Sabtu, 27 September 2008

Ucaptama Seorang Pemimpin Yang Agung



Abu Bakar As-Sidiq R.A telah dilantik untuk menjadi khalifah sesudah wafatnya Nabi junjungan mulia umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w.


Di awal perlantikan Abu Bakar R.A sebagai khalifah yang pertama, dengan tenang tetapi tegas, beliau menyampaikan ucapan dasar di atas mimbar masjid dengan berkata,Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku tidak sekali-kali memendam hasrat, baik siang ataupun malam, untuk menduduki jawatan ini, malah tidak terlintas pun sama sekali dalam ingatanku.

Katanya lagi, “Hakikatnya, aku diberikan satu tanggungjawab di luar kemampuanku namun dengan pertolongan Allah serta sokongan dan kerjasama kamu sekalian, kiranya dapat disempurnakan hendaknya.”

“Sekiranya aku di jalan yang betul, berilah aku bantuan! Sekiranya aku menyimpang, tegurlah. Kebenaran adalah amanah, pendustaan adalah khianat!”

Selanjutnya Abu Bakar R.A berkata, Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat dalam pandanganku hinggalah haknya dikembalikan dengan izin Allah, dan orang yang kuat di antara kamu adalah lemah dalam pandanganku hinggalah haknya dilucutkan, dengan izin Allah. Sesuatu golongan tidak meminati jihad di jalan Allah kecuali ditimpa dengan penganiayaan".

Dalam mengakhiri ucapannya, Abu Bakar R.A berkata “Taatlah kepadaku selagi dan selama aku mentaati Allah dan Rasul-Nya; dan andainya aku ingkar kepada Allah dan Rasulnya maka terluputlah ketaatanmu kepadaku. Bangkit, dan tunaikanlah solat, mudah-mudahan Allah merahmati kamu sekalian".
Adakah mana-mana pemimpin di dunia pada masa kini yang berani menyampaikan ucaptama seperti Saidina Abu Bakar R.A?

Ramai yang berebut-rebut untuk berada di atas, tetapi mereka tidak mengetahui hakikat amanah yang dipikul dan akan dipertanggungjawabkan kepada mereka kelak.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: