Selasa, 7 September 2010

Maafkan diriku!


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Sebelum diriku berangkat untuk bermusafir ke negeri Kelantan untuk menyambut 'Eidul Fitri di sana, dengan ruang dan kesempatan yang terbatas ini (ruangan blog dirasakan ruang yang terbaik buat diriku memandangkan tidak mempunyai akaun 'buku muka' (facebook)),

Saya, Abdul Rahman Bin Al-Azmi, pelajar tahun 3 Jurusan Pemakanan & Sains Nutrisi di Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan, beralamat 36, Jalan Iridium, 7/35 Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor,

~ Ingin memohon maaf atas segala kesilapan, kelemahan, kekasaran dan segala perkara yang tidak disenangi oleh semua insan yang mengenali diriku secara lansung atau tidak lansung, termasuklah abah dan umi yang dicintai, adik-adik yang disayangi, guru-guru yang dihormati, sahabat sekalian yang dikasihi, rakan-rakan setugas di persatuan, kelab dll yang disanjungi dan kepada pengunjung dan pembaca blog ini yang dihargai.

~ Minta kalian halalkan segalanya (hutang wajib tuntut. Takut diri ini terlupa). Restu dan redha kalian amat penting dalam 'hablum minnas' yang akan menjadi penghubung diriku kepada Rabb (hablum minAllah)

* Selamat menyambut hari kemenangan kepada semua. Di dalam berhibur dan bergembira, jangan dilupakan batasan syariat disekeliling kita..


-13.05, 29 Ramadhan 1431H, 8 September 2010, Shah Alam-


Adakah Kita Seorang Pemenang?



Hari ini adalah hari yang ke 29 Ramadhan. Tinggal 1 hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut dan meraikan kedatangan hari 'kemenangan', 'Eidul Fitri.

Namun, pada hakikatnya bukan 1 hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut hari kemenangna tersebut. Ada yang sudah meraikannya sejak seminggu yang lepas, ada yang sudah meraikannya sejak 2 minggu yang lepas, bahkan pasar raya dan pusat membeli-belah telah meraikannya sejak sebulan yang lepas!

Pelbagai cara umat Islam meraikan dan menanti ketibaan hari kemenangan ini. Ada yang meraikannya dengan membuat kuih raya, ada dengan cara menyerbu pusat-pusat membeli belah dan bazar-bazar, ada dengan cara membakar mercun, ada dengan cara pulang ke kampung halaman, ada dengan cara membakar lemang dan memasang pelita, ada dengan cara mendendangkan dan memutarkan lagu raya di corong-corong radio, tidak kurang juga yang meraikannya dengan cara mengurangkan graf/tahap ibadah mereka kepada-Nya, selari dengan ketibaan hari kemenangn.

Persoalannya, inikah cara yang terbaik untuk menyambut ketibaan hari kemenangan umat Islam?

Adakah anda sudah dikira pemenang, walhal pada setengah perjalanan Ramadhan, anda telah berundur ke belakang dari segi ibadah kepada-Nya?

Menjadi fenomena biasa bilangan mereka yang beribadah atau yang paling senang dinilai, bilangan mereka yang menunaikan solat di masjid, berkurangan selari dengan pertambahan hari di dalam Ramadhan. Ramai yang mungkin berjaya melalui bulan Ramadhan, namun amat kurang yang berjaya keluar sebagai seorang yang bertaqwa seperti di dalam ayat ke 183 surah al-Baqarah apabila berakhirnya Ramadhan.


Sebelum melangkah sebagai seorang pemenang pada hari kemenangan, ada beberapa persoalan yang harus dijawab untuk menilai setakat mana tahap kemenangan kita pada Ramadhan kali ini. Persoalan-persoalan ini adalah yang paling utama untuk diriku dan untuk sesiapa yang ingin menoleh sejenak apa yang telah dilaluinya selama berada di dalam madrasah Ramadhan ini.

1) Berapa harikah anda telah meningglkan puasa tanpa sebab-sebab syar'ie?
2) Berapa harikah anda telah meninggalkan solat sunat tahajjud 2 rakaat / berqiyammulail sepanjang Ramadhan kali ini?
3) Berapa banyak ayat-ayat al-Qur'an yang telah dibaca sepanjang bulan Ramadhan ini? adakah anda telah berjaya khatam walaupun sekali? Jika berjaya, berapa banyak ayat yang anda sudah tadabbur dan beramal bersungguh-sungguh dengan ayat tersebut?
4) Berapa kali anda meninggalkan sahur sepanjang ramadhan kali ini?
5) Berapa kali anda telah meninggalkan solat Subuh sepanjang Ramadhan kali ini? Jika tidak pernah, berapa kali anda telah meninggalkan solat Subuh secara berjemaah di awal waktu?
6) Berapa kali anda telah meninggalkan solat sunat Dhuha sepanjang bulan Ramadhan ini?
7) Berapa kali anda telah meningglkan solat sunat terawih sepanjang bulan Ramadhan ini?
8) Berapa kali anda telah meninggalkan solat fardhu 5 waktu secara berjemaah?
9) Berapa kali anda tidak menunaikan solat fardhu di awal waktu?
10) Berapa banyak harta, tenaga, dan masa yang telah anda infakkan untuk Islam sepanjang Ramadhan ini?
11) Adakah Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan-Ramadhan sebelumnya?

Cukuplah 11 persoalan ringkas dan asas untuk dijawab. Jika anda berjaya melaksanakan 11 persoalan asas di atas dengan sempurna, anda mungkin boleh dikategorikan sebagai seorang yang berjaya secara lahiriah (hakikatnya, hanya Dia yang tahu sebab ia berkait rapat dengan soal ikhlas dan niat).

Jika di bulan yang dijanjikan pelbagai insentif daripada Allah seperti amalan wajib digandakan sehingga 70 kali ganda dan lebih, amalan sunat dijanjikan ganjaran seperti amalan wajib pada bulan-bulan lain, lailatul qadr ,dan terlepas daripada gangguan syaitan ini pun kita kurang berjaya di dalam beramal dan beribadah kepada-Nya, usah bermimpi untuk kita meningkatkan amalan kita di bulan-bulan lain.

Adakah kita seorang 'pemenang' dan layak meraikan 'kemenangan' ini?