Khamis, 7 Mei 2009

Kuliah Matan Arbain (Hadith ke-15)


Tarikh: 7 Mei 2009
Masa : 19.50-21.05
Tempat: Surau Al-Islah, Seksyen 7
Penceramah: Ust Nazmi Abdul Karim
Tajuk : Hadith Matan Arbain (Hadith ke-15)
عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: (( مَنْ آَانَ یُؤْمِ نُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ آَانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ آَانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ )) رواه البخاري ومسلم
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya". (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)



Kuliah hadith semalam dimulakan dengan majlis pengislaman seorang saudara baru yang berbangsa Cina. Seorang wanita muda yang berusia 25 tahun. Bekerja sebagai penjual minyak wangi. Alhamdulillah, beliau telah dipilih oleh Allah untuk menerima hidayahNya yang tidak ternilai. Semoga beliau terus istiqamah di dalam Islam. Ameen..

Selepas mengucapkan 2 kalimah syahadah di hadapan Ustaz Nazmi dan Ustaz Yusof Kwan, beliau telah diberikan nama Nur Hidayah oleh Ustaz Nazmi. Namun, Ustaz Nazmi menegaskan, tidak mengapa jika beliau mahu mengekalkan nama Cinanya asalkan namanya itu tidak membawa maksud yang bertentangan dengan akidah.


Daripada Juraih, beliau mendengar baginda Rasullullah bersabda, "Demi Allah, seseorang itu tidak beriman". Nabi S.A.W. mengulangnya sebanyak 3 kali.

Para sahabat berkata: " Beratnya orang itu. Siapakah orang itu, wahai Rasulullah?"

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Orang-orang yang jirannya tidak berasa tenteram dengannya"

Begitu berat tuntutan dan hak terhadap jiran. Kita harus menjaga hati dan perasaan mereka. Jika mereka tersinggung dengan apa-apa perbuatan kita, maka kita berdosa, hatta kalau kita menperdengar bacaan ayat-ayat al-Qur'an secara kuat sehingga menggangu jiran tetangga, kita tetap dikira berdosa. Apatah lagi jika memasang lagu secara kuat atau berkaraoke seperti pada majlis perkahwinan dan menggangu jiran tetangga, semestinya kita berdosa.

Ustaz memberikan 1 contoh lagi yang menarik. Jika kita hendak renovate (ubah suai) rumah, kita harus meminta keizinan jiran kita terlebih dahulu. Jika kerja-kerja pengubahsuaian rumah tersebut menggangu ketenteraman jiran, maka kita sudah berdosa (melainkan mendapat keizinan mereka). Jika hasil daripada penubahsuaian rumah tersebut menyebabkan jiran kita terhalang daripada menerima cahaya matahari, maka kita juga telah berdosa.

Contohilah bagaimana cara Rasulullah melayan para jirannya terutama jirannya yang beragama Yahudi. Akhirnya, dia telah memeluk agama Islam hasil daripada kesantunan akhlak Nabi S.A.W. dan sikap Baginda yang tidak pernah berdendam atas segala yang telah dilakukannya.

Kisah Malik Bin Nabi, seorang tabi'in yang hebat juga boleh dijadikan teladan untuk kita semua.

Beliau telah tinggal berjiran dengan seorang Yahudi. Orang Yahudi tersebut dengan sengajanya mengubahsuai tandasnya agar menghala ke arah rumah Malik Bin Nabi. Dinding rumah orang Yahudi tersebut sudah agak uzur. Setiap hari, pasti ada air kumbahan daripada rumah orang Yahudi tersebut memasuki rumah Malik Bin Nabi. Namun, Malik Bin Nabi tidak pernah bersuara. Setiap hari beliau akan membersihkan air kumbahan orang Yahudi tersebut yang telah memasuki rumah beliau. Orang Yahudi tersebut telah mengetahui keadaan itu, tetapi sengaja dibiarkan agar Malik Bin Nabi akan hilang sabar dan akan memulakan pergaduhan antara mereka. Setelah sekian lama, keadaanya masih sama. Setiap hari Malik Bin Nabi akan membersihkan air kumbahan orang Yahudi yang terlepas masuk ke rumahnya tanpa merungut sebarang pun.

Orang Yahudi tersebut akhirnya naik berang dengan keadaan tersebut. Dia pun pergi berjumpa dengan Malik Bin Nabi dan bertanya mengapa beliau tidak pernah marah dengan apa yang telah dia lakukan selama ini. Malik Bin Nabi menjawab, "Aku pernah mendengar satu hadith bahawa Nabi S.A.W. bersabda, "Jibril sentiasa menasihati aku agar menjaga hati jiran kerana dikhuatiri jiranmu itu akan mewarisi hartamu kelak"

Apabila mendengar kata-kata Malik Bin Nabi itu, orang Yahudi tersebut terus meminta maaf dan menyatakan keislamannya di hadapan Malik Bin Nabi.

Berbuat baiklah dengan jiranmu walaupun mereka melakukan sebaliknya.


Menurut Sufyan Atsauri, ada 10 jenis manusia yang dikategorikan sebagai tidak berhati perut atau kejam.

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk ibu bapanya, anak-anaknya dan kaum mukmin yang lain.

2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran /belajar Al-Quran, tetapi dalam 1 hari dia tidak mampu membaca seratus ayat.

3. Seorang yang masuk ke dalam masjid lalu keluar tanpa menunaikan sembahyang sunat 2 rakaat tahiyyatul masjid.

4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

5. Seorang yang sampai/melalui di suatu kota pada hari Jumaat dan keluar kota tersebut tanpa menunaikan sembahyang Jumaat.

6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, namun tidak mahu belajar /ambil manfaat apa-apa daripadanya.

7. Dua orang yang bertemu di perjalanan (bermusafir) dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

8. Seorang yang diundang pada sesuatu jamuan/majlis, namun tanpa keuzuran, dia tidak menghadirkan diri.

9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan/ menghabiskan masa muda tanpa belajar ilmu agama.

10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberikan makanannya itu.

-Allah S.W.T lebih mengetahui segalanya-

1 ulasan:

Ahmad Firdaus Fuzai berkata...

aduh~ dalam 1-10 tuh.. duk kat bahagian mana lah kita nih..
Zalimnya aku nih~