Khamis, 1 November 2007

Operasi Menguasai Kawasan Ubullah



Umat Islam hampir memenangi peperangan melawan puak Parsi. Setiap kali umat Islam hampir memenangi peperangan, pihak Parsi akan menggunakan depot tentera mereka di kawasan Ubullah yang amat strategik yang menyebabkan umat Islam kalah. Situasi sebegini berulang beberapa kali.

Umar al-Khattab radhiyaAllahu 'anhu yang merupakan khalifah ketika itu memikirkan cara untuk menewaskan puak Parsi. Setelah mencari-cari pemuda-pemuda di sekitar Madinah, beliau tidak mendapati seseorang pun yang layak untuk menerajui tentera Islam untuk menyerang daerah Ubullah. Beliau pun mencari dan melihat kepada veteran muslimin yang tidak ikut sama pergi berperang, takut-takut ada yang layak untuk menjadi panglima perang.

Akhirnya, Umar r.a. menjumpai seorang veteran Muslimin yang layak untuk mengepalai tentera Islam. Belaiu adalah orang yang ke-7 yang memeluk agama Islam dan pernah bersama Rasullulah S.A.W dalam peperangan Badar, Uhud dan memerangi puak-puak murtad yang diketuai oleh Musailamah Al-Kazzab Laknatullahialaih. Beliau adalah Utbah Bin Ghazwan radhiyaAllahu 'anhu . Utbah r.a. telah dilantik untuk menjadi panglima perang tentera Islam seramai 600 orang yang terdiri dari Muslimin dan Muslimat.

Seteleh Utbah r.a. bersetuju, Umar r.a. berpesan kepadanya: "Takutilah jawatan yang diberi, jangan sombong dan jangan takbur. Jawatan ini adalah nikmt dari ALLAH, janganlah dengan nikmat ini akan menghumban kamu ke dalam api neraka". Kata Umar Al-Faruq lagi: "Ajaklah mereka kepada Islam, jika mereka enggan, suruhlah mereka membayar jizyah, jika mereka enggan juga, perangilah mereka".

Maka berangkatlah tentera Islam seramai 600 orang ke daerah Ubullah. Di tengah perjalanan, umat Islam telah kehabisan bekalan makanan. Maka sahabat-sahabat pergilah mencari apa-apa benda boleh dimakan. Akhirnya, mereka menjumpai satu pohon yang seakan-akan gandum, yang mempunyai kulit yang keras. Berkata seorang sahabat: "Tumbuhan ini mungkin mempunyai racun yang diletakkan oleh pihak musuh kerana kita tidak pernah melihatnya di Madinah." Akhirnya mereka bersetuju dan mencampakkan biji keras itu ke tanah. Tiba-tiba, kuda yang dibawa untuk berperang telah makan biji tersebut. Salah seorang sahabat berkata: " Kita lihat bagaiman keadaan kuda ini sehingga waktu Subuh esok. Jikalau kuda ini mula layu akibat daripada memakan biji tadi, kita akan sembelih kuda tersebut."

Pada keesokan harinya, semua sahabat terkejut apabila tidak layu, bahkan sihat wal'afiat. Jadi, para sahabat menyimpulkan bahawa biji tersebut tidak beracun. Setelah direbus dengan air panas, biji tersebut mengeluarkan isi lembut yang berwarna putih. Rupa-rupanya biji tersebut adalah beras dan isinya adalah nasi.

Setelah menempuh perjalanan yang mencabar, para sahabat telah hampir sampai ke daerah Ubullah. Utbah r.a. memikirkan bagaimana hendak melawan pihak musuh dan menawan bandar Ubullah sedangkan mereka hanya terdiri daripada 600 orang bahkan terdapat kaum muslimat di dalam tentera Islam.

Utbah r.a. mengatur strategi peperangan dengan mengarahkan tentera muslimat berada di barisan belakang tentera Islam dan diarahkan untuk bermain debu serta memegang bendera Islam. Apakah relevannya strategi Utbah ini??

Ketika Umat Islam hampir tiba ke kota Ubullah, Utbah r.a. mengarahkan mempraktikkan strategi tadi. Dengan izin Allah, tentera Kuffar yang berada di daerah Ubullah semuanya lari lintang-pukang kerana mereka menyangka umat Islam yang datang menyerang mereka terlalu ramai bilanganya hasil daripada debu-debu yang berterbangan di belakang tentera Muslimin yang dihasilkan oleh tentera Muslimat dan panji-panji Islam yang kelihatan mara di sebalik debu-debu tersebut.

Inilah kehebatan & kekuasaan Allah..


"Kita merupakan suatu Ummat yang Allah tinggikan kerana Islam & dihina jika kita menolak Islam" -
Umar Al-Faruq

"Aku takut dengan jawatan ini (gabenor Basrah) manusia akan mengenali aku, tetapi Allah tak mengenali aku" -Utbah Bin Ghazwan


*Petikan dari kuliah maghrib oleh Ust Nazmi di Surau Al-Islahi, Seksyen 7, Shah Alam pada 1/11/07, jam 8.05-8.35 malam.

Tiada ulasan: