Selasa, 12 Mei 2009

Umi, Mak, Ibu, Emak, Mama, Mom, Mother, Mami, Mok, Mek

 10 Mei adalah Hari Ibu. Mengapa pada tarikh ini baru aku mengeluarkan entri ini??

Orang cakap dah basi.

Padaku, hari Ibu tidak akan basi. Setiap hari Ibu adalah hari untukmu, wahai ibu. Bukan hanya pada 10 Mei. Bukan hanya pada hari lahir ibu sahaja. Setiap hari adalah hari ibu. Setiap hari adalah hari untuk berbakti kepada ibu.

Walaupun apa pun yang kita lakukan untuk membalas jasa ibu, jasa ibu tetap tidak akan terbalas. Sedikanlah sebanyak mungkin wang ringgit atau segala harta sekalipun, tetap jauh rendahnya nilainya berbanding dengan segala pengorbanan ibu kepada kita. Pengorbanan 'membawa' kita selama 9 bulan, melahirkan kita (benda paling sakit di dunia), menyusukan kita, membesarkan kita, melayan karenah kita dan pelbagai lagi.
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu." ( Surah Luqman: 14)
"Kami wajibkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.." (Surah Al-Ahqaf: 15)

Wajib kita untuk berbakti kepada kedua ibu bapa setiap masa dan ketika melainkan dalam perkara-perkara yang melanggar syariat Allah.
"Jika mereka berdua (ibu bapa) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik (berbakti dan menghubungkan silaturrahim)...." (Surah Luqman:15)
Banyak kisah yang boleh dijadikan teladan untuk kita seperti kisah seorang 'abid yang dituduh berzina dengan pelacur setelah doa ibunya dimakbulkan oleh Allah. Begitu juga kisah seorang lelaki yang dijamin syurga kerana tetap menjaga dan berbakti kepada kedua ibu bapanya walaupun keduanya telah berubah menjadi khinzir.

Sungguh sedih melihat keadaan dunia sekarang. Ibu bapa hanya dianggap membebankan. Mereka hanya dianggap penyibuk. Ramai yang cuba 'membuang' ibu bapa mereka. Semakin ramai anak yang berani menderhaka kepada kedua ibu bapanya, sedangkan kunci keredhaan Allah berada pada ibu bapanya.
Daripada Abdullah Amru, Rasulullah S.A.W. bersabda: “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Adakah kami perlu lagi berbakti kepada ibu bapa kami yang telah pergi meninggalkan kami??

Kamu tetap perlu berbakti. Caranya, pintalah doa kesejahteraan untuk mereka dan sambungkanlah silaturrahim dengan saudara-saudara dan sahabat handai mereka.

Teruskan berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka masih hidup atau sudah pergi.
“Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)
Terima kasih umi, umi, umi dan abah atas segala pemberianmu yang menjadikan aku 'manusia" seperti hari ini. Doakan aku sentiasa dalam keadaan taat dan sedia berbakti kepadamu...


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: