Khamis, 5 Jun 2008

Hargailah mereka

Setiap ciptaan Allah pasti ada manfaatnya. Hatta binatang sekecil nyamuk dan semut pun mempunyai fungsi mereka sendiri dalam alam ini. Apatah lagi manusia yang merupakan sebaik-baik ciptaan Allah di muka bumi ini. Ruangan ringkas ini akan membicarakan mengenai 2 golongan manusia yang tidak diharapkan sangat untuk diikuti,tapi sebenarnya terdapat nilai murni daripada mereka yang boleh kita contohi.

Paling ikhlas dan berterus terang

Sedarkah kita siapa yang paling jujur dan berterus terang dalam perbuatan mereka??
Jawapanya adalah kanak-kanak. Sering kali kita menyeru anak-anak kecil untuk mencontohi akhlak dan adab orang tua. Dalam bab jujur dan berterus terang, kita seharusnya mencontohi mereka. Ramai yang terlepas pandang keistimewaan kanak-kanak ini. Mereka sangat jujur dalam perbuatan, perangai dan sebarang komen. Jika mereka tidak suka, mereka akan berterus terang tanpa segan silu. Jika kita meminta komen tentang sesuatu perkara, mereka pasti meluahkan terus apa yang terbuku dalam hati mereka tanpa sebarang segan dan risau. Memang hebat. Kelebihan semulajadi yang dikurniakan oleh Alllah. Hanya sesetengah orang dewasa sahaja yang mempunyai kemampuan seperti ini. Mungkin mereka golongan yang paling sesauai untuk menyahut suruhan 'amar makruf nahi munkar', dikala orang dewasa semuanya segan untuk melakukannya.


Paling tabah dan rajin

Siapa pula yang paling tabah dan rajin di zaman sekarang?

Jawapannya ialah bibik atau orang gaji anda. Tidak percaya? Mungkin ramai yang mungkin kurang bersetuju dengan kenyataan ini. Sedarlah, dikala ibu-ibu sibuk mencari rezeki di luar, merekalah yang mengambil tugas sebagai ibu walaupun mereka tiada apa-apa pertalian dan kepentingan pun. Jika mahu diukur dengan duit gaji yang diberikan, memang sangat tidak berbaloi. Mereka bekerja siang malam, tetapi gaji mereka hanya suku daripada gaji pekerja biasa. Mereka bagaikan hamba alaf baru yang diubah sedikit konsepnya. Tidak dinafikan terdapat sesetengah daripada bibik yang membuat masalah di rumah majikan mereka, tetapi bilangan mereka hanya kecil berbanding jumlah keseluruhan yang menceburi bidang ini. Malangnya, hanya sesetengah daripada majikan yang benar-benar menghormati golongan ini. Sepatutnya, merekalah yang perlu dihargai kerana telah berkhidmat pada kadar yang tidak sepatutnya. Jika kita menyoroti kembali sejarah Rasullulah S.A.W.. Bagaimana beliau telah bergaul dan menghormati orang-orang suruhan baginda seperti Zaid Bin Harithah r.a. Terasa begitu jauh kita tersasar daripada lapangan sebenar.

Semua ciptaan Allah dan kejadian di atas muka bumi ini pasti ada hikmahnya. Semuanya hanya terpulang kepada kita samada mahu memanfaatkannya ke arah mendekatkan diri kepada Allah atau sebaliknya. Semoga kita sentiasa menghormati dan menyayangi semua hidupan di atas bumi tidak kiralah ia adalah kanak-kanak, orang gaji, orang tua atau binatang mahupun tumbuhan. Semuanya ada hak masing-masing.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: