"Salam..Najib, free tak hujung minggu ni??", tanyaku.
"Free..Kenapa??", jawab Najib kehairanan.
"Hajatnya, nak pergi tempat kau..", tambahku lagi.
"Biar betul!!..Datanglah...", balas Najib dengan nada terkejut bercampur baur dengan gembira. Najib amat terkejut dengan panggilanku ini kerana minggu lepas baru sahaja Najib datang melawat ke rumahku. Tidak sampai seminggu, dia telah menerima lawatan balas.
Daripada perbualan inilah bermulanya kembara kami sekeluarga ke Cameron Highlands pada hari Sabtu-Ahad lepas. Segalanya tidak dirancang. Hanya pada petang Jumaat sehari sebelum kami bertolak, baru kami terfikir tentang kembara ini.
" Tok Wan dah lama berhajat nak pergi Cameron Highlands, lagipun semua cuti sekarang kecuali Amin. Along cuba la tanya kawan kat Cameron tu kot-kot boleh tumpang sehari-dua ", Umiku megemukakan pendapat.
Setelah memaklumkan kepada Najib yang merupakan sahabatku sejak di Darul Quran lagi, kami sekeluarga berserta atuk dan nenekku terus bertolak ke Cameron Highlands pada pagi Sabtu (21 / 6 / 2008)
Kami tiba di Tanah Rata kira-kira dalam pukul 12 tengah hari. Selepas disambut oleh Najib dan menikmati makan tengah hari, kami terus ke Stesen Penyelidikan MARDI. Rumah Najib terletak di dalam stesen tersebut kerana dia merupakan staff MARDI.
Kami berehat sehingga petang. Selepas Asar, kami memulakan kembara di kawasan sekitar Stesen Penyelidikan MARDI. Alangkah indahnya ciptaan Tuhan. Dari stesen yang dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan komersial MARDI ini, kami dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana sayur-sayur dan bunga-bunga ditanam secara moden. Udara yang segar dan nyaman menceriakan lagi kami sekeluarga. Lebih menggembirakan, kami dapat memetik dengan sendiri pokok salad untuk dibawa pulang. Terima kasih kepada Najib dan MARDI.
Selepas puas mengelilingi stesen penyelidikan MARDI termasuk menaiki puncak yang dikelilingi oleh ladang teh yang tertua di Malaysia, kami sekeluarga bergerak pula ke Brinchang. Di sana terdapat pasar malam yang amat terkenal di kalangan pelancong dan penduduk tempatan. Pasar malam yang sungguh panjang ini merupakan pusat bagi penduduk tempatan untuk menjual buah-buahan dan sayur-sayuran hasil usaha mereka sendiri. Cenderamata dan bunga banyak dijual, malah, bundle juga banyak dibuka di pasar malam ini. Setelah selesai membeli belah, kami pun pulang ke Stesen Penyelidikan MARDI dan berehat di sana.
Keesokannya, hari Ahad (22 / 6 / 2008), kami sekeluarga sekali lagi menjelajah ke Stesen Penyelidikan MARDI. Kali ini penulis berpeluang memetik sendiri buah tomato untuk dibawa pulang dan sekali lagi berpeluang mengambil salad daripada pokoknya. Sungguh segar.
Selepas selesai segalanya, kami pun berangkat pulang. Kami terpaksa bergegas pulang kerana kesihatan nenekku tidak mengizinkan untuk kami menetap lama di Cameron Highlands. Dalam perjalanan pulang, seperti biasa, Cameron Bharat pasti disinggahi untuk membeli teh yang beranika jenis.
Kami tiba di Shah Alam dalam pukul 2.30 petang.
Walaupun kunjungan kami ke Cameron Higlands kali ini bukanlah yang pertama, tetapi tidak dinafikan, kembara ini adalah antara yang terbaik dan terindah. Banyak yang kami dapat pelajari dan renungi terutamanya kuasa Yang Maha Pencipta Yang Amat Berkuasa atas segalanya.
Terima kasih kepada Najib kerana sudi menerima kehadiran kami sekeluarga walaupun tidak dimaklumkan awal-awal. Semoga Allah S.W.T. membalas segala jasa baikmu. Tidak lupa juga kepada warga MARDI kerana sudi menerima kunjungan kami sebagai sebuah keluarga.
-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan