Khamis, 30 April 2009

Majlis Walimah Sahabatku...


Atas permintaan sahabatku (gambar di atas), aku ingin memaklumkan dan menjemput semua rakan-rakan yang mengenalinya ke majlis walimah beliau;

Siti Irfah Binti Ismail
&
Mohd Najib Bin Jali (gambar di atas)

pada hari Sabtu, 2 Mei 2009
di Batu 9 1/2 Jalan Bernam 45500, Tanjung Karang, Selangor
Jamuan makan: 11 pagi-5 petang

atau

Mohd Najib Bin Jali (gambar di atas)
&
Siti Irfah Binti Ismail

pada hari Sabtu, 16 Mei 2009
di No.292 Felda Dahlia Jengka 3, 26400 Bandar Jengka, Pahang Darul Makmur.
Jamuan makan: 11.30 pagi-4 petang


Semua yang mengenali beliau, dijemput hadir..



p/s: Syukur, akhirnya bertemu jodoh jugak ye ko ni...

Rabu, 29 April 2009

Senyum dari Kacamata Sains

Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) , ia akan menghasilkan kesan `gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.


Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon `endorphins' dan hormone `neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress `cortisol' dan `adrenaline' .

Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk system pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).


Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa `mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

Apalagi, jom pakat senyum. Tak rugi pun. Tanpa sebarang kos, kita sudah mampu bersedekah (berdasarkan hadith Nabi S.A.W.), dan mampu menyihatkan tubuh badan (berdasarkan kajian sains perubatan).

Mulakan dan akhiri hari anda dengan senyuman. Moga-moga pengakhiran hidup anda juga di dalam senyuman. Ameen..




-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Isnin, 27 April 2009

Fasa Baru Kehidupanku


Aku sudah memasuki fasa baru di dalam hidupku.

Selepas 24/4/09, aku bukan lagi diriku yang dulu.

Banyak perubahan yang akan berlaku kepada diriku selepas ini. Perubahan yang menambahkan tanggungjawab dan amanah terhadap diriku.

Perubahan yang menjadikan aku lebih baik, InsyAllah.

Perubahan yang bakal merubah banyak persepsi aku tentang sesuatu benda / kejadian.

Diharapkan, perubahan ini tidak menghilangkan apa yang telah ku miliki selama ini iaitu, sahabat-sahabat dan identiti diriku yang sebenarnya.

Doakan aku istiqamah atas landasan ini!!

Pisang & Hati


Seorang guru sekolah Tadika yang bernama Ahmad telah menganjurkan satu permainan untuk menguji anak-anak muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari.

Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga enam biji dan paling banyak dalam sembilan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Ahamad. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg mereka.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg mereka menjadi berat, badan juga berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan ini.


Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Ahmad sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Ok semua, apa rasanya kena bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Ahmad. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu.

Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau yang busuk.


"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati kita. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" tegas Cikgu Ahmad.

Cikgu Ahmad mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci. Banyakkan memberi daripada menerima.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Siapa Sebenarnya Yang Menderhaka??


Sejarah telah membuktikan bahwa penderhakaan terhadap Sultan/Raja Melayu pernah berlaku di tanah air ini pada suatu ketika dahulu. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim sebagai Sultan Kelantan pada tahun 1993 harus dijadikan iktibar. Pihak UMNO cuba untuk membangkitkan isu yang sebenarnya mereka telah lakukan pada suatu ketika dahulu malah lebih 'menderhaka'.

Tradisi feudal memang menebal dalam UMNO
kerana dahulunya UMNO dipimpin oleh tokoh-tokoh yang dahulunya lahir di tepi pagar istana. Sebut sahaja siapa pemimpin UMNO pada 1940-an dan 1950-an, hampir semuanya aristokrat melayu yang berpendidikan sekular. Orang-orang melayu kekampungan yang menjadi penyokong kerana satu sebab iaitu bencikan penjajah. Sedangkan para pemimpin mereka adalah anak didik British yang pada mulanya bangkit menentang Malayan Union kerana terkejut setelah punca kuasanya (istana) cuba dimandomkan oleh penjajah.

Atas slogan 'Hidup Melayu' pemimpin UMNO membakar sentimen rakyat, agar mereka terus berkuasa. Lihatlah mengapa Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan beberapa pertubuhan lain meninggalkan UMNO selepas itu, kerana mereka bukan mempertahankan raja melayu, tetapi mempertahankan kuasa yang diperolehi dari raja melayu. Setelah mendapat kedudukan, UMNO telah mencadangkan supaya seorang melayu (Dato' Onn Jaafar) dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi iaitu jawatan kedua tertinggi di Malay waktu ketika itu - lebih tinggi dari raja-raja melayu.

Apabila raja melayu diketuai Sultan Badlishah dari Kedah menolak cadangan UMNO, Dato' Onn dan para pemimpin UMNO secara terbuka melakukan derhaka dengan cara menghina, mencerca dan mengkritik raja-raja melayu. Bahkan UMNO pernah menggugut untuk mempengaruhi rakyat untuk menjatuhkan raja-raja melayu. Kenapa? Kerana mereka tidak mendapat kuasa yang diidamkan. kerana 'berbulu' dengan sikap Dato' Onn inilah, maka seorang putera dari istana Kedah (adinda Sultan Badlishah) dicalonkan sebagai Presiden UMNO pada 1951.

Selain Tuanku Abdul Rahman Ibni Sultan Abdul Hamid yang menjadi Presiden UMNO kedua, UMNO juga pernah mengangkat beberapa tokoh istana sebagai pemimpin mereka. Antaranya yang terkenal adalah Tengku Abdullah Ibni Sultan Ibrahim dari Kelantan yang lebih dikenali Tengku Besar Indera Petra. Beliau dilantik sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kelantan bagi menggantikan Tan Sri Nik Ahmed Kamil yang menyertai Parti Negara yang mengakibatkan UMNO lumpuh di Kelantan. Setelah itu Bagindalah yang memimpin UMNO Kelantan sehingga kemunculan seorang lagi tokoh istana, Tengku Razaleigh Hamzah pada 1967. Siapakah Tengku Indera Petra ini dalam sejarah istana.

Tengku Indera Petra adalah bekas Raja Muda Kelantan yang dilantik pada 25 Oktober 1944. Sebagai seorang yang berpendidikan barat dan pernah berkahwin dengan gadis British, Annette pada 1939. Tengku Indera Petra dikatakan sebagai seorang yang agak sosial. Akhirnya pada 1947, telah berlaku krisis dalam istana Kelantan kerana beliau dikatakan menderhaka kepada baginda Sultan Kelantan. Pergolakan keluarga kerana penderhakaan ini telah menyebabkan Sultan Ibrahim murka lalu memecat beliau secara rasmi sebagai Raja Muda Kelantan pada 1 Februari 1948.

Kemurkaan ini tidak terkawal lagi sehingga memaksa Tengku Indera Petra melepaskan jawatanya sebagai pewaris takhta pada 25 November 1947, Tengku Indera Petra telah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai raja muda dan keturunannya tidak akan menuntut takhta dan menjadi raja lagi. Lalu baginda Sultan Kelantan menamakan anak keduanya Tengku Yahya Petra sebagai raja muda dan dimaklumkan kepada pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent pada tarikh yang sama. pada hari pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, berakhirlah kedudukan Tengku Indera Petra sebagai raja muda dan terbuanglah dia dari istana kerana menderhaka.

Maka tersebarlah berita kononnya pemecatan ini kerana Tengku Besar Indera Petra tidak disukai oleh British, sedangkan beliau sendiri adalah anak didik British yang tidak pernah tercatat dalam sejarah Kelantan sebagai tokoh anti-British. Bahkan diketahui juga dalam kalangan istana bahawa Tengku Indera Petra adalah anak emas British bahkan isterinya juga orang British. Yang diketahui rakyat ialah tokoh seperti As'ad Shukri Haji Muda (abang Dato' Ashri), Abdul Kadir Adabi, Cikgu daud Jamil, Nik Mat Dato' Amar dan beberapa orang lagi. Tetapi untuk menutup malu dan meyakinkan orang UMNO di Kelantan, maka disebarkan cerita bahawa 'putera derhaka' ini dilucutkan jawatan kerana anti-British.

Disebabkan UMNO Kelantan ketiadaan pemimpin sehingga PAS dengan mudah menguasai Kelantan pada 1959, maka untuk memulihkan semula UMNO Kelantan, lalu ditabalkan 'putera derhaka' ini sebagai Ketua UMNO Kelantan. Tengku Indera Petra turut dicalonkan sebagai wakil rakyat Ulu Kelantan sehinggalah beliau berangkat ke Sri Lanka untuk menjadi duta pada 1971. Selain menjadi duta di beberapa negara seperti Jepun dan Pakistan, Tengku Indera Petra juga pernah memangku jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Dengan isteri keduanya, Puan Sri Zainab Ali, maka lahirlah seorang putera yang terkenal, Tengku Ibrahim yang pernah ditabalkan oleh UMNO Kelantan sebagai 'Sultan Kelantan' pada 1993 dahulu.

Ketika UMNO berusaha memalukan raja-raja melayu pada 1993, di Dewan Rakyat, Dr. Mahathir secara terbuka pada 12 Mac 1993 mengatakan bahawa perlantikan dan pertabalan Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan adalah 'tidak sah'. Seorang lagi juak UMNO, Dato' Seri Shahidan Kassim menambah bahawa 'waris' sebenar kesultanan Kelantan adalah Tengku Ibrahim, anak Tengku Indera Petra. Mereka mendakwa Sultan Yahya Petra yang pernah menjadi Yang Dipertuan Agong tidak layak menjadi raja kerana baginda bukan putera gahara yang beribukan orang kebanyakan. Mereka lupa bahawa ibu Tengku Ibrahim juga orang kebanyakan.

Menyambut penderhakaan Dr. Mahathir dan Shahidan Kassim di parlimen ini, Annuar Musa, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sebagai 'mamanda' kepada 'Sultan Ibrahim' ini mengetuai 'Daulat Tuanku' dalam upacara pertabalan di Ketereh pada 29 April 1993. Walaupun ahli UMNO Kelantan semuanya memberikan 'sembah derhaka' kepada 'Sultan Kelantan' yang ditabalkan oleh orang UMNO ini, tetapi para pemimpin UMNO melaungkan daulat dalam majlis yang lengkap dengan nobat dan tombak berambu itu. Inilah peristiwa penderhakaan terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah orang melayu sejak zaman-berzaman kerana tidak pernah berlaku seorang raja ditabalkan oleh rakyat untuk menghina raja yang sedang berdaulat.

Wahai UMNO, janganlah menimbulkan isu yang akan membuka pekung di dada anda..


*Diedit daripada http://elaksamana.blogspot.com

Ahad, 26 April 2009

Cuti Oh Cuti


Cuti panjang sudah bermula.

Aku seperti rakan-rakanku terkial-kial mencari aktiviti atau kerja yang mahu dilakukan di kala waktu senggang ini.

Aku masih lagi tidak memikirkan secara terperinci aktiviti-aktiviti yang mahu dilakukan, tetapi di dalam kotak pemikiranku, terdapat beberapa rancangan aktiviti yang boleh diiisi bagi memenuhi kekosongan ini.

1) Birr Walidain. Peluang terbaik untukku berbakti kepada ibubapaku. Aku kurang bersama mereka selama ini kerana banyak menghabiskan masa di asrama. Peluang begini harus dimanfaatkan sepenuhnya.

2) Menambahkan ilmu pengatahuan. Aku harus menghadam buku-buku yang dibeli di pesta buku antarabangsa dan buku-buku lama yang tertunggak dan menuntut hak mereka untuk dibaca. Majlis-majlis ilmu juga harus aku hadiri sekerap mungkin kerana ia sukar diperoleh di Kuantan. Blog-blog dan laman web yang membina boleh dilayari untuk menokoknambah ilmu ynag kurang ini.

3) Melaksanakan hak sebagai Hamlatul Qur'an. Banyak ayat-ayat yang kian dilupai dek kesibukan duniawi harus diingati kembali di samping mengekalkan apa yang telah berjaya 'dipegang'.

4) Memenuhi jemputan walimah. a) Perkahwinan Najib Jali (15/5/09) di Jengka. b) Perkahwinan Che Mah ( 29/5/ 09) di Pasir Puteh. c) Perkahwinan Syahid & Amalina Ismail (20/6/09) di Kemaman. d) Perkahwinan Abg Azreen & Kak AC (5&6/6/09) di Kota Bharu. e) Perkahwinan Kak Tasneem (4/6/09) di Pengkalan Chepa. Perkahwinan Imran Fadhil (15/6/09) di Perak.

5) Menghantar adik-adik ke sekolah. Aku ditaklifkan untuk 'take over' tugas ini dari abah yang sibuk menyiapkan tesisnya. Aku juga ditugaskan mengajar adik bongsuku subjek akademik memandangkan dia tidak mahu masuk ke tadika.

6) Menonton perlawanan bola sepak. Aku banyak terlepas perlawanan bola sepak season ini sedangkan itu satu hobiku pada tahun-tahun terdahulu.

7) Update blog. Blogku dan blog tahfiz jarang di 'update' dek kekangan masa. Mungkin masa cuti ini adalah masa terbaik untukku menghidupkan kembali kedua-dua blog tersebut.

8) Mengajar. Aku menerima tawaran untk menyambung tugas yang pernah aku lakukan dahulu. Tiada hitam putih dan kepastian lagi.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan pada masa cuti ini. Cukup jika aku melaksanakan 8 perkara yang telah bermain di fikiranku. Persoalannya, adakah aku mampu melaksanakan segala yang telah dirancang?? Adakah aku akan terus istiqamah??

Aku sering tertewas di tangan nikmat lapang. Hanya hangat-hangat taik ayam, kesudahannya hanyalah penyesalan. Skrip yang sama berlaku setiap tahun. Harapnya, skrip tahun ini sedikit berubah. Jika tidak berubah secara total, paling kurang ada perubahan.
Doakan aku istiqamah!!

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Bingkai Kehidupan


Mengharungi samudra kehidupan
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa tuk berpangku tangan

Setiap tetes peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan
Allohu Ghoyatuna
Ar Rosulu Qudwatuna

Al Qur'anu Dusturuna

Al Jihadu Sabiluna
Al Mautu fi Sabilillah, Asma Amanina


Allah adalah tujuan kami
Rasullulah teladan kami
Al Qur'an pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah,
Cita-cita kami tertinggi

-Shoutul Harakah-