Rabu, 6 Mei 2009

Akhi Irfan


Surau di kawasan perumahan rumahku telah didatangi oleh seorang 'saudara baru' daripada negeri Borneo. Akhi Irfan namanya. Sudah menjadi kebiasaan di surau kawasan perumahanku, terutamanya pada waktu solat Maghrib atau solat Isyak, akan dikunjungi oleh saudara-saudara baru seakidah yang meminta secebis bantuan daripada ahli qariah untuk meneruskan hidup sebagai seorang Muslim. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh mereka seperti tekanan daripada keluarga, dibuang kerja dan masalah kesihatan.

Di sini aku berminat untuk berkongsi tentang kisah hidup akhi Irfan. Beliau memeluk Islam bersama-sama dengan ayah, ibu & adik perempuan beliau. Ditakdirkan Allah S.W.T., ayah beliau pulang menyahut panggilan Ilahi.

Beliau dengan nekadnya berhijrah ke semenanjung untuk menyelamatkan akidahnya serta akidah ibu dan adik perempuanya. Di semenanjung, mereka bertiga memasuki sekolah pondok untuk mendalami dengan lebih mendalam tentang ilmu Islam.

Beliau hadir ke surau kawasan perumahanku semalam untuk meminta sedikit bantuan bagi melunaskan hutang sewa rumah. Penyewa rumah memberikan tempoh semalam sebagai tempoh terakhir untuk membayar wang sewa rumah yang tertunggak. Beliau bimbang jika tidak berjaya dilunaskan hutang tersebut, mereka akan dihalau dari rumah tersebut dan mungkin akan terpaksa pulang ke negeri asal. Beliau bimbang akidah ibu dan adiknya akan terancam jika berada di sana kerana abangnya masih lagi tidak mendapat cahaya hidayah Islam.

Begitu cekal sekali insan yang bernama Irfan ini. Mungkin beliau tidak menerima ancaman dan gangguan yang lebih hebat daripada saudara-saudara baru lain, namun kecekalannya jauh lebih tinggi berbanding dengan kita yang telah menerima nikmat Islam secara warisan.

Sanggupkah kita bersusah payah berhijrah ke tempat orang untuk menyelamatkan akidah??
Sanggupkah kita menebal muka dan malu untuk meminta secebis simpati daripada orang lain??
Sanggupkah kita mempelajari ilmu agama pada peringkat umur yang agak berusia??

Fikir-fikirkan...

Mengapa beliau terpaksa meminta secebis simpati di surau??

Jawapannya, beliau sudah memohon bantuan daripada baitulmal, tetapi sehingga kini tiada lagi jawapan. Masih lagi dalam proses.

Ni lah masalah yang sering dihadapi oleh saudara-saudara baru. Pengurusan jabatan agama yang kurang cekap dan terlalu berbirokrasi. Akibatnya, Islam yang sebenarnya tidak akan dapat dicerminkan kepada golongan yang baru menerima cahaya hidayah, apatah lagi kepada mereka yang masih bergelap daripada apa-apa sinar. Tidak hairanlah menurut satu kajian, jumlah orang yang memeluk agama Islam hanya meningkat 0.1% sedangkan Orang Islam adalah penduduk majoriti negara ini.

Di mana silapnya??

Bukan pada Islam. Tetapi pada Muslim.

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, 'amil-'amil yang mengurusnya, muallaf-muallaf yang dijinakkan hatinya (dengan Islam), hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan. ( Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". (Surah At-Taubah:60)

Tiada ulasan: