Terdapat beberapa rahsia mengapa Semenanjung 'Arab dipilih sebagai tapak pancaran Islam, bukannya di Parsi atau Rome mahupun India dan Cina. Allah berkuasa dan mampu untuk menentukan mana-mana sahaja tempat di dunia untuk menjadi tapak penyebaran Islam, tetapi dengan segala kuasa dan iradahNya, Tanah Arab telah dipilih. Semuanya tidak lain dan tidak bukan, hanya untuk manusia berfikir akan segala hikmah ketetapanNya. Antara rahsia mengapa Semenanjung 'Arab yang dipilih:
1) Semenanjung 'Arab di kala itu tenang, jauh dan terpencil daripada segala huru-hara (tidak bertamadun)
Parsi di kala itu berlaku pertembungan antara agama dan falsafah yang beraneka corak. Pembesar dan pemerintah keseluruhannya menganut agama Majusi (Zuradisy) yang mana ajarannya menggalakkan lelaki berkahwin dengan ibunya, anak perempuannya atau adiknya.
"Terdapat antara ajaran agama Mazdak yang menyebut bahawa kebebasan kaum wanita tiada hadnya. Begitu juga kebebasan menggunakan harta benda dan seterusnya menjadikan wanita dan harta benda tidak ubah seperti air, api dan rumput di mana semua berkongsi tanpa sekatan"- petikan dari kitab Al-Mihal Wa Al-Nihal oleh Imam Al-Shahrastani-
Kerajaan Romawi pula begitu meluap-luap dengan jiwa dan semangat penjajahan dan bergelut dalam persengketaan agama antara pihak Kristian negeri Syam dan Mesir. Ia bergantung sepenuhnya kepada kekuatan angkatan tentera dan cita-cita penjajahannya. Negara ini berada dalam keadaan kucar-kacir dalam keadaan kemewahan. Kenaikan cukai yang begitu tinggi telah menjadi satu lumrah.
Greek tua pula tenggelam ke dalam dasar lautan khurafat dan dongeng yang tidak memberi sebarang faedah dan natijah. Negara India pula menurut Professor Abul Hasan Al Nadwi, telah berada di lembah kemerosotan agama, akhlak dan kemasyrakatan.
Perlu diketahui bahawa anasir-anasir yang membawa bangsa-bangsa ini ke lembah kerosakan dan perpecahan ialah disebabkan kemajuan dan tamadun yang dicapai adalah berasaskan material semata-mata. Jadi, ia bisa mudah untuk runtuh jika berlaku sebarang pergolakan.
Semenanjung 'Arab di kala itu merupakan suatu kawasan yang tenang, jauh dan terpencil dari gejala huru-hara tadi. Bangsa 'Arab tidak pernah merasai kemewahan dan kemajuan, tidak pula mengagungkan kekuatan tentera. Mereka juga tidak menganut falsafah dan ideologi karut seperti di Greek Tua. Tabiat semula jadi ini menjadikan mereka seperti suatu "bahan mentah" yang belum ditempa oleh mana-mana tamadun, idealogi dan fahaman. Hasilnya, bangsa ini lebih mudah dibentuk dan diacu dengan acuan Islam.
2) Semenanjung 'Arab terletak di tengah-tengah pelbagai bangsa (Parsi, Rome, Greek, India, Cina)
3) Penduduk Semenanjung 'Arab dan Rasulullah S.A.W. itu sendiri seorang yang buta huruf.
Keadaan ini telah menghilangkan syak wasangka golongan kuffar, orientalis dan golongan yang bertopengkan Islam untuk mempersoalkan ajaran Islam adalah ciptaan manusia. Sesuatu yang mustahil untuk Rasulullah S.A.W. dan bangsa 'Arab untuk mencedok ajaran Islam daripada kitab-kitab purba mahupun mana-mana falsafah, kerana mereka sendiri adalah golongan yang buta huruf.
4) Terdapatnya Baitul Haram di Semenanjung 'Arab
Terdapatnya Baitul Haram yang telah menjadi rumah ibadat pertama di Semenanjung 'Arab. Baitul Haram sentiasa menjadi tumpuan dan simbol kesejahteraan untuk umat manusia seluruhnya sejak daripada zaman Nabi Ibrahim A.S.
5) Keistimewaan Bahasa 'Arab
Jika diperhatikan dan dikaji antara semua bahasa di dunia, ternyata Bahasa 'Arab mempunyai banyak keistimewaan berbanding bahasa-bahasa yang lain. Bahasanya sungguh indah. Lihat sahaja Al-Qur'an. Tiada apa yang dapat menandinginya. Jadi, adalah wajar bahasa yang indah ini dijadikan bahasa penghantar yang utama untuk penyebaran Islam kerana Islam itu sendiri sememangnya indah.
Sumber: Kitab Fiqh Sirah karangan Dr Sa'id Ramadhan Al-Buti
-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan