Isnin, 21 April 2008

Halal Inn


Siapa kata Islam itu menyekat kebebasan hidup. Malah, Islam sangat fleksibel dan relevan dalam setiap masa dan keadaan. Buktinya, di London telah dibuka pub pertama untuk orang Islam di Britain. Pub tersebut diberi nama Halal Inn. Persekitarannya sama seperti pub biasa dengan adanya snek, meja snuker dan muzik dimainkan sebagai latar belakang, tetapi yang membezakannya ialah ia tidak menghidangkan bir atau sebarang alkohol lain.
Lebih menarik, Halal Inn dibuka hanya untuk pengunjung yang tidak menggemari minuman beralkohol. Ia dibuka Disember lalu di Oldham dan walaupun perniagaannya tidak begitu laris, ia tetap mendapat sambutan. Di belakang bar ada minuman ringan dan jus buah-buahan. Sebagai tambahan kepada teh dan kopi, pelbagai snek Asia juga tersedia, manakala lagu bercorak Islam dimainkan menerusi pembesar suara. Pengunjung masih boleh bermain snuker, membaling damak atau karom, permainan papan India yang hampir sama dengan permainan billiard. Malah kuiz bertemakan Islam turut dianjurkan. Tiada bezanya dengan pub biasa, bahkan lebih menarik.
Pemilik pub yang unik itu, Azizur Rahman dan rakan perniagaannya, Muzahid Khan melihat potensi di tapak bekas kelab malam Westwood Inn itu yang terbiar kosong di pinggir pusat bandar."Penduduk Islam adalah antara kumpulan pengguna terbesar dan mereka memerlukan tempat berehat dan bersosial seperti juga orang lain. Namun, kehadiran alkohol bermakna kelab malam biasa tidak akan dikunjungi oleh mereka yang mengikut ajaran Islam, jadi ini adalah tempat yang sesuai untuk mereka." Semakin banyak kelab malam ditutup di seluruh negara dan kami percaya menukar ia kepada kelab malam berunsurkan Islam akan berjaya di mana saja yang mempunyai komuniti Islam yang besar," kata Muzahid.
Walaupun kelab malam itu, seperti banyak versi tradisional Britain lain, jelas dikuasai lelaki, tiada larangan untuk pengunjung wanita. Pelayan bar, Ali Yaris, 44, berkata: "Penduduk tempatan menyokong penubuhan kelab ini, walaupun kadangkala ia menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh, seorang lelaki datang pada satu malam dan terus memesan alkohol." Kemudian dia menyedari di sini tidak akan mesin mengepam bir malah botol alkohol pun tidak ada. Kami cuma ketawa. Saya pasti dia akan ke kelab malam lain."


Kelab itu turut memiliki liga snuker sendiri dengan kira-kira 20 peserta berentap merebut kejuaraan pertama. Seorang pekerja pejabat, Mohammed Ali, 27, berkata beliau menikmati permainan yang menyenangkan selepas kerja. "Selalunya ia adalah gabungan ramai orang, tidak semuanya Islam. Ia memang tempat yang begitu sosial. Ia berbeza dengan kelab malam biasa kerana anda tidak mabuk dan tidak bertindak liar. Saya berasa ia idea yang bijak," katanya.
Seorang pelanggan tetap kelab itu, Abdus Shahid, 29, berkata ia seperti kelab malam lain cuma tidak menjual alkohol." Kami ke sini untuk berehat, bermain snuker dan bertemu dengan rakan selepas seharian bekerja. Saya rasa tujuan utama mengunjungi kelab malam biasa ialah untuk minum, tetapi di sini cuma untuk bertemu rakan dan berehat," katanya.
Jika negara Barat yang hanya didiami oleh minoriti umat Islam boleh melakukan reformasi untuk menyediakan ruang alternatif kepada umat Islam untuk berehat, berhibur dan bersosial, bagaimana pula dengan negara yang memperjuangkan Islam dengan jenama Islam Hadhari

Rabu, 16 April 2008

Kebangkitan Islam di Akhir Zaman


Mereka telah bangkit
Dari buku yang dibacanya
Dari tembok yang melindunginya
Dengan bendera dan lilit kepala.

Mereka telah bersuara
Dari bumi tanahair yang subur
Demi Islam yang mengajar hidup berani
Demi janji yang kini telah dimungkiri.

Mereka sekarang telah bangkit
Ditengah-tengah gelombang zaman
Dari keperibadian yang telah ditindas
Untuk masa depan warisan keturunan.

Dari bahasa lidah zaman hidup kita
Kebangkitan ini dipancang detik batu-tanda
Untuk pelaksanaan satu bahasa
Yang berdaulat menyinar mutiara.

-Allahyarham Usman Awang, 1967-

Khamis, 3 April 2008

Tawaran Belajar Al-Qur'an Aliran Tahfiz Secara Percuma!!!

Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah Seksyen 7, Shah Alam sedang mencari pelajar lelaki, berusia 9 tahun -12 tahun dan merupakan anak yatim untuk menuntut ilmu di sini. Pembiayaan ditanggung sepenuhnya.

Pihak pengurusan menghadapi masalah untuk mencari anak-anak yatim yang berminat untuk menghafal Al-Qur'an pada usia kanak-kanak. Kini seramai 6 orang anak yatim sedang menuntut di maahad Tahfiz Al-Islah, tetapi memerlukan ramai lagi anak yatim untuk dibantu kerana dana yang diterima oleh pihak pengurusan Maahad Tahfiz untuk kegunaan khas anak-anak yatim masih lagi tidak digunakan sepenuhnya.

Diharapkan para pembaca yang mempunyai adik, saudara, kawan, sahabat atau kenalan yang memenuhi syarat-syarat di atas, dapat menghubungi pihak pengurusan Maahad Tahfiz secepat mungkin. Jika memenuhi syarat-syarat di atas, pelajar tersebut boleh memulakan sesi pembalajaran pada bila-bila masa. Tidak perlu tunggu awal tahun atau penggal.

Info Ringkas Maahad Tahfiz Al-Islah:
  • dikelola sepenuhnya oleh ahli jemaah surau Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam.
  • makan 5kali sehari
  • perkhidmatan dobi
  • Pakej= hafazan sepenuh masa+akademik+dinniyah
  • aktiviti ko-kurikulum= taekwando
  • asrama sepenuhnya
  • Pencapaian setakat ini:-
>15orang pelajar telah berjaya mendapat Syahadah Tahfiz Al-Qur'an.
>9 orang pelajar telah berjaya terus melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Untuk maklumat terperinci tentang Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah, boleh lihat di: http://www.iklaneka.net.my/tahfiz/ atau boleh terus menghubungi Haji Al-Azmi di talian: 0192703370.
.
"Pengislahan Ummah Berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah"

Filem Fitna; Apa Pendirian Anda??


Dunia Islam dikejutkan dengan sebuah filem yang telah dihasilkan oleh pakar perundangan dan ahli parlimen negara Belanda, Geert Wilders yang bertajuk FITNA. Filem yang secara jelasnya menghina Islam dengan pelbagai tuduhan seperti menggambarkan Islam ini sangat zalim dan ganas. Lebih memburukkan keadaan, Geert Wilders telah menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang telah ditafsir secara zahirnya sahaja untuk membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut.
Apa yang telah berlaku ini bagaikan mengulangi peristiwa kalikatur Rasullulah S.A.W. yang telah diterbitkan oleh sebuah akhbar Denmark. Akibatnya, bantahan, demonstarasi dan pemboikotan besar-besaran oleh seluruh kaum Muslimin di seluruh dunia ke atas barang keluaran Denmark yang telah berjaya memberi kesan kepada ekonomi Denmark.
Kini, telah mula bertebaran sistem pesanan ringkas dan mesej-mesj melalui telefon bimbit, e-mail, friendster, myspace dan sebagainya yang menyeru umat Islam agar memboikot barangan-barangan utama keluaran negara Belanda seperti Dutchlady, Shell, Phillips dan lain-lain. Sebelum kita memulakan langkah untuk momboikot barangan keluaran Belanda dan berdemostrasi, adakah kita sudah berfikir, apa natijahnya kelak? Wajar atau tidak tindakan kita? Di sini, terdapat 2 pendapat yang dapat dikongsikan. Terpulang kepada masing-masing untuk membuat penilaian, tetapi yang penting, kita harus menimbang sesuatu perkara dengan neraca iman, bukanya neraca emosi semata-mata.
Pendapat pertama datangnya daripada Ustaz Hasrizal (Saiful Islam) seperti di dalam blog beliau, http://www.saifulislam.com/. Beliau menerangkan sikap yang seharusnya ada pada diri seorang yang cintakan Islam apabila menghadapi masalah sebegini. Untuk membaca artikel penuh Ustaz Hasrizal, boleh klik: http://saifulislam.com/?p=1678#more-1678
Pendapat kedua datangnya daripada Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) seperti yang terdapat di dalam blog beliau, http://www.zaharuddin.net/. Beliau menegaskan harus memboikot sebahagian barangan tertentu keluaran negara Belanda sebagai mesej kepada masyarakat dunia agar jangan mudah mempelekehkan dunia Islam. Untuk membaca artikel penuh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, boleh klik: http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=692&Itemid=72
Walaupun mungkin terdapat 2 pendapat yang agak berbeza daripada 2 orang tokoh agama yang terkemuka, tetapi di sana terdapat satu persaman daripada mesej yang ingin disampaikan, iaitu kita harus faham apa tindakan yang akan kita ambil. Bukannya bertindak melulu tanpa mengetahui dan memahami kenapa kita bertindak sedemikian. Amat penting untuk kita mengatahui di mana kedudukan sesuatu tindakan kita agar ia tidak menjadi sia-sia, bahkan boleh membawa fitnah kepada Islam itu sendiri. Terpulang kepada individu untuk menerima pakai mana-mana pendapat, tetapi harus diingat, setiap perbuatan kamu pasti dipersoalkan di hari Pengadilan kelak.
Islam itu bukanlah agama yang liberal, bukan juga jumud. Ekstrim jauh sama sekali. Ia berada di pertengahan.

Rabu, 2 April 2008

Perhimpunan Rakyat di Stadium Melawati







Tanggal 31Mac 2008,satu Perhimpunan Rakyat & Munajat Perdana telah diadakan di Stadimu Melawati, Shah Alam. Program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor ini telah bermula kira-kira pukul 8 malam yang mana dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok Malaysia, yang dianggarkan seramai 25,000 orang. Subhanallah.

Ini jelas menunjukkan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dalam menyokong Barisan Rakyat untuk menerajui Negeri Selangor dan Malaysia bagi memacu arus perubahan dalam sistem pemerintahan negara yang semakin tenat.




Buat julung-julung kalinya Stadium Melawati yang terkenal di kalangan para peminat setia sukan badminton tanah air, telah berkumandang laungan azan yang amat syahdu. Selepas itu, Stadium Melawati sekali lagi menjadi saksi bilamana beribu-ribu manusia berhimpun dan menghadap kiblat, sujud kepada yang Maha Esa bagi menunaikan kewajipan solat Isyak seterusnya menunaikan solat hajat 2 rakaat bagi melahirkan kesyukuran kepada Pemberi Segala Nikmat. Peristiwa ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Selangor walaupun negeri ini telah lebih 50 tahun diperintah oleh orang Islam.

Majlis telah dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Selepas itu, semua hadirin termasuk tetamu kehormat berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan, NEGARAKU dan lagu tema PAS yang dipopularkan oleh kumpulan Shoutul Amal, BERJIHADLAH. Kehangatan majlis diteruskan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Islamic Boyz dan In-Team. Setelah majlis sudah terasa bahangnya, barulah tetamu-tetamu kehormat memulakan ucapan mereka. Ronnie Liu, exco kerajaan negeri Selangor, telah memulakan ucapan pada malam tersebut, seterusnya diikuti oleh Dato' Dr. Hasan Ali, exco kerajaan negeri Selangor yang merangkap Pesuruhjaya PAS negeri Selangor. Ucapan beliau yang begitu bersemangat telah disambut dengan laungan takbir yang tidak putus-putus bersahutan kedengaran di segenap sudut stadium.

Setelah itu, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS, mengambil tempat untuk berucap, diikuti oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan orang yang terakhir berucap pada malam tersebut. Ucapan semua tetamu kehormat pada malam itu (kecuali Ronnie Liu) telah disambut dengan laungan takbir yang begitu bersemangat daripada para hadirin.

Perhimpunan pada malam tersebut tamat kira-kira pada pukul 12 tengah malam.

Ini adalah langkah permulaan kepada arus perubahan negara. Diharapkan ia bukan la hanya 'hangat-hangat taik ayam' daripada pemimpin dan rakyat.

Terasa bagaikan berada di negeri Kelantan pada malam tersebut.Cumanya terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa-masa hadapan seperti masalah PA system , pengasingan tempat antara muslimin dan muslimat, dan kutipan derma yang tidak menyuluruh pada malam tersebut.

Untuk mendengar lagu tema PAS pada malam tersebut, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=Y1greNkdy-o

Untuk mendengar dan menonton ucapan tetamu-tetamu kehormat, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=9gtCvmdHMJc
http://www.youtube.com/watch?v=TiodTxAD8-E

"Islam Pasti Gemilang"