Alhamdulillah, jam 3.30 petang 4/12/2010, aku dibebaskan daripada 'penjara' pesakit, iaitu wad. Masa 'tahanan'ku agak singkat berbanding gambaran awal yang diberikan oleh doktor sebelumnya. Aku ditahan selama 8 hari di dalam wad akibat demam berpanjangan yang membawa kepada masalah radang hati yang berpunca daripada demam kepialu. Punca asalnya setakat ini dipercayai disebabkan oleh makanan yang kotor
Pertamanya, aku ingin berterima kasih kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Latif. Terlalu banyak hikmah dan pengajaran yang aku perolehi sepanjang 8 hari aku berada di DEMC. Tempoh singkat ini mengajar aku apa itu kesabaran, ketabahan, husnuzon kepadaNya, bergantung harap hanya kepadaNya, bersyukur dan berterima kasih kepadaNya.
Ujian ini mendekatkan aku kepadaNya (harap-harap bukan ketika diuji kesusahan sahaja). Diharapkan ujian kecil ini dapat menyedarkan aku banyak perkara dan menghapuskan dosa-dosaku yang tidak terkira banyaknya.
Terima kasih juga kepada makhluk ciptaanNya terutama kepada abah, umi dan adik-adik yang setia membantu dan melawat diriku walaupun dalam keadaan keletihan. Terima kasih khas buat adikku, Abdul Halim yang setia menemaniku saban hari walaupun pada satu ketika, doktor meminta dia pulang kerana dikhuatiri akan dijangkiti demam kepialu yang ada padaku.
Tidak dilupakan juga ribuan terima kasih diucapkan kepada sanak saudara dan sahabat-sahabiah yang datang melawatku di dalam wad. Ada yang datang melawatku lebih daripada sekali seperti keluarga Ayah Mad dan Ust Iqbal Abdul Wahab. Ada yang datang daripada Temerloh seperti geng-geng Nursing. Ada juga yang tidak diduga datang melawat seperti pimpinan ISIS Pusat dan beberapa orang sahabat lain. Terima kasih semua!
Terima kasih juga kepada sahabat-sahabiah yang tidak putus-putus mengirimkan sistem pesanan ringkas (sms) dan menghubungi diriku. Ada yang bertanya khabar, ada yang mendoakan kesejahteraan diriku. Terima kasih semua!
Terima kasih juga buat sahabat-sahabiah yang tidak menghantar apa-apa pesanan ringkas atau menghubungi diriku, tetapi telah mendoakan kesejahteraan diriku. Terima kasih semua!
Kini aku dalam fatrah untuk menghabiskan antibiotik (Ciprobay) dan ubat untuk radang hati (Legalon) bersama 'follow up' dengan doktor. Diharapkan semua berjalan lancar dan kuman dapat dinyahkan sepenuhnya daripada badanku.
Ingat, bukan ubat mahupun doktor yang mampu menyembuhkan penyakit. Hanya Dia yang mampu menyembuhkan segala penyakit.
"Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku" (Asy-Syu'araa': 80)
2 ulasan:
alhamdulillah..
syafakallah. semoga diberi nikmat kesihatan utk memajukan Islam
Catat Ulasan