Sabtu, 13 Oktober 2012

Bulan Pertama di Riyadh..Alhamdulillah!

~Pelajar-Pelajar Malaysia di Riyadh bergambar selepas kursus haji~

Alhamdulillah, sudah sebulan menjejakkan kaki di bumi Riyadh, negara kelahiran manusia paling agung dan mulia dalam sejarah kehidupan manusia.

Alhamdulillah, walaupun baru sahaja berusia sebulan menjadi rakyat sementara Arab Saudi, pelbagai pengalaman baru sudah dirasai. Pengalaman-pengalaman ini tidak mungkin dirasai tanpa penghijrahan ke bumi Riyadh. Syukur paduMu Ilahi!

Alhamdulillah, kemasukan 9 orang pelajar baru Universiti Islam Al-Imam Muhammad Ibn Saud pada fasa kali ini telah menjadikan pelajar Malaysia yang belajar di universiti ini seramai 20 orang. Peningkatan mendadak hampir 1 kali ganda. InsyAllah 3 orang lagi pelajar Malaysia akan tiba di Riyadh pada fasa kedua (awal tahun 2013).

Alhamdulillah, segala proses dan urusan kami di sini berjalan dengan lancar, bermula di lapangan terbang (kumpulan kami hanya perlu menunggu + 1jam untuk urusan kemasukan buat pertama kali ke Riyadh, berbanding senior-senior terdahulu yang terpaksa menunggu selama 2-3 jam). Kami juga disambut dan diraikan oleh senior-senior yang sudah sedia menunggu di lapangan terbang antarabangsa Riyadh. 

Alhamdulillah, setibanya kami di asrama universiti (baca:sakan), kami terus mendapat bilik tetap di tingkat satu bangunan baru yang tidak pernah digunakan sebelum ini (senior-senior terdahulu terpaksa menunggu selama 2-3 minggu sebelum memperoleh bilik yang tetap). Alhamdulillah, bilik yang disediakan cukup lengkap dengan kemudahan asas seperti katil, almari, dapur, oven, peti sejuk, bilik air dan air-cond. Segala urusan kami selepas itu seperti pendaftaran universiti, temuduga untuk menentukan kelas Bahasa Arab, pemeriksaan kesihatan dan urusan-urusan lain banyak dibantu oleh senior-senior. Terima kasih!

Sejujurnya, sistem pengurusan pendaftaran di universiti ini (mungkin seluruh Arab Saudi) jauh ketinggalan berbanding sistem yang diguna pakai di Malaysia. Sangat tidak teratur dan memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menempuhnya. Alhamdulillah!

Alhamdulillah, saya telah ditempatkan di level 2 (baca: mustawa 2) kelas Bahasa Arab bersama-sama dengan 6 orang lagi pelajar Malaysia. Sistem di sini memerlukan pelajar melepasi 4 level (baca: mustawa) Bahasa Arab di Maahad Bahasa, kemudian mengambil diploma pendidikan selama 2 semester sebelum ke kuliah selama 4 tahun. 

Semester ini kami di mustawa 2 mengambil 8 subjek iaitu subjek Nahu, Sorof, Qiraah, Kitabah, Masmu', Hadith, Ulum Quran dan Ta'bir. Terasa sangat seronok belajar di Maahad Bahasa kerana kelas di Maahad hanya dikhususkan untuk pelajar bukan dari Arab Saudi. Maka, kelas kami diwarnai oleh pelbagai bangsa dari pelbagai negara yang mempunyai agama yang satu, iaitu Islam dan tujuan yang satu, iaitu menuntut ilmu, khususnya Bahasa Arab. Kelas kami terdiri daripada para pelajar daripada Guinea, Ivory Coast, Ghana, Nigeria, Mongolia, Bosnia, Kygystan, Nepal, India, Filipina, Turki, Great Britain, Thailand (Pattani) dan China. Guru-guru kami pula merupakan rakyat Mesir dan rakyat Arab Saudi. Kami belajar perkara yang hampir sama seperti di sekolah menengah (asas Bahasa Arab) di Malaysia, namun pendekatan di sini ternyata berbeza. Bahasa Arab menjadi subjek yang sangat seronok untuk dipelajari. Alhamdulillah!

Alhamdulillah, makanan tidak menjadi masalah di sini kerana lansung tidak sukar mencari makanan yang halal. Selepas sebulan berada di sini, nasi Arab sudah menjadi makanan biasa yang dimakan. Kadang-kadang, nasi Arab menjadi makanan yang menjemukan. Ia amat berbeza dengan situasi di Malaysia. Nasi Arab menjadi rebutan ramai. Di Universiti, terdapat kantin yang menyediakan makanan untuk pelajar-pelajar yang tinggal di asrama. Harganya lebih rendah berbanding dengan harga makanan di luar. Harga makanan pagi sebanyak SR 2 (selalunya roti+kuah+jem/kaya+minuman seperti susu/teh), manakala makanan tengah hari dan malam pula sebanyak SR 5 (nasi arab/ spaghetti/ lasagna + ayam/ kambing/ ikan + air mineral/ yogurt/ susu/ jus buah + manisan/ buah). Kini, kebiasaanya kami hanya makan tengah hari di kantin, manakala makan malam kebiasaannya disediakan sendiri oleh kami (masak mengikut giliran bilik).

Alhamdulillah, hubungan pelajar Malaysia Riyadh dan perkerja Malaysia Riyadh sangat rapat di sini. Antara aktiviti mingguan kami di sini ialah bermain futsal pada setiap pagi khamis (cuti hari minggu di sini ialah hari Khamis dan hari Jumaat). Hampir semua pelajar Malaysia di sini akan turun bermain futsal bersama-sama dengan pekerja-pekerja Malaysia. Jika berkelapangan, perlawanan bola sepak persahabatan (bola padang) juga diadakan antara pelajar Malaysia Riyadh vs pekerja Malaysia Riyadh pada malam minggu (setakat ini sudah 2x perlawanan diadakan, kedua-duanya berkesudahan seri). Apa yang menarik, kebiasaanya para pekerja Malaysia akan mengadakan jamuan selepas daripada perlawanan tersebut. Ketika inilah segala kerinduan terhadap masakan Malaysia dilepaskan kerana kebiasaanya isteri-isteri pekerja Malaysia akan menyediakan makanan dan masakan Malaysia. 

Alhamdulillah, kami juga berkesempatan menghadiri kelas pengajian Sheikh Soleh Fauzan Al-Fauzan Hafizahullah pada setiap hari Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa. Kami pergi ke sana dengan menaiki bas mini yang disediakan oleh Universiti. Sheikh Soleh Fauzan adalah salah seorang Ulama' besar Arab Saudi yang masih hidup. Beliau mengajar kitab Feqah, Tauhid, Sifat Solat dan Hadith untuk sesi kali ini. Pada minggu lepas, pelajar Universiti al-Imam didatangi oleh Imam Masjidil Haram yang sangat terkenal, Sheikh Abdurrahman As-Sudais Hafizahullah. Alhamdulillah, sempat bersalam dengan beliau dan beliau sempat bertanya khabar kepadaku (budaya Arab ketika setiap kali berjumpa/berselisish di tengah jalan).

InsyAllah, jika diberi keizinanNya, kami akan melaksanakan ibadah haji pada tahun ini (pihak Universiti akan membawa semua pelajar baru menunaikan haji). InsyAllah, kami akan bertolak ke Mekah al-Mukarramah pada 7 Zulhijjah 1433. Doakan kami.

Ketika ini cuaca masih lagi panas di siang hari tetapi sudah di penghujung musim panas.

Setakat ini dahulu catatan setelah sebulan berkelana di bumi Riyadh.


6.09 petang (Selepas Maghrib),
27 Zulkaedah 1433,
Bilik 102, Mabna 34,
Universiti Islam al-Imam Muhammad Ibn Saud,
Riyadh, Arab Saudi. 

Ahad, 9 September 2012

Kehidupan Baru di Perantauan



Assalamu'alaikum..

Dengan izin-Nya, insyaallah, jam 3 petang ini (Isnin, 10 September 2012), saya akan berlepas ke Arab Saudi untuk menuntut ilmu di Universiti al-Imam, Riyadh.

Buat semua ahli keluarga sahabat dan kenalan..

Mohon kemaafan andai ada perkara-perkara yang telah dilakukan sebelum ini yang telah melukakan kalian

Mohon dimaklumkan segera jika ada hutang yang masih belum dilunaskan.

Mohon doa kalian agar keberangkatan dan permusafiran kali ini diberkati dan sentiasa di bawah rahmat Ilahi.

Sekian. Allahu'alam.
Wassalam.

Ahad, 5 Ogos 2012

Sukan Olimpik & Kewajipan Berpuasa



Isu berhubung atlet yang beragama Islam dalam menyertai Sukan Olimpik 2012 yang diadakan pada bulan Ramadan menjadi perhatian ramai pihak kerana membabitkan perbincangan bagi ibadah puasa terhadap atlet tersebut. Sukan Olimpik tersebut diadakan di London, England, United Kingdom bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos 2012.[1]

Sehubungan itu, MANHAL PMRAM membahagikan perbincangan kepada beberapa bahagian iaitu :

Kewajipan Puasa Dalam Bulan Ramadan

Ibadah puasa dalam bulan Ramadan merupakan satu kewajipan dan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA berkata[2] :

فإن رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَجَعَلَ يَصُومُ من كل شَهْرٍثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَصَامَ عَاشُورَاءَ وَصَامَ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا من رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَمَضَانَ ثُمَّ إِنَّ اللَّهَ عز وجل فَرَضَ عليه شَهْرَ رَمَضَانَ فَأَنْزَلَ عليه كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

 "Sesungguhnya Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka baginda SAW berpuasa pada hari 'Asyura dan puasa 3 hari tiap-tipa bulan. Dan adalah baginda berpuasa sedemikian selama 17 bulan bermula bulan Rabiulawal sehingga Rabiulawal tahun seterusnya sehingga masuk ke bulan Ramadan. Selepas itu, Allah mensyariatkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dengan menurunkan ayat mengenai kewajipan berpuasa (yang bermaksud ):
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,” (Surah Al-Baqarah : 183)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda,

"Dibina Islam itu atas 5 asas, penyaksian bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” (Bukhari dan Muslim)

Dalam ilmu usul fiqh kewajipan puasa dalam bulan Ramadan termasuk dalam ketegori wajib mudhaiyaq (sempit)[3]. Maka wajib mudhaiyaq (sempit) merujuk kepada tempoh puasa tersebut yang hanya pada bulan Ramadan, tidak pada bulan yang lain serta menjadi kewajipan setiap tahun bagi mereka yang cukup syarat iaitu Islam, baligh, berakal, bermukim dan mampu dari sudut syara’ dan kemampuan.[4]

Justeru, kewajipan puasa dalam bulan Ramadan merupakan wajib mudhaiyaq(sempit) yang tidak ada pilihan waktu lain untuk ditangguhkan bahkan menjadi kewajipan untuk dilaksanakan pada setiap tahun apabila cukup syarat. Ia berbeza dengan dengan kewajipan Haji yang merupakan wajib muwassa’ (luas) yang memberikan ruang waktu yang lain jika ada penangguhan. Maka dalam kewajipan puasa dalam bulan Ramadan tidak timbul soal ‘tangguh’.

Adapun rukhsoh (keringanan) yang diberikan kepada beberapa golongan bukanlah merupakan tangguh akan tetapi sebagai keringanan bagi golongan yang diberikan keuzuran untuk berbuka dalam masa yang sama wajib ganti puasa pada hari yang dibuka pada hari lain. Maka wajib ganti tersebut merupakan dalil bahawa kewajipan puasa tidak boleh ditangguh bahkan golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dikenakan puasa ganti. Dan juga golongan yang tidak mampu untuk berpuasa seperti orang tua yang memang tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dikenakan bayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan puasa. Hal ini menunjukkan bahawa kewajipan puasa dalam Ramadan tidak boleh ditangguhkan.

Golongan Yang Mendapat Rukhsoh Dalam Berpuasa

Terdapat beberapa golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dalam berpuasa. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan merupakan pilihan kepada orang yang berpuasa tersebut sama ada untuk meneruskan puasa atau berbuka namun menggantikannya pada hari yang lain.

Golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) ialah :

    1-   Musafir

-      Musafir yang mubah, bukan musafir bertujuan melakukan maksiat.
-      Lebih 2 marhalah iaitu melebihi 80 atau 90 kilometer[5]

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Imam Ibnu Taimiyah berkata : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikanrukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[6]

     2-   Orang Yang Sakit

Berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Sakit yang diberikan keringanan ialah sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh.

    3-   Orang Yang Mengandung Dan Yang Menyusukan Anak

Sama ada bimbang keselamatan diri atau anak dalam kandungan atau anak yang disusukan. Dalilnya diqiaskan kepada keringanan yang diberikan kepada orang yang bermusafir dan sakit.[7]

    4-   Orang Tua Yang Tidak Ada Kemampuan Untuk Berpuasa

Termasuk juga dalam kategori ini orang yang sakit namun tidak ada harapan untuk sembuh. Maka diberikan keringanan untuk berbuka bahkan wajib jika menyebabkan kematian. Tidak dikenakan puasa ganti melainkan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan berpuasa.[8]

Ibadah Puasa Bagi Atlet Yang Memasuki Sukan Olimpik

Sebagaimana yang telah dibentangkan di atas bahawa ibadah puasa dalam Ramadan bagi atlet yang beragama Islam wajib dilakukan dan tidak boleh ditangguh.

Namun jika atlet termasuk dalam kategori yang bermusafir maka diberikan keringanan untuk berbuka dan wajib ganti pada hari yang lain. Syarat musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka ialah musafir yang diharuskan iaitu bukan bertujuan maksiat dan melebihi 2 marlahah iaitu 80 atau 90 kilometer.[9]

Maka jika atlet tersebut bermusafir bagi bertujuan untuk bersukan iaitu riadhah kerana bersukan itu hukum asalnya adalah diharuskan[10] dan antara faedah sukan itu ialah menyegarkan tubuh badan maka ia termasuk dalam kategori musafir yang diharuskan. Walaupun di saat ia bersukan ia melakukan maksiat iaitu tidak menutup aurat. Hal ini demikian kerana tujuan asal adalah diharuskan.[11]

Berbeza dengan musafir yang bertujuan maksiat, maka ia tidak diberikan rukhsoh(keringanan) kerana kaedah menyebutkan bahawa :

“Rukhsoh (keringanan) tidak diberikan kepada perkara maksiat”

Justeru, jika atlet berniat ketika musafir untuk membuka aurat dalam pertandingan maka niat musafirnya adalah bertujuan maksiat dan tidak diberikan rukhsoh (keringanan).

Dan tempoh rukhsoh (keringanan) berhubung musafir adalah berdasarkan kepada tempoh musafir. Temph musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) ini terdapat perselisihan pandangan fuqaha[12] :

  1-   Mazhab Hanafi : jika niat bermukim selama 15 hari dan lebih maka tidak adarukhsoh (keringanan) sebaik tiba di tempat bermukim

   2-   Mazhab Maliki Dan Mazhab Syafie : jika niat bermukim di sesuatu tempat empat hari atau lebih, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim

   3-   Mazhab Hanbali :  jika niat bermukim di sesuatu lebih daripada empat hari, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim

Justeru rukhsoh (keringanan) untuk berbuka tersebut bukan paksaan ke atas atlet. Rukhsoh (keringanan) bukanlah disebabkan Sukan Olimpik, tetapi disebabkan musafir yang memenuhi syarat (muafir yang diharuskan, melebihi 2 marlahah dan dalam tempoh bermusafir). Bahkan mana-mana individu muslim yang bermusafir diberikan rukhsoh (keringanan) kerana musafir itu sendiri sebab bagi rukhsoh (keringanan).

Dan inilah yang ditegaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[13]

Bahkan jika terdapat atlet muslim yang sakit yang diberikan syara’ akan rukhsoh(keringanan) iaitu sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh, maka rukhsoh (keringanan) tersebut adalah disebabkan sakit itu bukannya disebabkan Sukan Olimplik.

Maka ini sebagaimana juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Atiyah Saqar berkenaan soalan yang diajukan kepada beliau mengenai bolehkan seseorang yang menduduki peperiksaan di bulan Ramadan untuk berbuka bagi memudahkan mengulangkaji? Lalu Syeikh Atiyah Saqar menjelaskan bahawa orang tersebut diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka disebabkan sakit bukan disebabkan peperiksaan. Hal ini demikian beradasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Begitu juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumuah, pada 9 Julai 2012 berkenaan ibadah puasa atlet ketika Ramadan dengan menyebut :

الاِفْطارُ فِي حَالَةِ السَفَر أَوْ المَرَض طَبَقًا لِلنَّصِّ القُرْآنِي : فَمَنْ كانَ مِنكُم مَريضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِن أَيَّامٍ أُخَر". وتابع جمعة "لا عَلاقَةَ بِالرِياضَة بِهذِه الرُخْصَة لِاَنَّهُ لَوْ اُقِيْمَتْ البُطُولَةُ فِي مِصْر مَا جازَ الاِفْطَار

“Berbuka (disebabkan rukshoh) dalam keadaan musafir atau sakit terdapat dalam nas al-Quran iaitu “Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”. Dan Syeikh Ali Jumuah menambah bahawa rukhsoh tersebut tidak ada kaitan dengan sukan (Olimpik) kerana jika pertandingan diadakan dalam Mesir maka (atlet Mesir) tidak diharuskan berbuka.”

Adapun jika berbuka puasa kerana pekerjaan yang berat sehingga mengganggu nafkah wajib dalam kehidupan[14], maka dilihat kepada beberapa perkara :

  1-  Tidak ada pekerjaan yang lain melainkan pekerjaan itu sahaja. Dan pekerjaan berat tersebut mestilah yang diharuskan oleh syara’.

 2- Mendatangkan mudarat kepada diri sama ada ketika bekerja atau tidak mampu puasa menyebabkan tidak mendapat nafkah.

 3- Maka jika mudarat itu datang ke atas dirinya, maka dilihat kepada batasan bagi golongan sakit yang diberikan rukhsoh (keringanan) iaitu berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah kerana sakit yang menimpa.

 4- Jika mudarat itu datang disebabkannya tidak mampu bekerja sehingga menghilangkan nafkah maka dilihat bahawa mestilah nafkah tersebut merupakan nafkah yang wajib iaitu nafkah yang merupakan keperluan asasi yang akan menyebabkan kecelakaan dalam kehidupan jika hilang. Maka ia termasuk dalam konteks dharurat.[15]

 5- Dan kerja berat dalam mendapatkan nafkah wajib tersebut terikat dalam masa dan waktu perjanjian yang dilakukan. Maka jika selain pada waktu dan masa kontrak perjanjian, maka ia tidak dibolehkan kerana tidak termasuk dalam konteks kerja berat dalam mendapatkan nafkah yang wajib


Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, pihak MANHAL PMRAM menekankan beberapa perkara yang penting dalam isu yang melibakan Sukan Olimpik dalam bulan Ramadan dan ibadah puasa bagi atlet Ramadan iaitu :

  1- Kewajipan puasa dalam Ramadan merupakan wajib mudhaiyyaq (sempit), maka tidak boleh ditangguhkan. Yang ada hanya rukhsoh (keringanan) untuk berbuka bagi golongan tertentu dan diwajibkan ganti pada hari yang lain.

  2- Atlet yang berada dalam keadaan musafir (musafir yang diharuskan dan melebih 2 marlahah) maka diberikan rukhsoh (keringanan) dalam tempoh musafir tersebut.Rukhsoh (keringanan) merupakan pilihan kepada atlet dan atlet tidak dipaksa untuk berbuka.

  3- Tempoh musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) adalah berbeza mengikut pandangan fuqaha sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, maka mestilah merujuk kepada ahli yang berautoriti agar selari dengan realiti masyarakat Islam di Malaysia yang mengamalkan Mazhab Syafie.

  4- Sekiranya atlet tidak termasuk dalam golongan yang diberikan rukhsoh(keringanan), maka tidak ada rukhsoh (keringanan) lain bagi atlet tersebut untuk berbuka. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah sebab syar’ie yang mengharuskan, bukan sebab Sukan Olimpik.

  5- Atlet muslim juga mestilah menutup aurat semasa dalam pertandingan kerana ia merupakan kewajipan dan juga bagi menghormati bulan Ramadan.

  6-  Maka pekerjaan berat dalam mencari nafkah yang wajib yang diberikan rukhsoh(keringanan) mesti dilihat dari sudut batasan mudarat ke atas diri atau kecelakaan apabila hilang nafkah wajib serta masa yang terikat dengan perjanjian. Justeru, adakah atlet merupakan satu pekerjaan sebagaimana dalam perbincangan tersebut, ia perlu dinilai dari sudut apa yang telah dibincangkan di atas.

 7- Berkenaan dengan Sukan Olimpik yang dianjurkan dalam bulan Ramadan, MANHAL PMRAM melihat sepatutnya negara-negara Islam dalam OIC dan Liga Arab mengambil tindakan yang tegas dalam menuntut agar diadakan pada bulan selain Ramadan bahkan mungkin melakukan boikot sekiranya penganjuran tersebut bertujuan mencemarkann kesucian Ramadan dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

 8-  Ataupun negara-negara Islam boleh mendahulukan non-Muslim bagi mewakili negara dalam Sukan Olimpik yang dilakukan pada bulan Ramadan sekiranya dengan penarikan diri daripada sukan tersebut akan menyebabkan kerugian. Dan jika atlet muslim juga yang mewakili negara Islam dalam sebarang sukan dalam bulan Ramadan, maka perbahasan adalah sebagaimana di atas.

Wallahu a'lam

Disediakan oleh barisan Felo MANHAL PMRAM 2012 yang terlibat :

Muhamad Zuhaili Saiman
Ainuddin Ishak
Ahmad Ulwan Hassim
Muhammad Zikri Mohamad Zaki

Rujukan :

1-   Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2-   Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
3-   Fiqh as-Siyam, DR Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
4-   Al-Fatawa Min Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah at-Taufiqiyah
5-   At-Taqrirat as-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaf, cetakan Dar al-Mirath an-Nubuwah
6-   Nihayah as-Sul Fi Syarh Minhajal-Wusul Ila ‘Ilmi al-Usul, Syeikh Jamaluddin Abdul Rahim bin Hasan al-Isnawi


[2]  تفسير آيات الأحكام   jilid 1 karangan Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni, dan جامع البيان   jilid ke-2 karangan At-Tabrani
[3]  Nihayatul as-Sul Fi Syarh Minhaj al-Wusul Ila ‘Ilm al-Usul, Imam Jamaluddin Abdul Rahim bin Hassan al-Isnawi, m/s 92, cetakan Dar Ibn Hazam
[4] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, jilid ke-3, m/s 1663-1668, cetakan Dar al-Fikr
[5]  Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[6]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[7]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[8]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[9] Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[10]  Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 49 cetakan Maktabah Wahbah
[11]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1346, cetakan Dar al-Fikr
[12]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1348, cetakan Dar al-Fikr
[13]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[14] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1702, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
[15]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1701, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr


Rabu, 4 Julai 2012

Euro 2012


Berlabuh sudah tirai kejohanan EURO 2012. Pasukan Sepanyol berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi mereka pada tahun 2008 selepas menewaskan Itali dalam perlawanan akhir yang berlansung di Kiev, Ukraine.

Beberapa rekod pasukan, kejohanan dan individu telah tercipta dalam kejohanan EURO edisi kali ini. Sepanyol menjadi pasukan pertama yang berjaya memenangi kejohanan EURO berturut-turut (mempertahankan kejuaraan pada tahun 2008) dan memenangi 3 kejuaraan dalam masa lima tahun (2 kejuaraan EURO dan 1 kejuaraan World Cup). Kemenangan 4-0 Sepanyol ke atas Itali dalam perlawanan akhir adalah kemenangan terbesar dalam perlawanan akhir sejak EURO diperkenalkan.

Iker Casillas menjadi pemain pertama yang memenangi 100 perlawanan antarabangsa dan menjadi ketua pasukan pertama yang menjulang 2 kejohanan EURO (berserta 1 kejuaraan World Cup dalam masa 5 tahun). Fernando Torres menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam 2 perlawanan akhir EURO. Iker Casillas, Raul Albiol, Andreas Iniesta, Xavi Hernandez, Fernando Torres, Cesc Fabregas, Santi Cazorla, Sergio Ramos, Xabi Alonso, David Silva, Pepe Reina dan Alvaro Albeloa adalah 12 pemain pertama yang menjulang kejuaraan EURO berturut-turut (2008 dan 2012). Semua pemain tersebut kecuali Santi Cazorla turut membantu Sepanyol memenangi kejohanan World Cup 2010. Vincente Del Bosque menjadi satu-satunya jurulatih yang memenangi kejuaraan World Cup, Euro, UEFA Champions League dan beberapa kejuaraan La Liga.

Kejohanan EURO sudah berlalu. Amat rugi jika hanya melihat dan menonton kejohanan tersebut tanpa mengambil hikmah dan iktibar untuk aplikasi kehidupan kita. Terdapat beberapa ibrah yang boleh dikutip daripada kejohanan EURO edisi kali ini.

