Selasa, 30 Oktober 2007

Perang di Kolej


Banyak kolej yang saya hadir, pelajar yang mahu kepada Islam asyik berbalah tentang baca Yasin tu syar’ie atau tidak, tetapi mereka ’syok sendiri’. Mereka terlupa bahawa pelajar yang Khamis malam Jumaatnya penuh dengan clubbing adalah lebih ramai dari yang mempertahankan Yasin Khamis malam Jumaat tersebut.

Apabila timbul di internet, atau majalah, isu-isu yang berkaitan dengan MANHAJ, maka kita selalu menemui ulasan bahawa isu ini semakin hangat dibicarakan di kampus! Walhal yang membincangkannya hanya 20% sahaja, sedangkan yang 80% langsung tidak ambil tahu dan lebih berminat untuk bertelanjang. Maksud saya, menelanjangkan diri dari agama, kerana agama amat mengelirukan dalam sehari dua ini.

Kita bincang secara terbuka isu-isu khusus yang hanya layak disertai oleh mereka yang sudah ada asas usrah, kuliah, dan tamrin. Kita sangkakan isu itu besar dan bertaraf nasional. Antaranya adalah isu UMMAH CENTRIC dan JAMAAH CENTRIC. Sedangkan 80% pembaca, pemerhati, dan mereka yang berada di sekitar kampus, tidak tahu hujung dan pangkal perbincangan. Di manakah relevannya masyarakat pelajar seperti ini diajak kepada perbincangan tentang mazhab, salaf dan khalaf, ketika mana mereka sendiri tidak pasti sejauh manakah mereka perlukan Tuhan dalam hidup ini? Sukar untuk saya mengungkaikan soalan tersebut, tetapi saya cuba menyuluhnya dari sudut yang biasa saya gunakan iaitu isu SIKAP.

Ya, guru-guru sama ada yang bermanhaj salaf atau khalaf ramai yang ghairah mengajar fakta tetapi lupa mengajar SIKAP. Akhirnya pendirian salaf dan khalaf tercemar oleh SIKAP yang menjelekkan sama ada oleh guru mahu pun anak muridnya.

Ramai yang bermati-matian mempertahankan hukum Isbal, memakai pakaian di atas buku lali dengan penuh kekasaran dan kesombongan. Mereka terlupa yang kesombongan mereka itu sama seperti golongan bangsawan Arab yang melabuhkan pakaian untuk menonjolkan kekasaran dan kesombongan yang sama. Manhaj bertukar, sikap masih sama.

Manakala di satu sudut yang lain, golongan yang bertentangan pula bermati-matian mempertahankan CARA BELAJAR tetapi tidak mempedulikan HASIL BELAJAR. Kitabnya kena begini, duduknya kena begini, tradisinya kena begini, hasilnya mereka tidak peduli. Malah ada yang belajar zikir khas untuk mempertahankan diri dari Wahabi! Aduh, apakah Wahabi ini sihir dan santau? Saya mengeleng sampai terpeleng.


WARGA SURAU MEMERANGAI USTAZ ‘LAN’

Saya berasa simpati dengan ustaz-ustaz muda yang membimbing Mata Pelajaran LAN di kolej-kolej, khususnya kolej swasta, yang disanggah oleh anak-anak muridnya yang memandang rendah kepada ustaz berkenaan kerana solat Subuhnya berqunut. Saya tidak menokok tambah komentar saya terhadap isu ini tetapi ia adalah hasil pertemuan saya dengan ramai tenaga pengajar kolej yang memohon perkongsian idea bagi menyelesaikan masalah pelajar mereka.

Ketika ustaz-ustaz ini berpenat lelah mencari formula menjinakkan anak murid mereka yang jauh dari agama, mereka terpaksa pula bertempur dengan warga surau yang sangat keras mempertahankan kaedah-kaedah solat yang baru mereka pelajari. Mereka sekali lagi terlupa bahawa 80% pelajar memilih untuk bertelanjang. Menelanjangkan diri mereka dari agama, kerana agama dalam sehari dua ini amat mengelirukan. Siapakah yang mengelirukan 80% pelajar ini? Tidak lain dan tidak bukan, kita sendiri. Orang yang belajar agama tetapi tidak belajar cara beragama.

Suatu ketika, saya amat skeptik dengan istilah ‘BELAJAR KENA BERGURU’ sebab pada masa itu, pelajar yang belajar di universiti disanggah oleh pejuang aliran tradisional bahawa kononnya mereka ini banyak baca sendiri dan tidak berguru. Tetapi saya mahu meminjam kembali istilah berkenaan untuk ditujukan kepada anak-anak muda di kolej dan universiti hari ini yang gurunya adalah buku, internet, majalah dan vcd. Belajar biarlah berguru!

Buku mengajar kita ilmu, tetapi buku tidak mengajar kita cara membawa ilmu. Kita berilmu, tetapi horizon kita di dalam membudayakan ilmu itu ke persekitaran, amat sempit.


TEMPIAS AKHLAK GURU

Saya masih ingat, semasa Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, seorang tokoh tafsir, ditanya oleh anak muridnya tentang satu masalah di dalam Hadith, beliau menerangkannya dengan panjang lebar, tetapi kemudiannya mencadangkan agar soalan itu diajukan kepada rakannya, Sheikh Hammam Saeed yang lebih pakar tentang Hadith. Apabila soalan tentang Tafsir ditanya kepada Sheikh Hammam Saeed oleh anak muridnya, beliau menjawab dengan jawapan yang seluas-luasnya tetapi kemudiannya mencadangkan kepada anak muridnya supaya bertanya kepada Sheikh Solah al-Khalidi yang lebih pakar di dalam Tafsir. Ya, sikap saling hormat menghormati sesama Tuan Guru ini tersimbah kepada saya yang menumpang belajar sedikit sebanyak.

Sheikh Solah juga pernah menegur golongan yang berkeras untuk membanteras ’solat Qabliah Jumaat’. Antara yang saya masih ingat, beliau bertanya, apakah pada hari Jumaat kita digalakkan membanyakkan solat Sunat? Jika ya, maka ketika ‘orang lain’ itu bersolat Qabliah Jumaat, dirikan sahaja solat Sunat secara mutlak, demi dakwah. Tidak perlu menonjolkan ‘kelainan kita’ jika hanya mengundang kemudaratan kepada dakwah.

Semasa saya bertugas di Belfast, jemaah di masjid saya berbalah tentang penyelesaian solat Isyak di musim panas. Pada musim panas, kami menghadapi masalah kerana Isyak yang masuk terlalu lewat, sekitar jam 11:50 malam, manakala solat Fajar pula masuk jam 2:15 pagi. Dalam masa yang sama ada pula beberapa ketika solat Isyak langsung tidak wujud kerana kemerahan cahaya matahari tidak hilang sampai pagi. Saya mengikut fatwa Majlis Fatwa Eropah yang dipimpin oleh Sheikh Yusof al-Qaradawi agar masjid menjamakkan Solat Maghrib dan Isyak. Tetapi ada sekumpulan jemaah di masjid yang menentangnya.

Ketika itu saya berpeluang untuk ke Jordan dan saya mengambil kesempatan untuk mengajukan soalan ini kepada beberapa orang pakar rujuk Fiqh di University of Jordan. Jawapan mereka sungguh mengagumkan saya.

Mereka berkata bahawa setelah Sheikh Yusof al-Qaradawi memberikan fatwa tentang hal ini, maka mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk memberikan pandangan. Apatah lagi Sheikh Yusof al-Qaradawi berada di Eropah dan mengetahui suasana sebenar di sana. Mereka mengingatkan saya supaya menasihati ahli jemaah di masjid saya agar menghormati fatwa Sheikh Yusof al-Qaradawi dan memelihara kesatuan umat Islam di sana.

Ya, akhlak ini tidak mungkin tersentuh dan terserap ke jiwa saya jika saya membina manhaj hanya dengan membaca buku, majalah dan vcd. Keberkatan terhadap proses menuntut ilmu, tersimbah pada yang hadir di majlis ilmu, maka kalau mahu menjadi mukmin profesional, protaz, uspro, ustat (ustaz photostat), tazpro atau apa sahaja, maka biarlah melalui susur proses yang sejahtera.

Dan guru-guru pula jangan sibuk melambakkan fakta semata-mata. Sebaliknya didiklah dan bentuklah sikap anak murid agar bijak ‘membawa agama’. Ketika mengajar, pandaikan orang, jangan hanya tunjuk pandai depan orang.

Jangan lupa, 80% remaja kita mengambil keputusan untuk bertelanjang. Mereka menelanjangkan diri dari agama, kerana agama dalam sehari dua ini sungguh mengelirukan.

Moga Allah mengurniakan tsabat kepada kita di jalan Ghurabaa’!

ABU SAIF @ www.hasrizal.com56000 Cheras 14 Jun 2006

Tiada ulasan: