Sekali lagi ruangan ini dibiarkan begitu lama tanpa sebarang perhatian.
Dibiarkan mata pena ini tumpul. Tumpul setumpul-tumpulnya. Saya akan cuba asah untuk kembali tajam. Sedikit demi sedikit.
________________________________________________________________________________
Alhamdulillah, sudah hampir 2 bulan melalui proses berpraktikal di hospital. Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang praktikal dirasakan seolah-olah jauh melebihi apa yang dicapai dan difahami selama 3 tahun sebelumnya. Terlalu banyak perkara baru yang diperoleh setiap hari walaupun hampir semua sebenarnya telah dipelajari di dalam kelas teori selama 3 tahun sebelum ini.
Benarlah apa yang sering dikatakan, medan teori tidak akan sama dengan medan praktikal.
Orang yang hanya biasa dengan tarbiyyah dan silibusnya, usrah, pengisian, liqa' fikri tidak akan bisa memahami dan merasai apa yang dirasai oleh orang yang biasa terjun dan bergelumang di dalam medan dakwah dan siasah. Orang yang biasa bersama dengan golongan elit dan terpelajar tidak akan dapat merasai apa yang dirasai orang yang biasa bergaul dengan orang ramai.
2 bulan berpraktikal, banyak perkara yang dilihat dan sepatutnya diinsafi oleh hati yang keras ini. Hari ini berjumpa dengan pesakit, esoknya dia sudah dipanggil Ilahi. Hari ini dapat berbual-bual dengan pesakit, esoknya dia sudah tidak sedarkan diri. Hari ini berjumpa dengan pesakit yang menunggu 'masa', esoknya dia sudah mampu bercakap. Semuanya bisa berubah sekelip masa. Mengapa begitu?
Ia kerana semuanya di tangan Tuhan. Hanya Dia yang berhak memberi nikmat kesihatan atau menarik nikmat kesihatan. Hanya Dia yang mampu memberi nyawa dan menarik nyawa. Walau sehebat mana pun doktor, ahli farmasi dan dietitian yang membantu untuk merawat seseorang, walau secanggih mana pun alat yang digunakan, walau semahal mana pun ubat yang diberikan, jika Dia tidak mengizinkan untuk kembali sihat, pesakit itu tetap tidak sembuh. Sungguh hebat kuasa Tuhan!
Berada di hospital, memperlihatkan diriku akan kasih sayang dan cinta sesama manusia. Cinta seorang isteri kepada suami, kasih seorang ibu kepada anak, sayang seorang anak kepada ibu/ayah. Mereka setia menunggu dengan sabar dan penuh harapan walaupun adakalanya keadaan orang yang ditunggu tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Sayangilah keluarga anda kerana merekalah orang yang akan setia bersama kita hingga ke akhir hayat.
Amat rugi jika kita berada di hospital, namun kita gagal untuk menghubungkan apa yang berlaku dengan rahmat dan kuasa Tuhan. Pandangan kita akan menjadi kosong jika tidak mengaitkan apa yang berlaku dengan Ilahi.
Hospital adalah tempat yang terbaik selain kubur dan mendampingi ulama' serta majlis ilmu untuk membuatkan kita mengingati mati dan menginsafi tentang segala nikmat yang telah diberikanNya kepada kita.
Jom ke hospital untuk menjadi orang yang 'bijak'!
2 November 2011/ 21:02
Rumah ALLHS, Taman Jaya 3,
Temerloh, Pahang Darul Makmur
3 ulasan:
sedihnya. sedangkan ramai je org yg kat luar tu, sihat walafiat and choose utk commit suicide just sbb gaduh dgn bf. ceteknya pemikiran.
may Allah bless you and give you a great health to continue writing such a beautiful thing to share with others :)
Memang banyak yang boleh dibelajar dan diinsafi apabila diberikan ruang untuk berada dihospital sebagai pegawai kesihatan.. Ambil peluang yang ada untuk belajar sebanyak-banyaknya.. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang bersyukur... ;)
Amiin..Doakan agar dimudahkan segalanya dan dibuka mata hati ini agar setiap perkara yang berlaku dan setiap detik yang berlalu mendekatkan diri ini kepadaNYA..
Catat Ulasan