Rabu, 13 Mac 2013

Krisis Lahad Datu yang Penuh Misteri


Angka kematian yang terkorban dalam krisis ini semakin bertambah sehingga ke hari ini, baik di pihak pasukan keselamatan Malaysia mahupun di pihak penceroboh.

Jalan penyelesaian masih lagi tidak kelihatan. Rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan tanda tanya. Penduduk Lahad Datu dan sekitarnya terus berada dalam keadaan ketakutan.

Sehingga kini, tiada penjelasan yang terperinci daripada pihak pemerintah dan keselamatan tentang krisis ini. Sebaliknya, rakyat terus dihidangkan dengan adegan tuduh-menuduh siapakah dalang di sebalik krisis ini dalam media arus perdana mahupun media alternatif.

Isu ini adalah isu keselamatan negara. Isu ancaman nyawa kepada rakyat, khususnya di Sabah. Tolak ke tepi dahulu panggung politik yang sering dimainkan terutamanya di media arus perdana.

Kami mahukan maklumat yang tepat dan terperinci tentang isu ini terutamanya daripada mereka yang berautoriti. Bagaikan ada perkara yang disembunyikan.

“ Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu pemberita yang tidak pasti maka hendaklah kamu meneliti kesahihannya…” (al-Hujurat: 6)

Sehingga kini, kita dihidangkan dengan pelbagai berita dan cerita tentang krisis ini. Nilailah dengan iman seperti yang diperintahkan oleh Ilahi dalam ayat ke-6 surah al-Hujurat. Caranya, nilailah dan telitilah pembawa berita tersebut. Terlalu ramai pembawa berita dusta di zaman fitnah ini.

PESANANKU

1. Pesananku kepada pihak pemerintah; hadapi isu ini sebaiknya. Jangan dipolitikkan kerana ia bukan satu isu yang kecil. Ia membabitkan keselamatan negara dan nyawa yang tergadai. Berilah penerangan yang jelas kepada rakyat tentang isu ini melalui ruang-ruang yang ada.

2. Pesananku kepada parti politik yang memerintah dan pembangkang (pemimpin, pendokong dan penyokong); berhentilah memainkan isu ini terutamanya tuduh-menuduh antara satu sama lain. Jika perlu duduk semeja menghadapi isu ini, duduklah dan berbincanglah. Kebenaran akan terbongkar jua akhirnya jika benar ada konspirasi di sebalik apa yang berlaku. Percayalah.

3. Pesananku kepada pihak media; berhentilah meniupkan api perbalahan sesama kita. Berhentilah menabur fitnah. Siarkan dan sebarkan berita yang tepat, telus dan adil. Setiap apa yang disebarkan, ada saham akhirat yang menanti, sama ada saham yang menguntungkan atau saham yang merugikan.

4. Pesananku kepada pihak keselamatan; teruskan berjuang dengan ikhlas untuk mempertahankan negara daripada ancaman dan gangguan luar. Sesungguhnya setiap amalan yang ikhlas dan menepati syara', pasti ada ganjaran yang menanti.

5. Pesananku kepada keluarga anggota keselamatan yang telah terkorban; bersabarlah dan redhailah pemergian wira-wira negara. Kematian adalah suatu perkara yang pasti dan cara kematian ketika mempertahankan negara adalah salah satu cara kematian yang mulia.

6. Pesananku kepada seluruh rakyat Malaysia; berhentilah dari menyebarkan berita yang palsu dan tidak pasti. Berhentilah dari menabur fitnah. Carilah sumber maklumat yang tepat. Teliti dan selidikilah sumber dan pembawa berita tersebut.  Jangan pernah berhenti berdoa untuk keselamatan dan kebaikan negara, khususnya negeri Sabah dan anggota keselamatan negara yang berkhidmat di sana. Jangan pernah berhenti menyokong anggota keselamatan yang berjuang di sana.

Saya percaya krisis di Lahad Datu ini akan membongkarkan 'sesuatu' yang akan diketahui kelak. Mungkin ini adalah cara Allah membongkarkan makar jahat manusia di dunia, sebelum dinampakkan di akhirat kelak. 

Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Mereka menyangka merekalah yang paling bijak, tetapi mereka lupa tentang kewujudan Yang Maha Bijaksana.

Allahu'alam.