Isnin, 11 Januari 2010

Sikap Umat Yang Merugikan Islam



Tarikh:4 Januari 2009

Lokasi: Majid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan, Pahang


Selepas solat Asar, aku dan rakan-rakanku bergegas untuk ke padang bola sepak yang berdekatan dengan Masjid Sultan Ahmad Shah 1 untuk satu perlawanan bola sepak Inter Kulliyyah UIA Kuantan.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan suara seorang lelaki yang meninggikan suara di kawasan sekitar masjid. Kelihatan seorang lelaki tua yang berambut panjang paras bahu dan berjambang dalam kebingungan. Orang ramai terus mengelilingi lelaki tua tersebut.

Lelaki tersebut dipandang jijik. Ada sebahagian orang ramai yang turut memaki lelaki tersebut. Seketika kemudian, seorang pengawal keselamatan datang membawa lelaki tersebut keluar daripada masjid.

Mengapa lelaki tersebut dimarahi dan dimaki sedemikian rupa?

Aku tidak pasti puncanya yang sebenar, tetapi daripada pemerhatianku, lelaki tersebut dimarahi kerana dia bukanlah seoarang yang beragama Islam+tersilap memasuki masjid+tersilap memakai kasut di perkarangan masjid.

Wajarkah lelaki tersebut diperlaku sedemikian rupa??

Adakah mana-mana ajaran Islam atau sunnah Rasul mengajar untuk kita bersikap sebegitu?

Sungguh sayu rasanya. Namun, aku hanyalah seorang anak muda yang berada di celahan orang ramai yang 'menyerang' lelaki tersebut. Tiada apa yang mampu aku lakukan melainkan perasaan belas terhadap lelaki tua tersebut dan hampa dengan sikap orang yang kononnya kuat mempertahankan agama Islam.
-Yusof Eates-
(Bekas paderi yang kini merupakan seorang pendakwah yang terkemuka)


Bagaimana agaknya jika Rasulullah S.A.W. turut berada di tempat kejadian? Adakah Baginda turut menyerang dan memaki lelaki tersebut?

Sekali lagi kita perlu singgah kepada sirah khatimunnabi, nabi Muhammad S.A.W. Bagaimana sikap baginda apabila seorang lelaki Arab Badwi memasuki masjid dan membuang air kecil di salah satu tiang masjid tersebut.

Bagaimana sikap Nabi S.A.W ketika itu? Para sahabat ingin menghalang perbuatan lelaki tersebut, bahkan ada yang ingin membunuh lelaki Arab Badwi tersebut. Namun, Nabi S.A.W. menghalang perbuatan tersebut. Baginda menyuruh agar diselesaikan urusannya itu terlebih dahulu.

Baginda S.A.W. pun bersabda: "Kamu diutuskan untuk memudahkan dan kamu tidak diutus untuk menyusahkan". Kemudian Baginda S.A.W. menyuruh para sahabat untuk menjirus tempat najis itu dengan sebaldi air.

Bagaimana akhlak Baginda jika dibandingkan dengan akhlak kita dan akhlak umat Islam kesuluruhannya masa kini?

Siapakah yang harus kita contohi melainkan akhlak dan kehidupan Nabi S.A.W.?

Jika keadaan dan sikap ini berterusan, amat mustahil untuk kita membersihkan nama Islam yang kian tercemar, apatah lagi untuk menarik orang yang bukan Islam ke arah Islam.

Kembalilah kepada ajaran Islam yang syumul melalui penghayatan kepada al-Quran dan as-Sunnah secara keluruhannya.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: