Sabtu, 15 Ogos 2009

Pandangan Sisi Influenza A H1N1


Dunia dan Malaysia digemparkan dengan serangan Influenza A H1N1/.

Sehingga kini angka kematian sudah mencecah kepada 59 orang.

Ramai yang melihat wabak ini sebagai wabak yang berasal daripada khinzir semata. Tidak kurang juga yang melihat wabak ini sebagai satu konspirasi ataupun serangan biologi yang didalangi oleh pihak Zionis dan Amerika Laknatullah. Ada juga yang melihat serangan ini sebagai konspirasi sekumpulan para saintis yang ingin mengaut keuntungan daripada jualan vaksinnya kelak.

Namun, tidak ramai yang melihat wabak ini sebagai satu ujian Allah S.W.T. kepada hamba-hambanya dan adalah teramat kurang yang melihat wabak ini daripada sudut positif.

Aku ingin dan cuba melihat wabak ini daripada sudut positif. Cukuplah diambil waqi' UIA Kampus Kuantan sebagai contoh. Sebenarnya terlalu banyak hikmah di sebalik serangan wabak ini.

Apabila serangan wabak ini atau simptom-simptomnya mula menular di kalangan pelajar UIA, maka berbondong-bondonglah pelajar dan staff UIA pergi 'menyerang' Health Care Centre. Jika dahulunya, klinik UIA hanya dipandang sepi dan sering lengang daripada pengunjung, kini ia adalah tempat yang paling popular di kalangan warga UIA. Semua orang sudah mula sedar akan kewujudan Health Care Centre dan kesedaran akan kepentingan menjaga kesihatan juga meningkat naik. Jika dahulu hanya apabila keadaan sudah amat teruk baru ingin berjumpa doktor, namun kini jika hanya batuk-batuk kecil sahaja pun sudah mahu mengunjungi klinik UIA. Tidakkah ini adalah perubahan positif?

Keputusan beberapa Kulliyyah yang me'rehat'kan para pelajarnya selama beberapa hari juga harus dilihat daripada sudut positif. Sekurang-kurangnya para pelajar mendapat tambahan cuti seminggu yang tidak dijangka-jangka untuk pulang ke kampung halaman, bercuti bersama keluarga. Selain dapat merehatkan dan mengurangkan tekanan belajar, cuti yang diberikan ini pastinya melegakan pihak ibubapa. Ibubapa mana yang tidak risau apabila anaknya tidak sihat ataupun berada di kawasan yang ramai orang tidak sihat, sedangkan mereka berada berjauhan dengan anaknya. Alangkah sejuknya hati ibubapa apabila anak mereka berada berdekatan dengan mereka ketika keadaan genting sebegini.

Bagi sahabat-sahabat yang mempunyai simptom-simptom H1N1, mereka diberi pilihan sama ada dikuarantin ataupun pulang ke kampung halaman dengan syarat ibubapa mereka sendiri yang datang menjemput mereka. Apabila disebut kuarantin, pastinya ramai yang membayangkan suasana dikurung dan dikepung. Keadaan yang pasti membosankan.

Sebenarnya banyak hikmah daripada perintah berkurung ini. Tempoh berkurung ini sebenarnya adalah tempoh masa yang paling sesuai untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Ibadat boleh dilakukan sebebas-bebasnya kerana tiada urusan lain yang menggangu. Bahkan perintah berkurung di musolla sepatutnya memudahkan kita untuk mendapatkan 'zouk' beribadat. Al-Quran boleh dibaca sebanyak mungkin, muhasabah diri juga amat berkesan ketika kita diuji. Buku-buku agama dan akademik juga boleh dihadam sebanyak mungkin ketika ini. Buat pengetahuan semua, orang yang dikuarantin di UIA, makan minum mereka telah disediakan oleh pihak UIA . Bahkan, makanan yang disediakana adakalanya jauh lebih mewah daripada apa yang biasa dinikmati oleh para pelajar. Alangkah beruntungnya mereka yang dikuarantin. Makanan rohani dapat diisi, makanan jasmani pula telah tersedia menanti!

Operasi mengkuarantin para pelajar telah diadakan di musolla lelaki dan perempuan. Implikasinya, kami, terutamanya para pelajar lelaki yang tinggal di dalam kampus UIA telah kehilangan tempat untuk menunaikan solat secara berjemaah. Atas inisiatif beberapa orang pelajar, satu tempat untuk solat berjemaah yang baru telah digunakan. Tempat tersebut adalah bilik usrah. Mungkin tempat tersebut adalah tempat biasa bagi para pelajar perempuan, tetapi tidak bagi kami, pelajar-pelajar lelaki. Bilik tersebut biasanya digunakan sebagai bilik rehat makcik-makcik 'cleaner'. Walaupun bilik tersebut agak sempit dan panas, namun kami puas kerana dapat melakukan solat secara berjemaah. Adakalanya, kapasiti bilik tersebut tidak dapat menampung jumlah jemaah yang hadir sehinggakan ada yang terpaksa solat di luar bilik, di tepi timbunan-timbunan selipar. Ketika inilah barulah dapat dirasakan nikmat solat berjemaah yang sebenar!

Serangan H1N1 telah memberi implikasi kepada program-program di dalam UIA. Semua program harus ditunda ke suatu tarikh yang akan ditetapkan. Bagi mereka yan aktif dalam persatuan, arahan ini pastinya memeningkan kepala. Namun, hakikatnya ia tetap mempunyai hikmah di sebaliknya. 'Rehat' yang di'paksa' ini sebanarnya memberikan peluang kepada mereka yang aktif dalam persatuan untuk berehat seketika dan memberi tumpuan kepada pelajaran. Tidak dinafikan ramai yang berjaya di dalam persatuan dan akademik, tetapi tidak dinafikan juga ramai yang tidak seimbang antara keduanya. Gunakanlah masa 'rehat' ini sebagai masa yang paling sesuai untuk 'cover' balik apa yang tertinggal di dalam akademik di samping menyiapkan diri untuk kesibukan masa hadapan.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Gunakanlah mata hati untuk menilainya. Jangan cepat menyalahkan keadaan. Sentiasalah berfikiran positif dan optimis atas apa yang berlaku. Anda pasti akan tenang dan berjaya!

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: