عَن النُّعْمَانِ بْنِ بَشِير قَالَ:
كُنَّا قُعُودًا فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ بَشِيرٌ رَجُلًا
يَكُفُّ حَدِيثَهُ فَجَاءَ أَبُو ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيُّ فَقَالَ يَا
بَشِيرُ بْنَ سَعْدٍ أَتَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْأُمَرَاءِ فَقَالَ حُذَيْفَةُ أَنَا أَحْفَظُ
خُطْبَتَهُ فَجَلَسَ أَبُو ثَعْلَبَةَ فَقَالَ حُذَيْفَةُ قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ
تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ
مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ
يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ
ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ
ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ
سَكَتَ
Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata, suatu hari kami duduk di masjid Rasulullah
S.A.W. Basyir (bin Saad) adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Lalu datang Abu Tsa’labah dan beliau berkata, wahai Basyir bin Saad, apakah kamu menghafal Hadith Rasulullah S.A.W
tentang kepimpinan (al-Umara’)? Lalu Hudzaifah berkata, aku menghafal khutbah Baginda
S.A.W. Lantas Abu Tsa’labah al-Khashniyy duduk dan Huzaifah berkata, Rasulullah S.A.W
bersabda:
“Kenabian akan berada bersamamu selama mana ia dikehendaki
oleh
Allah, kemudian Dia mengangkatnya
ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian akan tiba pula zaman Khilafah di atas Manhaj Kenabian selama mana ia dikehendaki
oleh
Allah, kemudian Dia mengangkatnya
ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian datang pula zaman raja
yang menggigit (Malikun ‘Aadhun) selama mana ia dikehendaki
oleh
Allah, kemudian Dia mengangkatnya
ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Selepas itu muncul pula zaman raja
yang diktator (Malikun Jabriyyah) selama mana ia dikehendaki
oleh
Allah, kemudian Dia mengangkatnya
ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian akan hadir pula zaman Khilafah di atas manhaj Kenabian…”
(HADITH RIWAYAT AHMAD 4/275, ABU DAUD 4/211, AT-TIRMIDHI 4/503)
Hadith di atas adalah satu hadith futuristik yang dituturkan oleh Baginda Rasullulah S.A.W. mengenai bentuk pemerintahan yang akan dilalui oleh umat Baginda sehingga hari Kiamat.
Ia bermula dengan zaman pemerintahan Baginda sehingga baginda wafat dan diteruskan oleh zaman khilafah di atas jalan kenabian. Ia merujuk kepada zaman pemerintahan Abu Bakar R.A., Umar R.A., Uthman R.A., Ali R.A. (ulama' bersepakat dalam perkara ini).
Selepas itu bermulalah zaman yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. sebagai zaman pemerintahan Maalikun 'Aadhun (raja yang menggigit). Ia bermula dengan bermulanya pemerintahan Bani Umayyah (661M-750M/ 41H-133H), apabila Muawiyah R.A mewariskan pemerintahan Islam kepada anaknya, Yazid. Pemerintahan Islam beralih tangan kepada Bani 'Abasiyyah (750M-1258M/ 133H-656H), seterusnya pusat pemerintahan Islam berubah ke Konstatinopal di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah (1299M-1924M).
Walaupun terdapat beberapa Khalifah Islam yang soleh dan beriman ketika tiga zaman pemerintahan ini seperti Umar Bin Abdul Aziz, Sulaiman al-Qanuni dan Muhammad al-Fatih, namun bilangan mereka terlalu kecil dan tempoh pemerintahan mereka tidak terlalu lama berbanding khalifah-khalifah lain yang bersifat 'mengigit'.
Selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924M, maka bermulalah zaman yang digambarkan oleh Rasullulah S.A.W. sebagai Maalikun Jibriyyah (raja yang diktator). Perkara ini dapat dilihat dengan corak pemerintahan di zaman sekarang seperti di Mesir, Tunisia, Algeria (sehingga tumbangnya negara tersebut) dan beberapa negara lain yang mana pemerintahan diktator mereka masih berkekalan seperti di Syria dan beberapa negara lain (semoga Allah S.W.T. membantu kemenangan Islam).
Selepas zaman pemerintahan para diktator, maka akan tiba zaman pemerintahan khilafah di atas jalan kenabian dan akhirnya akan berlakunya Hari Kiamat. Ia adalah suatu perkara yang masih sukar digambarkan untuk masa depan kerana ia masih belum berlaku, namun yakinlah, ia pasti akan berlaku.
Jika kita melihat Islam ditekan dan dihina saban hari, baca dan yakinilah hadith ini. Ia adalah satu motivasi dari Ilahi tentang kemenangan Islam kelak. Persoalannya, adakah kita hanya ingin memerhatikan kemenangan Islam kelak? Tidakkah terdetik di hati untuk kita bersama-sama menyumbang ke arah kemenangan Islam yang sudah dijanjikan? Jika ada, apakah sumbangan kita ke arah kemenangan Islam?
Ayuh, persiapkan diri dan menyumbanglah ke arah kemenangan Islam. Kita mungkin dapat melihat kemenangan Islam, mungkin juga ia akan berlaku selepas zaman kehidupan kita di dunia ini. Ia pasti berlaku walaupun tidak diketahui masanya. Tidak mahukah kita menjadi sebahagian daripadanya?
Wallahua'lam.