Sabtu, 5 November 2011

'Eiduladha


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

'Eiduladha disambut setiap tahun bukanlah hanya untuk melengkapkan jadual. Bukan hanya untuk menyembelih binatang. Bukan hanya untuk bercuti. Ia adalah hari kemenangan. Hari kemenangana untuk orang yang berkorban.

'Eiduladha adalah satu manisfestasi kepada pengorbanan. Harta, masa dan tenaga dikorbankan untuk mereka yang pergi menunaikan haji di tanah suci. Harta dikorbankan untuk mereka yang melaksanakan ibadah korban. Masa dan tenaga dikorbankan untuk mereka yang menghidupkan malam hari raya, bertakbir dan bertahmid, pergi menunaikan solat sunat 'Eiduladha di pagi Raya dan menjadi tenaga penggerak kepada perlaksanaan ibadah korban. Semua perkara dikorbankan.Tiada pengorbanan ke arah perkara mungkar dan maksiat. Tiada pengorbanan tanpa kesusahan dan kepayahan yang perlu dihadapi sebelumnya. Kesusahan adalah perkara yang tidak disukai oleh manusia. Ia adalah perkara yang menyusahkan, menyakitkan dan memberi kepedihan kepada manusia kerana manusia sifatnya mencintai dunia, kesenangan dan kelapangan.

Begitulah indahnya putaran hidup yang disediakan oleh Allah kepada kita. Diciptakan manusia dengan fitrah menyukai sesetengah perkara. Lalu dijujiNya dengan perkara yang tidak disukai dan disenangi oleh sifat-sifat tersebut. Apabila manusia berjaya melalui ujian tersebut dengan ikhlas tanpa merungut, tabah tanpa berputus asa, Allah berikan 'hadiah 'kepada hamba-hambaNya.

Hadiah untuk mereka yang pergi menunaikan haji adalah haji mabrur yang hanya syurga layak baginya. Hadiah untuk orang yang melaksanakan ibadah 'korban' adalah pahala yang berlipat ganda kerana memberi makan orang-orang miskin. Hadiah untuk orang-orang fakir dan miskin adalah bekalan makanan yang boleh dibuat bekal untuk meringankan beban hidup. Ibrah kisah Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. adalah contoh yang terbaik dan paling mudah difahami oleh generasi kemudian mengenai pengorbanan. Pengorbanan tanpa berbelah bahagi apabila mendapat seruan Ilahi, demi hanya untuk keredhaaNya. Keinginan dan impian menjadi tiada erti apabila bertembung dengan arahan Yang Maha Esa.

Hadiah yang terbesar adalah hadiah yang kita tidak nampak kini. Hadiah bertemu Ilahi dan dikurniakan syurga yang kekal abadi. Ia memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Kepayahan dan kesusahan yang bukan sedikit.

'Eiduladha adalah hadiah daripada ilahi untuk hamba-hambaNya. Hadiah awal sebelum hadiah yang lebih besar di akhirat kelak. Persolannya, adakah kita sudah berkorban di dalam hidup ini untuk memperoleh redhaNya?Adakah kita sudah mengalami kesusahan?

Salam 'Eiduladha. Maaf Zahir & Batin kepada semua.

Taqabballahu minna wa minkum

8.15 am, 6.11.2011
Kg. Sg. Kelong, Pasir Puteh,
Kelantan Darul Naim.

Selasa, 1 November 2011

Catatan HOSHAS


Sekali lagi ruangan ini dibiarkan begitu lama tanpa sebarang perhatian.

Dibiarkan mata pena ini tumpul. Tumpul setumpul-tumpulnya. Saya akan cuba asah untuk kembali tajam. Sedikit demi sedikit.

________________________________________________________________________________


Alhamdulillah, sudah hampir 2 bulan melalui proses berpraktikal di hospital. Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang praktikal dirasakan seolah-olah jauh melebihi apa yang dicapai dan difahami selama 3 tahun sebelumnya. Terlalu banyak perkara baru yang diperoleh setiap hari walaupun hampir semua sebenarnya telah dipelajari di dalam kelas teori selama 3 tahun sebelum ini.

Benarlah apa yang sering dikatakan, medan teori tidak akan sama dengan medan praktikal.

Orang yang hanya biasa dengan tarbiyyah dan silibusnya, usrah, pengisian, liqa' fikri tidak akan bisa memahami dan merasai apa yang dirasai oleh orang yang biasa terjun dan bergelumang di dalam medan dakwah dan siasah. Orang yang biasa bersama dengan golongan elit dan terpelajar tidak akan dapat merasai apa yang dirasai orang yang biasa bergaul dengan orang ramai.

2 bulan berpraktikal, banyak perkara yang dilihat dan sepatutnya diinsafi oleh hati yang keras ini. Hari ini berjumpa dengan pesakit, esoknya dia sudah dipanggil Ilahi. Hari ini dapat berbual-bual dengan pesakit, esoknya dia sudah tidak sedarkan diri. Hari ini berjumpa dengan pesakit yang menunggu 'masa', esoknya dia sudah mampu bercakap. Semuanya bisa berubah sekelip masa. Mengapa begitu?

Ia kerana semuanya di tangan Tuhan. Hanya Dia yang berhak memberi nikmat kesihatan atau menarik nikmat kesihatan. Hanya Dia yang mampu memberi nyawa dan menarik nyawa. Walau sehebat mana pun doktor, ahli farmasi dan dietitian yang membantu untuk merawat seseorang, walau secanggih mana pun alat yang digunakan, walau semahal mana pun ubat yang diberikan, jika Dia tidak mengizinkan untuk kembali sihat, pesakit itu tetap tidak sembuh. Sungguh hebat kuasa Tuhan!

Berada di hospital, memperlihatkan diriku akan kasih sayang dan cinta sesama manusia. Cinta seorang isteri kepada suami, kasih seorang ibu kepada anak, sayang seorang anak kepada ibu/ayah. Mereka setia menunggu dengan sabar dan penuh harapan walaupun adakalanya keadaan orang yang ditunggu tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Sayangilah keluarga anda kerana merekalah orang yang akan setia bersama kita hingga ke akhir hayat.

Amat rugi jika kita berada di hospital, namun kita gagal untuk menghubungkan apa yang berlaku dengan rahmat dan kuasa Tuhan. Pandangan kita akan menjadi kosong jika tidak mengaitkan apa yang berlaku dengan Ilahi.

Hospital adalah tempat yang terbaik selain kubur dan mendampingi ulama' serta majlis ilmu untuk membuatkan kita mengingati mati dan menginsafi tentang segala nikmat yang telah diberikanNya kepada kita.

Jom ke hospital untuk menjadi orang yang 'bijak'!

2 November 2011/ 21:02
Rumah ALLHS, Taman Jaya 3,
Temerloh, Pahang Darul Makmur