Isnin, 5 April 2010

Kematian = Pintu ke Arah Alam Seterusnya



Selepas pemergian Yanie Mentor, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian penghibur dan pelawak terkenal, Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri.

Din Beramboi menghembuskan nafas yang terakhir di hospital Selayang pada sekitar pukul 12.35 malam 1 April selepas dimasukkan ke wad rapatan rapi (ICU) sehari sebelumnya.

Punca kematiannya secara rasmi adalah disebabkan oleh wabak denggi walaupun sebelumnya hangat diperkatakan puncanya adalah disebabkan oleh air kencing tikus.

Bukanlah mencari punca kematiannya yang perlu dijadikan topik utama untuk didebatkan atau digosipkan (istilah yang sinonim di dalam dunia hiburan) oleh kita yang masih diberi secebis peluang untuk meminjam dan merasai nikmat-Nya ini.

Apa yang penting untuk kita lihat adalah pengajaran disebalik pemergian salah seorang daripada hamba-Nya ini. Jika punca sebenar kematiannya adalah disebabkan denggi, sudah semestinya dalang utama yang menjadi asbab kepada kematian tersebut adalah binatang kecil yang membunuh, si nyamuk.

Teringat kepada kisah kematian pemerintah zalim di zaman Nabi Ibrahim a.s, Raja Namrud yang begitu gah di zaman pemerintahannya, namun akhirnya tumpas di tangan tentera Allah yang kecil. Begitu sekali Allah menghina Namrud. Di sini bukanya dimaksudkan Arwah Din Beramboi adalah persis Namrud, tetapi yang inginku tekankan adalah kekuasaan Allah S.W.T..

DIA adalah pemilik segalanya. DIA memiliki segalanya. DIA berhak atas segalanya.

Walau segah mane pun seseorang itu di zaman hidupnya, jika takdir penghujungnya adalah disebabkan binatang sekecil nyamuk, maka itulah takdir penghujungnya. Pilihan kita, bagaimana kita memilih untuk bagaimana jalan penghujung itu. Asbabnya mungkin tetap sama. Seseorang itu mungkin boleh meninggal dunia disebabkan nyamuk dalam keadaan terhina seperti yang berlaku kepada Namrud. Seseorang itu mungkin juga boleh meninggal dunia disebabkan nyamuk, namun dalam keadaan yang terpuji. Asbab yang sama, tetapi penghujung yang berbeza. Semuanya berkait dengan jalan hidup seseorang.

Bagaimana cara dan keadaan kematian kita adalah manifestasi awal bagaimana keadaan kita di alam sana. Kita yang memilih jalan untuk diri kita dan kita pasti akan dipertanggungjwab atas segala pilihan kita.

Jika pada pilihanraya dunia pun slogan bijak memilih sering dilaung-laungkan, apatah lagi di dalam membuat pilihan ke arah kehidupan di sana. Sudah semestinya pilihan yang bijak harus dilakukan..

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

subahanallah... kata2 yang menyentuh hati...

teruskan ingatkan aku tentang mati!