1) Pasukan Sepanyol merupakan pasukan yang paling banyak membuat hantaran (passing) bola berbanding pasukan lain. Ini menunjukkan mereka bermain dan bergerak dalam satu pasukan bukannya bermain secara individu. Begitulah juga dalam gerak kerja seharian. Kerja berkumpulan / berjemaah akan menghasilkan impak yang lebih besar dan lebih berkesan berbanding bekerja secara sendirian. Bermula dari kerja-kerja kecil seperti membersihkan rumah secara gotong-royong sehinggalah melaksanakan kewajipan setiap muslim seperti berdakwah, amar makruf dan nahi mungkar, serta tuntutan yang lebih besar seperti menegakkan negara Islam, semuanya memerlukan gerak kerja secara berkunpulan. Walau sehebat manapun seseorang itu, kudratnya tetap terbatas untuk mencapai impak seperti bekerja secara berkumpulan. Contoh untuk kejohanan ini adalah pasukan Belanda. Mereka mempunyai pasukan yang sangat kuat terutama di barisan hadapan, namun tidak bergerak sebagai satu unit. Natijahnya, mereka kalah semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.


2) Sepanyol berada di zaman emasnya dengan kehadiran sekelompok pemain yang sama (11 orang pemain) yang bermain pada EURO 2008, World Cup 2010 dan EURO 2012. Sebahagian besar daripada mereka juga bermain di kelab yang sama, iaitu Barcelona dan Real Madrid. Sebahagian daripada mereka juga telah lama bermain bersama ketika dalam skuad remaja Sepanyol. Begitu juga dengan pasukan Jerman. Jerman mula menarik perhatian dunia dengan gaya permainan tersendiri ketika aksi World Cup 2010 dan berterusan pada edisi EURO kali ini walaupun mereka terkandas di peringkat separuh akhir. Sebenarnya, Jerman dan Sepanyol telah menuai hasil daripada perancangan masa panjang mereka yang bermula daripada zaman remaja pemain-pemain tersebut. Dua perkara yang boleh diiambil iktibar. Pertamanya, untuk membina satu pasukan yang kuat, pembinaan bukannya memakan masa sehari dua. Ia memerlukan satu tempoh masa tertentu yang memerlukan pengorbanan. Perkara yang perlu dibuat adalah merancang dan membina sebaiknya. Perkara kedua yang boleh diambil iktibar adalah orang muda atau pemuda merupakan generasi yang boleh melakukan perubahan. Perubahan yang dilakukan oleh golongan muda jika dipandu dan diacu sebaiknya, ia akan membawa imbak yang sangat positif.

3) Vincente Del Bosque adalah satu-satunya jurulatih yang pernah memenangi kejuaraan World Cup, Euro, UEFA Champions League dan beberapa kejuaraan La Liga. Namun, dia merupakan seorang yang sangat merendah diri. Inilah sikap sepatutnya yang ada dalam diri setiap Muslim. Walaupun sudah banyak mengecapi banyak kejayaan duniawi, kita kena tetap merendah diri kerana ia hanya pinjaman dari Ilahi.


4) Dalam satu organisasi, perlunya ada ketua yang menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak-anak buah. Iker Casillas, Gianluigi Buffon, Cristiano Ronaldo, Phillip Lahm, Steven Gerrard dan Andriy Shevchenko adalah antara kapten pasukan yang telah menunjukkan contoh dengan memberikan persembahan yang terpuji ketika pasukan mereka beraksi. Persembahan ketua pasukan selalunya akan mempengaruhi persembahan keseluruhan pasukan. Ia telah dibuktikn oleh persembahan ketua pasukan Belanda, Mark Van Bommel. Persembahan di bawah kemampuan sebenar beliau telah mempengaruhi persembahan pasukan Belanda. Andrea Pirlo dan Indreas Iniesta telah memberikan contoh yang baik bahawa pengaruh dapat dibina walaupun seseoran itu tidak mempunyai apa-apa jawatan. Kedua pemain-pemain tersebut telah memberikan pengaruh yang besar kepada persembahan pasukan Itali dan Sepanyol walaupun mereka bukanlah ketua pasukan. Ketiadaan ketua pasukan atau orang yang berpengaruh dalam pasukan /organisasi akan menyebabkan pasukan tersebut hilang arah. Ia telah ditunjukkan oleh pasukan Perancis yang masih mencari pemain yang berpengaruh untuk mengetuai pasukan mereka selepas persaraan Zinedine Zidane, Didier Deschamps, Patrick Vieira, Marcel Desailly, Lilian Thuram dan Laurent Blanc. 

5) Antara kunci untuk membina pengaruh dalam pasukan / organisasi adalah ketenangan. Pengaruh Andrea Pirlo dalam pasukan Itali banyak terbentuk daripada ketenangan beliau mengawal dan menghantar bola kepada rakan-rakan. Ketenangan beliau telah memberikan ketenangan kepada pasukan Itali.

6) Nasib seseorang boleh berubah jika ia berusaha keras untuk membaikinya. Fernando Torres melalui musim yang sukar di Chelsea, namun berubah menjadi wira Sepanyol seterusnya memenangi anugerah kasut emas EURO 2012. Cristiano Ronaldo dan Mario Balotelli dikritik hebat ketika aksi perlawanan pertama dan kedua peringkat kumpulan EURO 2012. Namun mereka berdua telah menunjukkan aksi yang memberansangkan selepas dua perlawanan pertama sehingga mendapat pujian media.


7) Strategi dan perancangan adalah perkara yang penting dalam kehidupan. Perancangan dan strategi yang tepat bakal membuahkan hasil yang baik. Apatah lagi jika ia membabitkan perkara-perkara besar yang membabitkan pertembungan dua pihak seperti di medan perang, medan dakwah, medan politik dan medan pertarungan. Rasullulah S.A.W. adalah pakar strategi yang paling unggul. Ia telah diwarisi oleh sahabat baginda seperti Khalid al-Walid, Usamah Bin Zaid dan generasi-generasi seterusnya seperti Salehuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fateh. Dalam kejohanan ini, beberapa contoh strategi yang berkesan dan membuahkan hasil yang positif adalah seperti yang dilakukan oleh Vincente Del Bosque dalam perlawanan akhir bertemu Itali, Roy Hodgson pada pertemuan England bertemu Sweden, Joachim Loew ketika pertemuan Jerman menentang Greece dan Slaven Bilic ketika pertemuan Crotia menentang Itali. Antara contoh strategi yang kurang tepat dan memberikan kerugian adalah seperti yang dilakukan oleh Cesare Prandelli dalam perlawanan akhir bertemu Sepanyol, Laurent Blanc ketika Perancis bertemu Sepanyol dan Bert Van Marwijk ketika Belanda bertemu Portugal.

8) Muka-muka baru / junior / golongan muda haruslah diberikan kepercayaan untuk menunjukkan kemampuan mereka walaupun mereka mungkin mempunyai pengalaman yang kurang. Jordi Alba, Mario Balotelli dan Alan Dzagoev adalah antara beberapa nama pemain muda yang telah mencuri tumpuan walaupun beraksi buat pertama kalinya dalam kejohanan besar.

9) Semangat juang yang tinggi dapat membantu melonjakkan prestasi pasukan / organisasi. Walaupun Greece bukanlah pasukan yang kuat dan dibarisi oleh pemain-pemain bintang, namun mereka terkenal sebagai pasukan yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Semangat mereka ditunjukkan dalam kejohanan ini apabila bangkit untuk melayakkan diri ke suku akhir walaupun pada mulanya mereka berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan A. Semangat mereka juga telah menghasilkan 2 gol dalam pertemuan menentang Jerman walaupun mereka tewas 2-4. Greece bukan pasukan yang setanding dengan Jerman untuk edisi Euro kali ini. Semangat juang ini jugalah yang sebenarnya telah membawa mereka membuat kejutan dengan menjuarai kejohanan EURO 2004.

10) Seperti biasa, kita dapat melihat betapa fanatiknya penyokong pasukan masing-masing. Apabila pasukan mereka menang, mereka bersorak gembira. Apabila pasukan mereka tewas, mereka menangis, namun tetap teguh berdiri bersama pasukan mereka. Alangkah baiknya jika umat Islam seluruhnya mempunyai perasaan yang sama terhadap saudara-saudara mereka yang seakidah. Umat Islam seharusnya gembira seluruhnya apabila sinar Islam terpancar di Mesir dan negara-negara Arab lainya. Umat Islam seharusnya bersedih, merasai kepedihan dan kesengseraan serta membantu setakat yang termampu akan saudara kita yang berada di Palestin, Syria, Myanmar dan di negara-negara lain yang bergolak. Namun ini semua tidak berlaku. Mengapa wahai umat Islam sekalian?

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها  فهو  أحق  بها  (رواه  الترمذي)
"Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya." (Riwayat Tirmizi).

10 perkara di atas hanyalah sebahagian kecil daripada hikmah yang boleh kita kutip dari putaran kehidupan kita seharian.

Allahu'alam.