30 Julai 2008
Umurku sekali lagi bertambah.
Segala pujian bagi Tuhan sekalian alam yang masih memberi pinjaman kepadaku untuk menghirup udara di bumi-Nya ini.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat dan keluarga yang sanggup mengorbankan kredit dan air liur untuk mengucapkan ‘eid milad kepadaku. Tidak kurang juga ucapan-ucapan yang berserta dengan killer question.
"Dah tua ni..bila nak bina masjid?"
"Cepat-cepat la kahwin tuu…"
Lucu sungguh sahabat-sahabatku. Tidak pernah kering idea dalam bab mengusik.
Apabila menyebut perihal hari lahir a.k.a. birthday a.k.a.‘eid milad, pasti ramai yang terbayangkan kek, lilin, birthday party, makan besar, hadiah dari rakan-rakan dan sebagainya. Tidak salah untuk menyambut ulang tahun kelahiran dengan majlis keraian, tetapi batas-batas Islam mesti dijaga. Islam sangat fleksibel, tetapi tetap ada batasnya.
Perkara pertama yang perlu dijaga ialah niat. Semua perkara bermula dengan niat. Apa-apa majlis yang hendak dilakukan haruslah sebagai tanda syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa yang masih memanjangkan hayat kita. Bukan untuk bermegah atau menunjukkan kemewahan.
Selain itu, batas pergaulan haruslah dijaga jika majlis tersebut membabitkan percampuran lelaki dan perempuan. Pengisian majlis juga haruslah bermanfaat dan tidak melalaikan. Penulis tidak berminat untuk menghuraikan dengan panjang lebar tentang ini kerana rasanya ramai sudah maklum akan perkara tersebut.
Ulang tahun hari kelahiran selalunya disambut dengan kegembiraan. Jarang sekali manusia zaman kini yang bersedih melainkan mereka yang faham akan hakikat sebenarnya kehidupan ini. Tidak salah untuk bergembira pada hari bersejarah anda. Kegembiraan berdasarkan dua hakikat. Kegembiraan sebagai tanda bersyukur dan kegembiraan kerana semakin menghampiri kematian.
Kegembiraan kerana semakin menghampiri hari kematian??
Ya.. Gembira dan sudah bersedia untuk menerima jemputan daripada Malaikat Maut. Bergembira untuk bertemu Ilahi. Ulang tahun kelahiran sebenarnya mendekatkan kita kepada saat kematian yang telah ditetapkan masanya oleh Allah s.w.t. Malangnya, umat masa kini amat takut akan kematian. Jika boleh dibeli dengan wang ringgit, pasti dibeli oleh jutawan dunia. Amat berlainan dengan manusia-manusia terdahulu. Contoh terdekat, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna dan As-Syahid Imam Syed Qutb. Mereka sangat tenang saat menghadapi kematian kerana mereka sudah jelas ke mana perjalanan sebenar hidup mereka. Umat zaman kini telah tenggelam dengan keindahan dunia. Semua harta dan kekayaan dikejar, tetapi tidak jelas ke mana hendak diangkut semuanya.
Saat usiaku bertambah, aku teringat kata-kata Abdullah Bin Mas’ud yang sangat menusuk diriku:
“Perkara yang paling sedih bila tibanya tahun baru adalah umurku bertambah, tetapi amalanku tidak bertambah”
Umurku sudah semakin bertambah,
Semakin dekatlah kepada kematian,
Tetapi amalanku tidak jua bertambah,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan