari ini. Maka, tidak hairanlah jika terlalu banyak bala dan musibah yang menimpa umat manusia kini.


Pada sebelah malam, kebiasaanya aku menunggu-nunggu saat berita jam 8 malam kerana pada hematku, banyak maklumat terkini akan diperoleh daripada rancangan ini. Namun, jangkaanku meleset. Sungguh menyedihkan apabila hampir 1/2 jam digunakan di dalam slot berita untuk menabur fitnah, mengelirukan rakyat, mengulas isu-isu yang tidak perlu, menyampaikan berita palsu dan mengiklan 1 parti dalam masa yang sama menghina beberapa individu dan parti-parti lain.

Ruang berita sepatutnya dijadikan ruang yang paling efektif untuk meyampaikan informasi dan maklumat atas apa yang berlaku di negara kita dan di negara luar, bukannya medan untuk berkempen dan menabur fitnah. Aku pasti ramai lagi warga Malaysia yang kecewa dengan apa yang disajikan di dalam berita. Mungkin TV9 paling kurang tersasar daripada landasan dalam menyampaikan maklumat berbanding dengan stesen-stesen lain (yang menyampikan berita dalam bahasa Melayu).

Kepada para pendengar berita, selidikilah dahulu berita yang sampai kepadamu itu, sama ada ia benar atau tidak.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (al-Hujurat: 6)

TV Malaysia sungguh tenat. Itulah hakikatnya. Mujurlah masih terdapat beberapa rancangan positif yang dikekalkan seperti Tanyalah Ustaz, al-Kuliyyah, Halaqah dan Bicara Mufti. Namun bilangannya sangat kecil dan waktu disiarkan adalah pada waktu yang paling kurang orang menonton TV seperti selepas Subuh dan lewat malam.

Channel Hijrah membawa satu sinar baru. Namun adakah ia hanya retorika? Mampukah ia menjadi stesen alternatif yang berkesan?

Menanti saat dibenarkan pulang ke rumah. Semoga ia berjalan lancar. Hanya meminta yang terbaik dariNya. Amiin.



Rabu, 1 Disember 2010

Bas Khas Untuk Wanita..Positif atau Negatif?



RapidKL memulakan tempoh percubaan bagi perkhidmatan bas untuk golongan wanita sahaja, yang dikenali sebagai Rapid Bas Wanita, mulai semalam hingga 31 Disember.

Menurut kenyataan Bas RapidKL semalam, ia adalah tambahan kepada operasi biasa syarikat berkenaan dan menyediakan perkhidmatan berbaloi kepada orang awam.


Tempoh percubaan itu dijalankan di tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.



Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81(Hab Subang Suria).



Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8(Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).



Ketua Pegawai Eksekutif Bas RapidKL Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata perkhidmatan khas itu dilaksanakan untuk memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada penumpang wanita, selain melindungi mereka daripada gangguan seksual serta bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.



Beliau berkata Rapid Bas Wanita tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada syarikat itu kerana ia akan menggunakan bas tambahan.



Walaupun dikhaskan untuk wanita sahaja, kanak-kanak di bawah usia dua belas tahun dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas tersebut dengan ditemani rakan atau saudara perempuan.



Ikon bas 'untuk wanita sahaja' akan diletakkan pada cermin depan bas, tingkap, pintu dan skrin LED dalam kenderaan itu bagi membezakannya daripada bas biasa.



*Langkah yang positif atau akan ada kesan-kesan negatif di sebaliknya?