Isnin, 23 Jun 2008

Kembali Kepada Fitrah


"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah jua yang dapat memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya dan Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang diberi petunjuk" (Surah Al-Qasas:56)

Malam semalam surau Al-Islah menerima seorang lagi saudara baru. Kali ini seorang lelaki yang berbangsa India. Param nama asalnya.

Hampir setiap minggu surau Al-Islah didatangi oleh insan-insan yang ingin bersama-bersama dalam satu keluarga besar yang aman dan indah, iaitu Islam. Mereka semua dibawa oleh Ustaz Yusof Kwan yang telah berjaya membawa berpuluh-puluh individu-individu kembali kepada fitrah. Tahniah kepada Ustaz Yusof. Hanya Allah S.W.T. yang dapat membalas segala usaha Ustaz.

Lazimnya, majlis pengIslaman diadakan selepas sembahyang Maghrib. Maklumlah, waktu tersebut merupakan waktu yang paling ramai jemaah dapat menghadirkan diri ke surau. Penulis berkesempatan untuk bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis berjalan dengan lancar dan dipimpin oleh Guru Al-Qur'an yang disayangi, Ustaz Rusli Mat Zain.

Majlis selesai dengan bacaan doa dan saudara baru mendapat nama Islamnya yang baru iaitu Muhammad Abdullah. Ketika itu terdetik di hati penulis rasa kagum kepada insan yang bernama Muhammad Abdullah ini dan insan-insan lain yang sanggup berhijrah daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Mereka berhijrah bukan pada nama sahaja, tetapi seluruh hidup mereka. Terasa kerdilnya diri ini. Adakah kita sanggup dan mampu untuk berhijrah untuk seluruh hidup kita??..Berhijrah untuk sesetengah perkara pun sudah teramat berat, apatah lagi berhijrah segalanya.

Orang Islam yang menerima Islam secara warisan sering merasa selesa dengan keIslaman mereka. Mereka merasakan Islam yang ada pada mereka sudah cukup segalanya. Tiada lagi istilah hijrah ke arah kebaikan. Di sinilah sebenarnya mengapa Islam kian dimusuhi. Ibubapa merasakan sudah cukup memberi didikan agama kepada anaknya dengan menghantar ke kelas-kelas fardhu ain dan mengaji, remaja merasakan Islam mereka sudah cukup di dada dengan songkok di atas kepala. Malangnya, penghayatan dan pengamalan Islam semakin dilupakan. Berapa ramai yang mengaku dirinya menganut agama Islam tetapi lansung tidak mencerminkan Islam yang sebenarnya. Malah, mereka mendatangkan fitnah kepada Islam itu sendiri.

Imam Ghazali telah mengajar kepada kita bagaimana untuk mengelakkan diri daripada perasaan riya' dengan merasakan diri ini telah sempurna Islamnya. " Apabila kamu bersua dengan orang-orang Kafir, katakan dalam hati bahawa suatu hari nanti mungkin dia akan insaf dan memeluk Islam. Maka semua dosa yang dilakukannya sebelum memeluk agama Islam akan diampunkan oelh Allah S.W.T., sedangkan kita yang telah Islam sejak lahir, terus menerus melakukan dosa. Banyak mana dosa dan pahala tidak dapat dipastikan."

Jika kita dapat menanam perasaan tersebut di dalam diri, maka insyAllah hilanglah rasa bangga diri dengan amalan yang sedikit dan sentiasa tidak bersikap prejudis terhadap orang bukan Islam. Seperkara yang menarik, penulis mendapati insan-insan yang memeluk agama Islam secara rasmi di surau Al-Islah ini, semuanya hampir tidak boleh bercakap bahasa Melayu. Jika boleh sekalipun, bahasa Melayu mereka amat lemah. Ini menunjukkan bahawa Islam ini bukan hanya untuk orang Melayu sahaja. Tidak mungkin mereka akan tertarik untuk memeluk Islam jika Islam hanya untuk bangsa Melayu sahaja sedangkan mereka sendiri tidak faham bahasa Melayu. Maka, perjuangan untuk memartabatkan bangsa seperti yang dilaungkan oleh sesetengah pihak, bukanlah perjuangan yang berlandaskan Islam seluruhnya kerana Islam untuk semua bukan untuk sesetengah kaum sahaja. Bukan untuk bangsa Arab. Bukan untuk bangsa Melayu. Islam untuk seluruh insan yang bernama manusia.

Penulis juga mendapati bahawa golongan yang berhijrah ini kebanyakannya adalah daripada golongan-golongan yang kurang berada. Benarlah sabda Rasullulah S.A.W. bahwa baginda telah melihat golongan fakir dan miskin merupakan golongan yang paling ramai menghuni Syurga kelak. Penderitaan dan kesusahan telah mendekatkan mereka kepada fitrah berbanding dengan golongan berada yang sibuk dengan keasyikan dunia.

"....dan Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus " (Surah Al-Baqarah : 213)

Senantiasalah berdoa agar hidayahNya dikekalkan di dalam diri kita hingga ke akhir hayat kita kelak. Amiin..

" Ya Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan kami sesudah Engkau memberi petunjuk dan berikanlah rahmat kepada kami, dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi " (Surah Ali 'Imran: 8)

-Allah S.W.T lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: