Khamis, 2 Disember 2010

Ada Apa Dengan TV Malaysia?

Sudah genap seminggu aku berada di dalam wad. Pergerakanku sangat terbatas.

TV menjadi teman baruku sepanjang aku berada di dalam wad walaupun sebelum ini aku amat jarang bersamanya. Selama aku berada di dalam wad ini, TV sedia tergantung di depan katilku. Hanya perlu menekan butang 'ok' untuk menontonnya.


-Banyaknya pilihan siaran yang disediakan oleh kerajaan, syarikat kerajaan dan syarikat swasta-


Secara kasarnya, sungguh banyak pilihan kepada penonton untuk menonton rancangan-rancangan yang disediakan oleh stesen-stesen television. Namun, pada hakikatnya, penonton sebenarnya hampir-hampir tiada pilihan dalam menonton. Hampir semua rancangan dan iklan menuju kepada satu arah, iaitu hedonisme.

Lambakan pertandingan nyanyian bermula daripada idola kecil sehinggalah kepada pertandingan lagu klasik. Semua siaran television pasti ada pertandingan nyanyian mereka sendiri. Semua berebut-rebut membuka ruang untuk merosakkan umat, tidak kira untuk golongan muda mahupun golongan yang hanya tunggu masa untuk dipanggil Ilahi.


Lebih menyedihkan, program bual bicara di pagi hari pasti ada slot untuk artis. Setiap hari pasti ada perbincangan yang berkaitan dengan artis walaupun kadang-kadang kelihatannya jelas, tiada apa yang hendak dibincangkan. Hanya mengadakan perbincangan kosong. Menjemput seorang yang 'kosong' semestinya melahirkan perbincangan yang kosong. Walhal, berlambak lagi isu-isu penting yang boleh dibincangkan di slot pagi yang sangat terbatas masanya itu.

Artis juga dijemput di dalam rancangan Bicara Siswa. Relevankah?Untuk apa?

Di kala masyarakat melihat wajah-wajah dan idea-idea segar daripada wakil-wakil pelajar IPT, mereka juga dihidangkan dengan persembahan artis yang kebanyakannya sebaya dengan mahasiswa tersebut, namun tampil berbeza, dengan gaya yang 'rugged' dan lebih dekat kepada cara hidup Barat. Sungguh mengelirukan!

Lebih mengharukan apabila pengacara program (juga artis), mewarwarkan bahawa artis tersebut telah membawa nama negara ke persada dunia apabila mewakili Malaysia dalam pertandingan nyanyian di peringkat antarabangsa. Satu doktrin yang sesat!

Kita boleh tanya muda-mudi zaman kini. Siapakah yang mereka lebih kenali antara Dr.Yusof al-Qaradhawi dan Justin Bieber?Hasan al-Banna dan Siti Nurhaliza?Lady Gaga dan Zainab al-Ghazali?

Mengapa semua ini terjadi?

Ia terjadi apabila artis disanjung, dipuja dan diberikan ruang yang luas dan bebas dalam masyarakat. Ingatlah pesanan Nabi S.A.W., diriwiyatkan daripada Ali bin Abi Thalib R.A:

"Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka. 15 perkara tersebut ialah:

1) Apabila kekayaan negara dimiliki oleh orang tertentu sahaja
2) Apabila amanah dijadikan sumber memperoleh keuntungan
3) Zakat dijadikan hutang (tidak bayar zakat)
4) Suami taat kepada isteri
5) Anak mendurhakai ibunya, (6) sedangkan ia berbaik-baik dengan temanya (7) dan menjauhkan diri dari bapanya.
8) Suara ditinggikan di dalam masjid
9) Orang yang paling hina di kalangan suatu kaum menjadi ketua kaum itu
10) Seseorang itu dimuliakan kerana kejahatannya
11) Arak diminum di merata-rata tempat
12) Kaum lelaki ramai yang memakai kain sutera
13) Artis-artis disanjung tinggi dan dipuja
14) Banyak jenis muzik dimainkan
15) Generasi umat Islam pada zaman ini menyalahkan generasi yang terdahulu

Hendaklah mereka menanti ketibaan tiupan angin merah atau gempa bumi, ataupun mereka akan ditukar menjadi makhluk lain" ( hadith riwayat at-Tirmizi)


Hampir semua 15 perkara di atas sudah terjadi dalam kehidupan hari ini. Maka, tidak hairanlah jika terlalu banyak bala dan musibah yang menimpa umat manusia kini.


Pada sebelah malam, kebiasaanya aku menunggu-nunggu saat berita jam 8 malam kerana pada hematku, banyak maklumat terkini akan diperoleh daripada rancangan ini. Namun, jangkaanku meleset. Sungguh menyedihkan apabila hampir 1/2 jam digunakan di dalam slot berita untuk menabur fitnah, mengelirukan rakyat, mengulas isu-isu yang tidak perlu, menyampaikan berita palsu dan mengiklan 1 parti dalam masa yang sama menghina beberapa individu dan parti-parti lain.

Ruang berita sepatutnya dijadikan ruang yang paling efektif untuk meyampaikan informasi dan maklumat atas apa yang berlaku di negara kita dan di negara luar, bukannya medan untuk berkempen dan menabur fitnah. Aku pasti ramai lagi warga Malaysia yang kecewa dengan apa yang disajikan di dalam berita. Mungkin TV9 paling kurang tersasar daripada landasan dalam menyampaikan maklumat berbanding dengan stesen-stesen lain (yang menyampikan berita dalam bahasa Melayu).

Kepada para pendengar berita, selidikilah dahulu berita yang sampai kepadamu itu, sama ada ia benar atau tidak.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (al-Hujurat: 6)

TV Malaysia sungguh tenat. Itulah hakikatnya. Mujurlah masih terdapat beberapa rancangan positif yang dikekalkan seperti Tanyalah Ustaz, al-Kuliyyah, Halaqah dan Bicara Mufti. Namun bilangannya sangat kecil dan waktu disiarkan adalah pada waktu yang paling kurang orang menonton TV seperti selepas Subuh dan lewat malam.

Channel Hijrah membawa satu sinar baru. Namun adakah ia hanya retorika? Mampukah ia menjadi stesen alternatif yang berkesan?

Menanti saat dibenarkan pulang ke rumah. Semoga ia berjalan lancar. Hanya meminta yang terbaik dariNya. Amiin.



2 ulasan:

Awanama berkata...

Semoga cepat sembuh~

Ummu Iffah berkata...

Syafakallah