~Pelajar-Pelajar Malaysia di Riyadh bergambar selepas kursus haji~ |
Alhamdulillah, sudah sebulan menjejakkan kaki di bumi Riyadh, negara kelahiran manusia paling agung dan mulia dalam sejarah kehidupan manusia.
Alhamdulillah, walaupun baru sahaja berusia sebulan menjadi rakyat sementara Arab Saudi, pelbagai pengalaman baru sudah dirasai. Pengalaman-pengalaman ini tidak mungkin dirasai tanpa penghijrahan ke bumi Riyadh. Syukur paduMu Ilahi!
Alhamdulillah, kemasukan 9 orang pelajar baru Universiti Islam Al-Imam Muhammad Ibn Saud pada fasa kali ini telah menjadikan pelajar Malaysia yang belajar di universiti ini seramai 20 orang. Peningkatan mendadak hampir 1 kali ganda. InsyAllah 3 orang lagi pelajar Malaysia akan tiba di Riyadh pada fasa kedua (awal tahun 2013).
Alhamdulillah, segala proses dan urusan kami di sini berjalan dengan lancar, bermula di lapangan terbang (kumpulan kami hanya perlu menunggu + 1jam untuk urusan kemasukan buat pertama kali ke Riyadh, berbanding senior-senior terdahulu yang terpaksa menunggu selama 2-3 jam). Kami juga disambut dan diraikan oleh senior-senior yang sudah sedia menunggu di lapangan terbang antarabangsa Riyadh.
Alhamdulillah, setibanya kami di asrama universiti (baca:sakan), kami terus mendapat bilik tetap di tingkat satu bangunan baru yang tidak pernah digunakan sebelum ini (senior-senior terdahulu terpaksa menunggu selama 2-3 minggu sebelum memperoleh bilik yang tetap). Alhamdulillah, bilik yang disediakan cukup lengkap dengan kemudahan asas seperti katil, almari, dapur, oven, peti sejuk, bilik air dan air-cond. Segala urusan kami selepas itu seperti pendaftaran universiti, temuduga untuk menentukan kelas Bahasa Arab, pemeriksaan kesihatan dan urusan-urusan lain banyak dibantu oleh senior-senior. Terima kasih!
Sejujurnya, sistem pengurusan pendaftaran di universiti ini (mungkin seluruh Arab Saudi) jauh ketinggalan berbanding sistem yang diguna pakai di Malaysia. Sangat tidak teratur dan memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menempuhnya. Alhamdulillah!
Alhamdulillah, saya telah ditempatkan di level 2 (baca: mustawa 2) kelas Bahasa Arab bersama-sama dengan 6 orang lagi pelajar Malaysia. Sistem di sini memerlukan pelajar melepasi 4 level (baca: mustawa) Bahasa Arab di Maahad Bahasa, kemudian mengambil diploma pendidikan selama 2 semester sebelum ke kuliah selama 4 tahun.
Semester ini kami di mustawa 2 mengambil 8 subjek iaitu subjek Nahu, Sorof, Qiraah, Kitabah, Masmu', Hadith, Ulum Quran dan Ta'bir. Terasa sangat seronok belajar di Maahad Bahasa kerana kelas di Maahad hanya dikhususkan untuk pelajar bukan dari Arab Saudi. Maka, kelas kami diwarnai oleh pelbagai bangsa dari pelbagai negara yang mempunyai agama yang satu, iaitu Islam dan tujuan yang satu, iaitu menuntut ilmu, khususnya Bahasa Arab. Kelas kami terdiri daripada para pelajar daripada Guinea, Ivory Coast, Ghana, Nigeria, Mongolia, Bosnia, Kygystan, Nepal, India, Filipina, Turki, Great Britain, Thailand (Pattani) dan China. Guru-guru kami pula merupakan rakyat Mesir dan rakyat Arab Saudi. Kami belajar perkara yang hampir sama seperti di sekolah menengah (asas Bahasa Arab) di Malaysia, namun pendekatan di sini ternyata berbeza. Bahasa Arab menjadi subjek yang sangat seronok untuk dipelajari. Alhamdulillah!
Alhamdulillah, makanan tidak menjadi masalah di sini kerana lansung tidak sukar mencari makanan yang halal. Selepas sebulan berada di sini, nasi Arab sudah menjadi makanan biasa yang dimakan. Kadang-kadang, nasi Arab menjadi makanan yang menjemukan. Ia amat berbeza dengan situasi di Malaysia. Nasi Arab menjadi rebutan ramai. Di Universiti, terdapat kantin yang menyediakan makanan untuk pelajar-pelajar yang tinggal di asrama. Harganya lebih rendah berbanding dengan harga makanan di luar. Harga makanan pagi sebanyak SR 2 (selalunya roti+kuah+jem/kaya+minuman seperti susu/teh), manakala makanan tengah hari dan malam pula sebanyak SR 5 (nasi arab/ spaghetti/ lasagna + ayam/ kambing/ ikan + air mineral/ yogurt/ susu/ jus buah + manisan/ buah). Kini, kebiasaanya kami hanya makan tengah hari di kantin, manakala makan malam kebiasaannya disediakan sendiri oleh kami (masak mengikut giliran bilik).
Alhamdulillah, hubungan pelajar Malaysia Riyadh dan perkerja Malaysia Riyadh sangat rapat di sini. Antara aktiviti mingguan kami di sini ialah bermain futsal pada setiap pagi khamis (cuti hari minggu di sini ialah hari Khamis dan hari Jumaat). Hampir semua pelajar Malaysia di sini akan turun bermain futsal bersama-sama dengan pekerja-pekerja Malaysia. Jika berkelapangan, perlawanan bola sepak persahabatan (bola padang) juga diadakan antara pelajar Malaysia Riyadh vs pekerja Malaysia Riyadh pada malam minggu (setakat ini sudah 2x perlawanan diadakan, kedua-duanya berkesudahan seri). Apa yang menarik, kebiasaanya para pekerja Malaysia akan mengadakan jamuan selepas daripada perlawanan tersebut. Ketika inilah segala kerinduan terhadap masakan Malaysia dilepaskan kerana kebiasaanya isteri-isteri pekerja Malaysia akan menyediakan makanan dan masakan Malaysia.
Alhamdulillah, kami juga berkesempatan menghadiri kelas pengajian Sheikh Soleh Fauzan Al-Fauzan Hafizahullah pada setiap hari Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa. Kami pergi ke sana dengan menaiki bas mini yang disediakan oleh Universiti. Sheikh Soleh Fauzan adalah salah seorang Ulama' besar Arab Saudi yang masih hidup. Beliau mengajar kitab Feqah, Tauhid, Sifat Solat dan Hadith untuk sesi kali ini. Pada minggu lepas, pelajar Universiti al-Imam didatangi oleh Imam Masjidil Haram yang sangat terkenal, Sheikh Abdurrahman As-Sudais Hafizahullah. Alhamdulillah, sempat bersalam dengan beliau dan beliau sempat bertanya khabar kepadaku (budaya Arab ketika setiap kali berjumpa/berselisish di tengah jalan).
InsyAllah, jika diberi keizinanNya, kami akan melaksanakan ibadah haji pada tahun ini (pihak Universiti akan membawa semua pelajar baru menunaikan haji). InsyAllah, kami akan bertolak ke Mekah al-Mukarramah pada 7 Zulhijjah 1433. Doakan kami.
Ketika ini cuaca masih lagi panas di siang hari tetapi sudah di penghujung musim panas.
Setakat ini dahulu catatan setelah sebulan berkelana di bumi Riyadh.
6.09 petang (Selepas Maghrib),
27 Zulkaedah 1433,
Bilik 102, Mabna 34,
Universiti Islam al-Imam Muhammad Ibn Saud,
Riyadh, Arab Saudi.