Jumaat, 20 Januari 2017

Adakah Kita Benar-Benar Mengenali Ibu Kita Sendiri?

Di tengah-tengah pengajian hadith daripada kitab Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, Sheikh Muhammad Abdullah al-Khudair Hafizahullah telah bertanyakan kepada kami, siapa antara kamu yang tidak mengenali ibu sendiri?
Semua menjawab, mestilah kami mengenali ibu kami sendiri.
Ok, kalau macam tu siapa antara kamu yang ingat kesemua nama Isteri Nabi (صلى الله عليه وسلم) beserta dengan nasab mereka hingga ke datuk setiap isteri-isteri Nabi tersebut? (orang Arab sangat mementingkan nasab keturunan)
Kami semua terdiam.
Sheikh Muhammad al-Khudair bertanya lagi, bukankah mereka itu ibu-ibu kamu dan ibu-ibu umat Islam semuanya?
Beliau menamatkan 'pukulan' pada pagi tersebut: Jika diberikan senarai nama-nama pemain bola, kamu semua dapat mengenali dan membezakan sama ada pemain itu bermain di kelab al-Hilal, al-Ittihad, an-Nasr dan kelab-kelab lain (kelab-kelab bola sepak di Arab Saudi).
Namun, sayangnya nama ibu-ibu kamu sendiri kamu tak kenali.
Kami semua terus terdiam. Pukulan yang sangat padu dikenakan kepada kami pada pagi tersebut.
*Sheikh Muhammad bertanyakan soalan tersebut apabila kami bertemu dengan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, 'Aisyah (رضي الله عنها).

Perkara-Perkara yang Boleh Mengangkat Dosa-Dosa yang Telah Dilakukan



Dosa yang telah dilakukan boleh terangkat disebabkan oleh:


1. Taubat
2. Istighfar
3. Amalan-amalan soleh yang menghapuskan amalan-amalan jahat
4. Musibah yang menghapuskan dosa
5. Syafaat yang diberikan
6. Rahmat dan kasih sayang Allah.

Sumber: 
Kitab:رفع الملام عن الأئمة الأعلام 
Karangan: أبو العباس تقي الدين أحمد ابن تيمية رحمه الله

Tidak Semudah Itu untuk 'Delete' dan 'Edit'


Kita mungkin mampu 'delete' dan 'edit' status atau komen yang kita telah terlanjur menulisnya, namun tidak semudah itu untuk kita 'delete' dan 'edit' kesilapan yang mungkin kita telah lakukan kepada Dia atau individu atau kelompok tertentu atas tulisan kita tersebut tanpa bertaubat dan meminta maaf kepada mereka yang terbabit.

Percayalah, kita tidak pernah rugi jika kita mengambil sedikit masa untuk berfikir atas apa yang akan kita tulis dan sebutkan. Timbanglah ia diatas neraca dosa dan pahala sebelum menulis.

Semoga laman sosial menjadi wasilah yang memberatkan amal soleh kita, bukannya wasilah yang membawa kita kepada muflis di akhirat kelak.

الله المستعان.

Syuhada', Ulama', Qurra' dan Dermawan yang Dihumban ke Dalam Api Neraka


Antara golongan yang terawal diadili di hari qiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. 
Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu berjuang untuk digelar pejuang yang berani".
Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan al-Quran keranaMu ".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".
Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Tidak ada sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan".
 Lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
(Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)

Muhasabah untuk kita semua.

Setiap amalan akan dinilai berdasarkan niatnya walaupun pada zahirnya ia menepati Syariat dan merupakan satu amalan yang besar ganjarannya.

Niat boleh menjadikan sesuatu amalan besar itu menjadi kecil dan tidak berguna, namun niat juga mampu menjadikan satu amalan yang kecil itu sangat besar nilaiannya di sisi Allah.

Golongan Munafiq; Bilakah mereka mula muncul dalam masyarakat Islam?

Bilakah golongan Munafiq mula muncul dalam sejarah umat Islam?

Golongan Munafiq belum wujud sebelum hijrahnya Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم) ke Madinah sehingga setelah kejadian Peperangan Badar al-Kubra.

Setelah kemenangan bersejarah umat Islam dalam peperangan Badar al-Kubra, sebahagian daripada manusia menampakkan keislaman mereka kerana takut, dan untuk menjaga darah dan harta mereka. Mereka inilah golongan Munafiq yang lahir di tengah-tengah masyarakat Islam.

Mereka menampakkan keislaman mereka secara lahiriyah, padahal pada hakikatnya, mereka bukanlah dari kaum Muslimin. Sejak dari itu, golongan Munafiq sentiasa wujud dalam masyarakat Islam sehinggalah ke hari ini.

Semoga kita dijauhkan daripada tergolong dalam golongan Munafiq, baik Munafiq dari segi iktiqad mahupun akhlak, ataupun cenderung kepada golongan Munafiq dan membantu mereka. Na'uzibillahi Min Zalik.


-Tafsir ayat ke 8 & dan 9 Surah al-Baqarah daripada kitab:
 "تفسير الكريم الرحمن في تفسير كلام المنان"
, karangan: الشيخ عبد الرحمن بن ناصر السعدي رحمه الله.