Politik..
Masjid..
Dua suasana yang pastinya digambarkan oleh banyak pihak sebagai sangat berbeza. Mana mungkin politik dan masjid boleh bersama. Apatah lagi disatukan.
Apabila disebut politik, pasti ramai yang terbayang akan beberapa parti yang bertanding, dengan manifesto dan posternya dan yang menang akan ke dewan, sama ada dewan dun atau parlimen. Di situ pula akan berlaku pergaduhan, maki-hamun, kata-mengata antara dua pihak yang tidak sehaluan.
Apabila disebut masjid, pasti ramai yang terbayang akan satu tempat yang damai dan tenang, yang kebiasaannya dipenuhi oleh orang tua, tempat untuk solat dan mendengar ceramah agama dan tempat untuk solat Jumaat.
Benarkah politik tidak harus dibenarkan berada di dalam masjid?
Sebelum menjawab soalan ini, harus kita merujuk kembali kepada istilah masjid dan politik dan seterusnya merujuk kembali kepda contoh ikutan terbaik, Nabi Muhammad S.A.W.
Apakah yang dimaksudkan dengan masjid? Apakah yang dimaksudkan dengan politik?
Dari segi bahasa, masjid bermaksud tempat sujud, iaitu tempat mengerjakan sembahyang. Dari segi sosio-politik, ia bermaksud suatu tempat berkumpul bagi tujuan untuk mendapatkan keredhaan dan keberkatan ilahi.
Politik atau siyasah (bahasa Arab) berasal daripada perkataan saas yasus siyasah yang membawa maksud memimpin atau mengatur. Di dalam perbahasan kamus Tajul Arus, as-siyasah membawa maksud melakukan sesuatu yang akan mendatangkan kebaikan. Di dalam buku 'Ma'rifah Ulum as-Siyasah', as-siyasah diertikan sebagai suatu disiplin ilmu tentang organisasi sosial kemasyarakatan. Sementara itu, dalam Kamus Kamil, politik dikatakan berkenaan dengan kekuasaan dan pentadbiran dalam masyarakat awam. Di dalam Ensiklopedia al-Ulum al-Ijtima'iyyah, politik membawa maksud, 'segala aktiviti manusia yang berkaitan dengan penyelesaian pelbagai konflik dan menciptakan keamanan bagi masyarakat'. (Sila rujuk: Agama dan Politik; Wawasan Ideal dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular-Liberal, tulisan Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawy)
Dalam kamus dewan edisi ke-4 terbitan tahun 2005, politik didefinisikan sebagai sebagai ilmu pengetahun berkenaan cara atau dasar-dasar pemerintahan. Dr Khalid B Ali B Muhammad Al-Anbariy pula mendefinisikan politik atau siyasah, di dalam bukunya, 'Sistem Politik Islam Menurut Pandangan Al-Quran, Al-Hadis & Pendapat Para Ulama' sebagai menguruskan sesuatu urusan dan memperbaikinya (dari segi bahasa) dan mentadbir urusan negara/satu ilmu kemahiran memerintah negara (dari segi istilah).
Jelas sekali politik atau siyasah itu amat luas skopnya jika dibandingkan dengan apa yang sering tergambar di kotak pemikiran orang ramai. Apa-apa yang berkaitan dengan pemerintahan, kepimpinan dan kekuasaan adalah termasuk di dalam ruang lingkup siyasah atau politik.
Benarkah politik tidak harus dibenarkan berada di dalam masjid?
Tiada contoh yang terbaik untuk diikuti melainkan mengikut jalan dan cara hidup Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat Baginda. Apa yang dilakukan Baginda dikira sunnah walaupun peringkatnya/jenis-jenisnya ada sedikt perselisihan di kalangan Ulama' (Sunnah Ibadah, Sunnah Adat dll)
Adakah Rasullulah S.A.W dan para Sahabat berpolitik di dalam masjid?
Pada zaman Rasullullah S.A.W., masjid adalah merupakan tempat ibadat, pusat pemerintahan (baca:Putrajaya), tempat letaknya Baitumal Negara (baca:Bank Negara), tempat persinggahan dan tempat menyambut tetamu (baca:Hotel Hilton dan Putrajaya), tempat membuat perisytiharan kepada umat termasuk perisytihataran pelantikan Khalifah (baca: PWTC dan Putrajaya) [Sumber: al-Sirat Nabawiyyat Fi al-Quran Wa al-Sunnat, karangan Abu Shuhbah] dan banyak lagi fungsinya yang berkaitan dengan ibadah, pemerintahan dan masyarakat.
Adakah Rasulullah S.A.W. tidak berpolitik di dalam masjid? Pusat pemerintahan, Baitumal, pengisytaharan khalifah, semuanya adalah berkaitan dengan politik. Bukan sahaja Rasulullah S.A.W. berpolitik di dalam masjid, bahkan menjadikannya sebagai pusat politik.
Siapa kita untuk menentang contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W?
Siapa lagi yang harus kita contohi dalam hidup ini jika bukan Rasulullah S.A.W.?
Adakah dengan pinjaman kuasa yang sedikit ini menjadikan kita ego, buta dan tuli untuk melihat kembali sunnah Rasulullah S.A.W. dan mengikuti Baginda?
Apabila isu ini hangat kembali buat sekalian kalinya, suatu benda tersirat yang sering kita terlepas pandang; betapa berjayanya pihak penjajah (baca:British) memesongkan fikiran rakyat di negara ini bahawa agama dan pemerintahan (politik) adalah dua entiti yang berbeza dan saling terpisah. Mereka berjaya menghadkan kuasa raja-raja sebagai ketua hal ehwal agama dan ketuanan Melayu sahaja. Selepas undang-undang ini diterima, secara rasminya rakyat di negara ini didoktrinkan bahawa agama dan pemerintahan adalah berbeza. Mereka juga berjaya meninggalkan kuda-kuda tunggangan mereka untuk diserahkan pemerintahan negara ini mengikut acuan mereka dan seterusnya meneruskan segala agenda dan doktrinisasi mereka. Hasilnya, dapat dilihat kini.
Amat sedikit rakyat negara ini yang memahami politik daripada kerangka sebenar. Mereka memahami politik dari ruang lingkup yang sempit dan tiada kaitan langsung dengan agama. Masjid hanya untuk beribadat. Ustaz hanya untuk berceramah dan mengajar kitab. Ulama' hanya perlu berada di dalam majlis fatwa dan hanya mengeluarkan fatwa yang selari dengan kehendak pemerintah.
Hasilnya juga dapat dilihat daripada sudut politik dan pemerintahan. Rasuah, penipuan, kronisme, sistem kapitalis berluas-luasa. Tiada ulama' sebagai penasihat utama pemerintah. Pemerintah amat kurang ilmu agamanya. Mengapa terjadi begitu? Tidak lain tidak bukan kerana agama dianggap tiada kaitan lansung dengan pemerintahan dan politik.
Penulis agak terkejut kerana isu menyampaikan khutbah berbaur politik hangat diperkatakan. 'Mereka' mungkin tidak sedar yang sebenarnya 'mereka' telah lama mem'politik'kan khutbah. Adakah penyelarasan khutbah bagi setiap tempat, hanya khatib yang bertauliah sahaja yang dibenarkan menyampaikan khutbah, kempen buah-buahan dan kebersihan di dalam khutbah dan doa kesejahteraan kepada pemerintah/sultan/pemangku raja bukan termasuk di bawah kategori mempolitikkan khutbah?
'Mereka' mungkin tidak sedar dan tidak akan sedar kerana 'mereka' tidak mengerti apa sebenarnya yang dinamakan politik dan sejauh mana perkaitan politik dengan Islam itu sendiri. Proses doktrin yang berjaya oleh pihak Barat dan kuda-kuda tunggangan mereka. Ingat! Anda tidak akan selamanya berjaya. Itu janji Ilahi.
"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)" - (Surah at-Taubah:32)
* Mereka: merujuk kepada sesiapa yang berkenaan
18:05 PM,
26 Jamadil Awwal 1431,
Kota Anggerik, Tanah Melayu
-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-