Isnin, 20 Julai 2015

Pertanyaan Yang Tidak Digalakkan



Imam Asy-Syatibi rahimahullah di dalam kitabnya, al-Muwafaqat, telah meletakkan beberapa ciri-ciri soalan yang makruh ditanya. Antaranya ialah:

1. Bertanya akan perkara yang tidak memberi manfaat kepada Islam. Antara tujuannya agar setiap soalan yang ditanya memberi manfaat kepada Islam.

2. Bertanya akan perkara yang sudah diketahui jawapannya.  Tiada keperluan, bahkan membuang masa dan mungkin boleh menyakiti hati orang yang ditanya.

3. Bertanya akan perkara yang tidak diperlukan ketika itu. Contohnya, bertanya akan perkara masa hadapan yang tidak berlaku lagi atau mustahil untuk berlaku.

4. Bertanya dengan bertujuan untuk merendahkan-rendahkan orang yang ditanya (bertanya perkara yang susah dengan niat yang jahat). Perkara ini banyak berlaku dalam perdebatan-perdebatan yang tidak berfaedah dan tidak mempunyai titik temu,

5. Bertanya untuk menimbulkan perbalahan. Perkara ini juga banyak berlaku dalam perdebatan-perdebatan yang tidak berfaedah dan tidak mempunyai titik temu,

6. Bertanya tentang 'illah pada perkara-perkara ta'abbudi. Contohnya, bertanya kenapa solat Subuh sebanyak 2 rakaat, kenapa perlu berpuasa di bulan Ramadhan sahaja, bukan di bulan-bulan lain.

7. Bertanya tentang perkara-perkara mutasyabihat. Tidak bertanya lebih baik dan berhenti setakat apa yang dikhabarkan sahaja.

Bukan sahaja malu bertanya akan sesat, bahkan di sesetengah keadaan, banyak bertanya juga boleh membawa kepada kesesatan dan kerosakan. Bertanyalah mengikut keperluan dan manfaatkan ruang pertanyaan sebaiknya.

Bertanyalah untuk menuju 'cahaya', bukannya menuju 'kegelapan'.

Jumaat, 17 Julai 2015

Lelaki Yang Baik Untuk Perempuan Yang Baik; Fungsi Sebenar Seorang Wali


Sheikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin (Ibn 'Uthaimin) Rahimahullah pernah didatangi oleh seorang pemuda setelah selesai kuliah pengajian di Universiti al-Qassim, Arab Saudi. Pemuda itu bernama Khalid dan merupakan seorang mahasiswa ketika itu.

Setelah selesai sesi kuliah tersebut, beliau menghampiri Sheikh Ibn ‘Uthaimin yang ketika itu hendak pulang ke rumah. Pemuda itu nekad memberanikan diri untuk bertanya, “Sheikh, apakah Tuan Sheikh mempunyai anak perempuan?”

Ketika mendengar pertanyaan pemuda tersebut, berubah mimik muka Sheikh Ibn ‘Uthaimin dan beliau bertanya, “Ada apa akh?”

Pemuda itu menjawab, “Kalau ada, saya berniat untuk meminangnya. Bolehkah saya meminangnya?”

Kemudian, Sheikh Ibn ‘Uthaimin berkata, “Tunggulah khabar dariku, InsyaAllah akanku hubungi dengan telefon…”

Hari terus berlalu tetapi khabar jawapan daripada Sheikh masih belum diketahui. Pemuda tersebut semakin gelisah menanti jawapan daripada Sheikh. Ia bertanya dalam hati, “Adakah Sheikh sudah lupa? Adakah perlu saya mengingatkannya?”

Namun, pemuda tersebut teringat akan pesanan daripada Sheikh untuk menunggu panggilan daripadanya. Sebulan setelah peristiwa itu, Sheikh Ibn ‘Uthaimin cuba untuk menghubungi pemuda tersebut, tetapi pada ketika itu pemuda tersebut berada dalam kuliah pengajian. 

Pemuda tersebut menghubungi kembali Sheikh Ibn ‘Utsaimin setelah dimaklumkan yang Sheikh ada menghubunginya ketika dia berada dalam kuliah. Pemuda tersebut pun bertanya kepada Sheikh, “Ada apa wahai Sheikh?”

“Aku ingin melanjutkan perbincangan kita sebelum ini, akhi.”

“Perbincangan yang mana, Sheikh?”. Pemuda tersebut hampir-hampir terlupa tentang pertanyaannya terhadap Sheikh mengenai anak perempuannya kerana tidak meletakkan harapan yang tinggi dan Sheikh hanya berdiam diri dalam tempoh yang lama.

“Perbincangan ketika kamu mengekori aku di suatu jalan. Akhi, silakan untuk meneruskan prosesnya..”

Pemuda tersebut sangat terkejut apabila mendengar jawapan daripada Sheikh. Ternyata Sheikh Ibn ‘Uthaimin masih mengingatinya dan beliau pun akhirnya berkata kepada Sheikh Ibn 'Uthaimin, “Sheikh, saya memohon untuk memaklumkan kepada orang tua saya terlebih dahulu untuk proses selanjutnya…”

“Silakan akhi, saya tunggu kedatangan kalian…” Jawab Sheikh Ibn ‘Uthaimin.

Apakah yang dilakukan oleh Sheikh Ibn ‘Uthaimin selama tempoh sebulan tersebut?
Sheikh Ibn ‘Uthaimin sebenarnya menyelidiki dan menyiasat sendiri tentang pemuda ini dari segi pergaulannya, bagaimana beliau dari kaca mata teman-temannya, dari perspektif guru-gurunya, bagaimana kesungguhannya dalam menuntut ilmu, bagaimana prestasinya di kampus, dan bagaimana latar belakang keluarganya.

Beliau melakukannya semua perkara tersebut secara sendiri walaupun Sheikh Ibn 'Uthaimin adalah seorang ulama' besar pada ketika itu!

Beliau tidak terus bertanya pemuda tersebut mengenai maklumat peribadinya mahupun menggunakan bantuan orang lain. Beliau menyelidikinya sendiri melalui maklumat-maklumat orang-orang di sekeliling pemuda tersebut. Setelah berpuas hati, barulah Sheikh Ibn 'Uthaimin bermusyawarah dengan ahli keluarga beliau sebelum memberi jawapan kepada pemuda tersebut.

Inilah adab dan cara seorang ‘ulama yang bernama Sheikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin Rahimahullah yang harus dicontohi oleh setiap ayah/ abang/ bapa saudara/ datuk yang bertanggungjawab menjadi wali kepada seorang perempuan. Urusan dilakukan sendiri dengan sangat berhati-hati agar anak yang dijodohkan kelak akan bersuamikan seorang yang soleh dan bertaqwa. Soalan dan neraca timbangan seseorang pemuda yang datang meminang juga harus dicontohi. Bukan hanya fokus kepada perkara duniawi, tetapi aspek akhlak, adab, hubungan sosial, pengamalan agama yang dititikberatkan dan menjadi kayu ukur sama ada seseorang itu layak atau tidak untuk menjadi suami, ayah dan ketua keluarga kelak.

Pemuda tersebut yang akhirnya menjadi menantu kepada Sheikh Ibn 'Uthaimin itu adalah Sheikh Dr. Khalid Al-Mushlih yang ketika ini merupakan salah seorang ulama besar di Arab Saudi.

Permulaan yang baik, dengan cara baik, ke atas orang baik, hasilnya pasti menghasilkan yang terbaik.

Khamis, 16 Julai 2015

Perisian Al-Quran Elektronik yang Lengkap


Universiti King Saud Riyadh telah mengeluarkan satu perisian al-Quran Elektronik yang lengkap dengan tulisan mushaf, bacaan dari pelbagai Imam dan Qurra', terjemahan al-Quran dan pilihan tafsir yang pelbagai seperti tafsir Ibn Kathir, at-Tabari, al-Qartubi, as-Sa'adi dan lain-lain.

Ia juga mempunyai pelbagai pilihan bahasa dan boleh digunakan menggunakan sistem Android, iOS dan Windows.
Sangat bermanfaat kepada Umat Islam.

Boleh klik di sini:

http://quran.ksu.edu.sa/

Rohingya yang Dipinggirkan


(Kredit foto: wearehelp.org)

Penderitaan etnik Rohingya adalah antara kesan kejayaan projek jangka panjang yang telah memisahkan negara dan umat Islam menjadi serpihan-serpihan kecil yang lemah.

Projek yang telah berjalan lebih daripada 100 tahun ini telah menjadikan langkahan umat Islam terhenti di garisan-garisan sempadan yang telah digarap oleh orang lain.

Hubungan persaudaraan umat Islam terhenti di garisan-garisan sempadan tersebut. Sesiapa yang berada di luar sempadan tersebut, maka terputuslah persaudaraan, perasaan belas kasihan dan kasih sayang.

Garisan sempadan ini terus menjadi tembok tebal yang sukar dipecahkan oleh umat Islam sendiri walaupun saban hari umat Islam diratah, dirobek dan diperlakukan sesuka hati seperti yang telah berlaku di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Bosnia, Afghanistan Burma dan tempat-tempat lain.

Sungguh, bukan ini yang diajar dalam agama kita.

إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقوا الله لعلكم ترحمون 

Jarak, sempadan, bangsa dan keturunan tidak pernah menjadi pemisah dalam persaudaraan Islam!

Tidak selama-lamanya.

Jangan Malu untuk Mengatakan Tidak Tahu



Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma telah bertanya sahabat-sahabatnya:
"Adakah kamu semua mahu agar aku tunjukkan sesuatu ilmu yang besar?"

Mereka menjawab:
"Sudah tentu"

Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma berkata:
"Apabila seseorang ditanya akan perkara yang dia tidak tahu, maka dia berkata: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui"

(as-Suyuthi rahimahullah, Adab al-Fatya)

Perkara ini nampak mudah untuk diungkapkan, tetapi pada hakikatnya amat kurang yang mengatakan tidak tahu pada zaman ini. Berapa ramai yang mengeluarkan fatwa, sedangkan diri masih lagi dalam keadaan jahil mahupun tidak pasti akan kedudukan sesuatu keadaan tersebut.

Gejala ini semakin kelihatan jelas bagi para pelajar aliran agama yang baru setahun jagung terjun ke lautan perbahasan ilmu yang sangat luas. Mulut mahupun tangan (melalui penulisan) sangat mudah berfatwa sedangkan diri masih lagi merangkak dalam memahami ilmu alat dan asas seperti bahasa Arab dan ilmu-ilmu alat yang lain. Apabila golongan yang bukan ahlinya mengeluarkan fatwa, maka rosaklah masyarakat.

Tidak kurang juga pendakwah-pendakwah terkenal yang sering muncul di kaca televisyen mahupun corong radio yang sering mengeluarkan fatwa atau pendapat, sedangkan mereka tiada keahlian tentang bidang tersebut. Demi menjaga imej yang baik, banyak perkara 'aneh' yang diutarakan kepada masyarakat. Perkara ini sangat berbahaya kerana mereka sangat berpengaruh dan memberikan impak yang besar kepada pegangan agama masyarakat awam.

Apabila kita berkata-kata akan sesuatu perkara yang kita tidak tahu, sebenarnya ilmu kita sangat kecil, walaupun kelihatan besar di mata manusia. Sebaliknya jika kita mengatakan tidak tahu dan mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya akan perkara yang kita benar-benar tidak tahu, ilmu kita kelihatan kecil di mata manusia, tetapi sebenarnya kitalah yang mempunyai ilmu yang besar.

Jangan malu pada tempatnya!

Khamis, 25 Disember 2014

Musibah Banjir di Malaysia


Warga Malaysia khususnya rakyat Malaysia di negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang), Perak, Perlis dan Sabah sehingga saat ini masih lagi diuji dengan musibah banjir yang telah melanda sejak lebih daripada seminggu yang lalu. Sehingga saat ini, puluhan ribu rakyat Malaysia telah menjadi mangsa kepada bencana alam ini dan sebahagian besarnya telah dipindahkan ke pusat-pusat penempatan sementara. Daerah Kuala Krai, Gua Musang, Rantau Panjang, Kemaman, Kuantan dan Maran adalah antara daerah yang terjejas teruk akibat serangan banjir pada tahun ini.

Kami para pelajar Malaysia yang menuntut di bumi Riyadh, Arab Saudi, turut bersimpati atas ujian yang telah melanda mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia. Ujian bencana alam seperti banjir adalah ujian yang sangat berat kerana ia mengakibatkan kehilangan harta benda, sumber pencarian bahkan kehilangan jiwa.


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156) أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ (157)
“Dan sungguhnya Kami akan timpakan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang  bersabar (155) (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Seusungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya” (156) Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (157) (Surah Al-Baqarah: 155 -157)


Dalam menghadapi ujian kali ini, marilah kita kembalikan segala kekuasaan dan keagungan kepada Pemilik Tunggal segala yang berada di langit dan bumi ini. Hanya kepada Dia sahaja tempat bergantung harap dan belas kasihan. Mengembalikan segala ujian ini kepada Sang Pencipta akan melahirkan sifat sabar yang menatijahkan perasaan tenang dan tabah di dalam jiwa.


مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa (seseorang) kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk ke (dalam) hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” (Surah at-Taghabun:11)

Dalam menafsirkan ayat di atas, Ibnu Kathir rahimahullah telah berkata: “seseorang yang ditimpa musibah dan dia meyakini bahwa musibah tersebut merupakan ketentuan dan takdir Allah Ta’ala, kemudian dia bersabar dan mengharapkan (balasan pahala dari Allah), disertai (perasaan) tunduk berserah diri kepada ketentuan Allah Ta’ala tersebut, maka Allah Ta’ala akan memberikan petunjuk ke (dalam) hatinya dan menggantikan musibah dunia yang menimpanya dengan petunjuk dan keyakinan yang benar dalam hatinya, bahkan Allah Ta’ala akan menggantikan apa yang hilang darinya dengan sesuatu yang lebih baik baginya.”

Semoga mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dapat bersabar dan diberikan kekuaran serta dikurniakan ganti yang lebih baik kelak atas segala kehilangan yang telah menimpa. Seluruh warga Malaysia disarankan untuk terus berdoa dan bermunajat kepada-Nya agar diberikan segala kebaikan dan keselamatan kepada seluruh rakyat Malaysia, serta berganding bahu dan tenaga dalam membantu mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban mereka dari segenap aspek mengikut kemampuan masing-masing.


اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا ، وَلا عَلَيْنَا ، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ ، وَالظِّرَابِ ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah, curahkanlah hujan kepada kami tetapi janganlah membahayakan kami; Ya Allah, curahkanlah hujan di atas bukit-bukit, pergunungan, lembah-lembah dan hutan belantara.” [Sahih Bukhari (no:1014), Sahih Muslim (no: 897)]


ABDUL RAHMAN AL-AZMI,

YDP PERSATUAN PELAJAR MALAYSIA RIYADH (PPMR)

Khamis, 16 Oktober 2014

Waktu Mustajab Doa Yang Sering Kita Abaikan


Sudah menjadi kebiasaan umat Islam, khususnya di Nusantara, dengan melazimi mengangkat tangan dan berdoa kepada Ilahi selepas setiap kali selesai menunaikan solat, tidak kira solat fardhu mahupun solat sunat.

Tahukah anda sebenarnya ada satu masa atau keadaan yang merupakan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa, tetapi amat jarang diamalkan, bahkan mungkin ramai yang tidak pernah mengetahuinya.

Waktu tersebut adalah ketika di akhir solat, dan secara khususnya adalah pada waktu antara selepas membaca Tasyahud Akhir dan sebelum memberi Salam Pertama.

Mungkin ramai yang tergesa-gesa untuk menghabiskan solat terutamanya ketika membaca Tasyahud Akhir disebabkan oleh perkara-perkara duniawi, tetapi ketika itu jugalah terdapat waktu mustajab untuk berdoa yang sering kita abaikan dan lalaikan.

Terdapat banyak doa yang boleh diamalkan untuk dibaca ketika itu bersandarkan kepada hadith-hadith Nabi yang sahih. Berikut adalah sebahagian daripada beberapa hadith yang mekhususkan waktu tersebut sebagai waktu untuk berdoa serta doa-doa yang diajar oleh Nabi untuk kita baca pada waktu tersebut.


أبي بكر الصديق رضي الله عنه أنه قال للنبي صلى الله عليه وسلم:  عن
علمني دعاء أدعو به في صلاتي قال: قل: "اللهم إني ظلمت نفسي ظلما كثيرا ولا يغفر الذنوب إلا أنت فاغفر لي مغفرة من عندك وارحمني إنك أنت الغفور الرحيم" (صحيح البخاري: 6326)

Daripada Abu Bakar as-Siddiq radhiyallahu 'anhu, sesungguhnya beliau telah berkata kepada Nabi sollallahu 'alaihi wasallam: Ajarkanku doa yang aku boleh membacanya dalam solatku. Rasulullah berkata: Katakanlah: "Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak dan tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Kamu, maka ampunilah aku kerana keampunan adalah dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Kamu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Sahih al-Bukhari: 6326)



عن معاذ رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ بيده وقال: يا معاذ والله إني لأحبك فقال: أوصيك يا معاذ لا تدعن في دبر كل صلاة تقول: اللهم أعنى على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك (سنن أبي داود: 1522)

Daripada Muaz radhiyallahu 'anhu, sesungguhnya Rasulullah sollahu'alaihi wasallam telah mengambil tangannya dan bersabda: Wahai Muaz, demi Allah sesungguhnya aku mencintaimu, maka Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepada kamu wahai Muaz, janganlah kamu tinggalkan doa pada akhir setiap solat, bacalah: "Ya Allah, bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, dan menyukuri-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik" (Sunan Abu Daud: 1522) 


 قَال: قَالَ رَسُولُ اللَّه صلى الله عليه وسلم ˓عن أبي هريرة رضي الله عنه
إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ˓ يقول : اللهم إني أعوذبك مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، ومن َعَذَابِ الْقَبْرِ ، ومن َفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، ومن َشَرِّ فتنة الْمَسِيحِ الدَّجَّال (صحيح مسلم: 588)

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, beliau telah berkata, Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:  Jika salah seorang daripada kamu selesai bertasyahud, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada 4 perkara: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan-Mu daripada azab api Neraka,  dari azab kubur,  dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari fitnah kejahatan al-Masih Dajjal"  (Sahih Muslim; 588)


عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه˓ قال: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ مِنْهُنَّ دُبُرَ الصَّلَاةِ :"اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْر" (صحيح البخاري: 2822)

Daripada Sa'ad Bin Abi Waqqas radhiyallahu 'anhu, beliau telah berkata, sesungguhnya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah memohon perlindungan pada akhir solat dengan: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada sikap pengecut, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah dunia, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada azab kubur" (Sahih Bukhari: 2822)


عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه˓ عن الرسول الله صلى الله عليه وسلم:".......... ثم يكون من آخر ما يقول بين التشهد والتسليم:" اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّيْ. أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ" (صحيح مسلم: 771)

Daripada Ali Bin Abi Tolib radhiyallahu 'anhu, daripada Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam: ".......... kemudian pada akhir solat, apa yang diucapkan antara tasyahud dan salam: "Ya Allah, ampunilah (dosa) aku atas apa yang aku cepatkan dan atas apa yang aku lewatkan, dan atas apa yamg aku rahsiakan dan atas apa yang aku nampakkan, dan atas apa yang aku lakukan secara berlebihan. dan atas apa yang Kamu lebih mengetahui daripadaku. Kamu yang Maha Mendahulukan dan Maha Mengakhirkan, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Kamu" (Sahih Muslim: 771)


عن محجن بن الأدرك رضي الله عنه قال: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم دخل المسجد˓ إذا رجل قد قضى صلاته وهو يتشهد˓ فقال: " اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ يَا اَللهُ بِأَنَّكَ الْوَاحِدُ اْلأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِيْ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِيْ ذُنُوْبِيْ إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ" فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: قد غفر الله له˓ ثلاثا. (صحيح النسائي:1300)
  
Daripada Mihjan Bin al-Adrak radhiyallahu 'anhu, beliau telah berkata, sesungguhnya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah memasuki masjid di mana ketika itu terdapat seorang lelaki menunaikan solat dan dia sedang bertasyahud, maka lelaki tersebut menyebut: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu Ya Allah, dengan bersaksi bahawa Kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal tidak memerlukan sesuatu, bahkan segalanya memerlukan-Mu, Yang tidak beranak-pinak dan tidak diperanakkan, dan tiada seorang pun yang menyerupai-Mu, aku memohon keampunan dosa-dosaku. Sesungguhnya Kamu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Maka Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: Allah telah mengampunkan dosa lelaki tersebut (disebut sebanyak 3x). (Sahih an-Nasaie: 1300)

Semoga kita dapat mengamalkan salah satu Sunnah yang kurang diamalkan dalam masyarakat, tetapi sebenarnya sangat memberi kesan ke dalam kehidupan umat Islam di dunia dan akhirat.

Selasa, 5 Ogos 2014

Sabtu, 11 Januari 2014

Peluang untuk Melabur dalam Saham yang Terus Mengalir!


-MTQI@DPP sedang dalam proses pengubahsuaian dan penambahbaikan-

Alhamdulillah, Maahad Tahfiz al-Islah Desa Pinggiran Putra (MTQI@DPP) telah mula beroperasi pada 1 Januari 2012 bagi kanak-kanak yang berumur 8 hingga 12 tahun untuk menghafaz ayat-ayat suci al-Qur'an. Selepas 2 tahun beroperasi, MTQI@DPP kini menerima banyak permohonan daripada masyarakat untuk belajar di sini.

Bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar untuk pengajian hafazan al-Qur'an dan pengajian subjek-subjek diniyyah/akademik, pengubahsuaian dan penambahbaikan MTQI@DPP kini sedang dilaksanakan. Projek ini melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM27,000.

Sehubungan dengan itu, sumbangan daripada pihak tuan/puan adalah amat dialu-alukan. Sebarang sumbangan bolehlah disampaikan secara tunai atau cek (atas nama KANIZAR BINTI IBRAHIM) atau bank-in kepada:

AKAUN BANK ISLAM (12038025158263 - atas nama Kanizar Binti Ibrahim) atau
AKAUN MAYBANK ISLAMIC (566010602351 - atas nama Al-Azmi Bin Bakar)

Sebarang pertanyaaan, boleh hubungi:
Tel: 019-3063370/ 019-2703370/ 03-89121042

atau melalui e-mel: kanizar.az@gmail.com/ hj.alazmi@gmail.com


Semoga segala amalan kita diterima disisi-Nya. Kita tidak tahu amalan apakah yang akan membantu kita di Akhirat kelak. Berlumba-lumbalah untuk melakukan kebaikan dari segenap segi dan ruang yang ada.
"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui" (surah al-Baqarah: 261)
Maahad Tahfiz Al-Qur'an al-Islah Kampus Desa Pinggiran Putra (MTQI@DPP)
22, Jalan Pinggiran Putra 4/8, Desa Pinggiran Putra, 43000 Kajang, Selangor.
 Nombor pendaftaran JAIS: 0111/99

Selasa, 3 Disember 2013

Beberapa Perbezaan Asasi antara Ahli Sunnah dan Syiah

(Gambar 12 Imam mengikut kepercayaan Syiah)

1. Rukun Islam. 

Rukun Islam bagi Ahli Sunnah adalah lima perkara - mengucap dua kalimah syhadah, menunaikan solat 5 waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat apabila cukup syarat-syaratnya, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan (hadith riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain).

Rukun Islam bagi Syiah Imamiah adalah lima perkara - wilayah, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, dan berpuasa. (al-Kulaini, kitab Usul Kafi). 

Rukun Islam bagi Syiah Ismailiyah Batiniyah adalah tujuh perkara - wilayah, bersuci, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, berjihad. (al-Qadhi an-Nukman, kitab Da'aa'im al-Islam)

2. Rukun Iman

Rukun Iman bagi Ahli Sunnah adalah 6 perkara - beriman kepada Allah, Malaikat-Malaikat, Kitab-Kitab, Para Rasul, Hari Akhirat dan Qada' & Qadar (hadith riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain) (surah al-Baqarah: 285)

Syiah Imamiah meletakkan ucapan dua kalimah syahadah sebahagian daripada rukun Iman (al-Kulaini, kitab Usul Kafi). Puak Syiah Imamiah dan Syiah Ismailiyah Batiniyah meletakkan rukun wilayah sebagai rukun Iman yang dasar dan utama, selain mereka meletakkanya dalam rukun Islam.

Syiah bersepakat dengan Ahli Sunnah dalam keimanan kepada Malaikat-Malaikat, Kitab-Kitab, Para Rasul, Hari Kiamat dan Qada' & Qadar, tetapi mempunyai penafsiran dan pemahaman yang berbeza.

a) Kepercayaan kepada Malaikat.

Ahli Sunnah percaya bahawa Malaikat diciptakan daripada cahaya (hadith riwayat Muslim). Syiah percaya bahawa Malaikat diciptakan daripada cahaya Ali bin Abi Tolib radhiallahu 'anhu. (as-Sayyid Hasyim al-Bahrani, Ma'alim az-Zulfa fi Ma'arif an-Nasya'at al-Ula).

Syiah percaya bahawa salah satu tugas Jibril adalah menjadi pelayan kepada Imam-Imam Syiah (al-Majlisi, Biharul Anwar), bertentangan dengan Ahli Sunnah yang percaya bahawa tugas Jibril adalah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam (surah asy-Syura: 193-194).

Syiah juga percaya ada Malaikat yang ditugaskan untuk menangisi dan menzirahi kubur Husain radhiallahu 'anhu (Wassail as-Syiah). Kepercayaan ini tidak wujud dalam kepercayaaan ahli Sunnah.

b) Kepercayaan kepada Kitab

Ahli Sunnah dan Syiah bersepakat mempercayai bahawa al-Qur'an adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam untuk umat Islam (surah an-Nahl: 89). 

Namun, Syiah beranggapan bahawa al-Qur'an yang dimiliki oleh ahli Sunnah, yakni Mushaf Usmani tidak asli dan percaya kandungannya mengalami penyelewengan, penambahan dan pengurangan. Mereka juga percaya bahawa al-Qur'an memiliki 17,000 ayat (al-Kulaini, Kitab al-Kafi).

Syiah percaya kewujudan kitab suci selain al-Qur'an yang dikenali sebagai Mushaf Fatimah. Mereka juga percaya bahawa 12 Imam mereka mempunyai 12 suhuf (lembaran) tersendiri yang diberikan oleh Allah subhana wa ta'ala (al-Kulaini, Kitab al-Kafi; Ikmal ad-Din, kitab Ibnu Babwaih al-Qummi)

c) Kepercayaan kepada Rasul

Ahli Sunnah dan Syiah bersepakat mempercayai bahawa Allah subhana wa ta'ala telah mengutuskan para Rasul kepada manusia (surah an-Nisa': 152). Namun, Syiah turut menyamakan kedudukan para Rasul dengan Imam-Imam mereka.

Syiah Imamiah dan Syiah Ismailiyah Batiniah  meletakkan sifat yang ada pada para Rasul turut berada pada Imam-Imam mereka. Mereka percaya Imam-Imam mereka menerima wahyu (al-Majlisi, Biharul Anwar). Bahkan, mereka menggangap darjat Imam-Imam mereka lebih tinggi daripada darjat para Nabi (al-Majlisi, Biharul Anwar; Ibnu Babwaih, I'tiqaadat).

Syiah juga percaya bahawa Imam-Imam mereka memiliki mukjizat seperti para Rasul seperti menghidupkan orang yang telah mati, berkomunikasi dengan haiwan dan mengatahui perkara yang sudah dan akan berlaku (Husain Abdul Wahab, 'Uyuun al-Mu'jizat).

Syiah Zaidiyah mempunyai iktikad yang berbeza dengan Syiah Imamiah dan Ismailiyah Batiniah dalam bab kenabian dan mukjizat.

d) Kepercayaan kepada Hari Kiamat.

Ahli Sunnah dan Syiah percaya akan kewujudan hari Kiamat yang pasti akan berlaku. Namun Syiah berbeza pendapat dengan ahli Sunnah dalam beberapa perkara.

Mereka percaya bahawa para Imam mereka yang akan menghisab amalan seseorang pada hari Kiamat (al-Kulaini, Usul Kafi), dan Allah subhana wa ta'ala menciptakan Syurga daripada cahaya Husain radhiallahu 'anhu (Ibnu Babwaih, I'tiqaad).

Mereka juga percaya bahawa soalan pertama yang akan ditanya di Akhirat kelak adalah mengenai kecintaan seseorang terhadapa Ahlul Bait (al-Majlisi, Biharul Anwar), serta penduduk Qum tidak akan melalui proses hisab, bermula daripada kebangkitan daripada kubur, timbangn mizan dan perlu melalui titian sirat, sebaliknya mereka terus dihisab di kubur serta dibawa terus ke Syurga melalui pintu khas (al-Majlisi, Biharul Anwar).

Ahli Sunnah percaya bahawa segala urusan di hari Akhirat, termasuk urusan Syurga dan Neraka adalah di bawah kekuasaan Allah subahana wa ta'ala (hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

e) Kepercayaan kepada Qada' dan Qadar

Syiah cenderung kepada pandangan Muktazilah iaitu Tuhan tidak menciptakan perbuatan manusia, tetapi manusia yang mewujudkan perbuatan itu (Abdul Jabbar, Syarah al-Usul al-Khamsah). Ahli Sunnah yakin bahawa Allah subhana wa ta'ala mencipta perbuatan manusia. Namun, ahli Sunnah dan Syiah bersepakat bahawa manusia mampu mengubah takdir dan mempunyai pilihan.



Terdapat banyak lagi perbezaan ahli Sunnah dan Syiah selain perkara dasar di atas seperti wasiat khalifah secara nas dan turun-menurun, kemaksuman Imam, kebangkitan kembali (raj'ah), mengkafirkan para sahabat dan tidak menerima hadith yang diriwiyatkan daripada ahli Sunnah, menolak qiyas dan ijmak, pernikaah mut'ah, taqiyyah dan banyak lagi.

Semoga aqidah dan pegangan kita tetap utuh di atas landasan yang benar sehingga ke penghujung nyawa. 

Ameen.

-Diolah daripada buku Agenda Politik Syiah; Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat, tulisan Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni, Pensyarah Kanan Jabatan Agama & Teologi USIM-