Isnin, 3 Mac 2008

Sukan & Dakwah


Sukan dan dakwah?? Sukan dan Islam??

Pasti ramai yang blur untuk mencari titik persilangan antara keduanya..Sukan yang terkenal dengan suasana yang bising, kekasaran dan penuh dengan maki hamun, mana mungkin akan ada titik persamaan dengan Islam dan dakwah yang lebih sinonim dengan aman, tenang dan tenteram.

Apabila disebut 'orang-orang sukan', pasti gambaran pertama yang terbit ialah seorang yang bengis, kasar, bertubuh sasa dan sukar didekati. Manakala golongan pendakwah pula kebiasaanya seorang yang lemah lembut, mudah tersenyum dan senang didekati. Maka dimanakah titik pertemuan antara keduanya??

Golongan yang 'handal' bersukan amat sinonim dengan gelaran pelajar-pelajar bermasalah di peringkat menengah mahupun IPT. Golongan ini dikenali dengan seluar pendek mereka, rambut cacak, menghisap rokok, lombat pagar dan pelbagai lagi masalah. Mereka juga sering terkandas dalam pelajaran. Tidak hairanlah hampir semua atlit di Malaysia hatta di peringkat antarabangsa, kurang berjaya dalam pelajaran. Tapi bukan semua begitu. Ada juga yang berjaya dalam pelajaran mereka.

Jika kita sedar, sukan sebenarnya adalah satu medium alaf baru yang sangat berpengaruh. Cukup kita mengambil sukan bola sepak sebagai contoh terbaik. Bola sepak merupakan sukan no.1 bagi penduduk di dunia. Kita dapat melihat bagaimana negara Korea Utara dan Korea Selatan yang berperang saban tahun akibat dari pencanggahan dasar politik, dapat disatukan di atas satu padang bola sepak atas platform semangat kesukanan. Kita juga tidak akan melupakan bagaimana pertembungan Amerika Syarikat-Iran pada tahun 1998. Bukan dalam peperangan atau dalam masalah tenaga nuklear, tetapi di dalam Piala Dunia 98 yang diadakan di Perancis. Satu dunia dapat melihat bagaimana pemain-pemain Amerika Syarikat dan Iran berjabat mesra sebelum perlawanan dan penonton kedua-dua negara dapat duduk bersebelahan di dalam satu stadium. Semua perkara ini tidak mungkin akan berlaku jika bukan kerana sukan. Alangkah besarnya pengaruh sukan kepada penduduk dunia. Kita belum lagi membicarakan tentang bagaimana beribu-ribu orang yang sanggup ponteng kerja semata-mata untuk menyaksikan satu perlawanan bola sepak, kisah kematian Andreas Escobar, pertahanan Colombia dan gaya rambut David Beckham, ala mohican, yang digilai ramai walaupun pada dasarnya agak menjelikkan pandangan.

Wahai pendakwah dan penyeru kebaikan, tidakkah kamu nampak titik pertemuan di sini?

Sukan sebenarnya wasilah terbaik untuk berdakwah. Malangnya, ramai yang mengakui dirinya pendakwah sejati, tetapi memandang sebelah mata apabila dikaitkan dengan sukan. Bahkan, apabila diajak untuk turun bersama bersukan, maka ramailah yang menggeleng. Mereka menggagap diri mereka hanya sesuai untuk pergi ke masjid, majlis-majlis ilmu dan usrah. Mereka akan memberikan alasan bahwa mereka tidak reti bersukan, takde masa dan sebagainya. Tidak perlu takut untuk turun bersukan. Orang yang turun bersukan tidak semuanya pandai bersukan. Jika kita lihat kembali sejarah perjuangan Hasan Al-Banna.Bagaimana beliau terjun mencari mad'u hingga ke kelab-kelab malam. Adakah beliau seorang yang pandai menyanyi atau bergelek?

Sukan adalah medan yang luas untuk berdakwah. Di sana terdapat ramai manusia yang memerlukan kamu, penyampai kebaikan. Terjunlah ke dalam masyarakat tidak kira siapa mereka. Mungkin tidak perlu untuk berdakwah secara radikal pada peringkat permulaan. Api yang panas membara tidak akan dapat memadamkan api yang sedang marak. Cukuplah dengan pendekatan dakwah bil hal pada peringkat permulaan. Jika cukup gagah untuk melangkah lebih jauh, tafaddhol. Tunjukkan contoh yang baik apabila bersukan. Berhenti sebelum azan Maghrib atau waktu solat lain, memakai pakaian yang menutup aurat, tidak memaki hamun apabila bersukan, elakkan pergaduhan dan menunjukkan semangat kesukanan. Apabila bercampur dengan mereka yang gilakan sukan seperti ketika menonton perlawanan bola sepak, tunjukkan contoh teladan seperti memakai pakaian yang menutup aurat, tidak merokok dan berhenti menonton dan terus menunaikan solat jika azan berkemundang. Cukup mudah. Tapi sebenarnya kita sudah berdakwah. Seperkara lagi, kita harus juga mengatahui serba sedikit tentang sukan, paling kurang isu semasa tentang sukan. Ia boleh dijadikan modal dan advantange untuk kita tackle mad'u dari kalangan peminat sukan.

Kita boleh menjadikan bekas pemain hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini dan Nor Azlan Bakar sebagai contoh terbaik untuk kita berdakwah. Walaupun mereka berdua merupakan antara flicker dan pertahanan terbaik dalam arena hoki antarabangsa, mereka tetap mengekalkan ciri-ciri seorang Muslim pada diri mereka. Mereka sentiasa menutup aurat dalam apa jua kejohanan yang mereka sertai, malah mengekalkan imej berjanggut yang agak sinonim dengan Islam.

Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk kita berdakwah di dalam sukan. Semuanya atas kreativiti kita untuk menjadikan ia berkesan kepada golongan sasaran seperti apa yang telah dilakukan oleh penyerang utama Mesir dari kelab Al-Ahly, Mohamed Abou Tarika.


Perbuatan ini telah dilakukan oleh beliau di dalam kejohanan Piala Afrika pada 28 Januari yang lepas ketika Mesir menentang Sudan. Selepas menjaringkan gol, beliau mengangkat baju dan mempamerkan slogan simpati kepada penduduk Ghaza. Natijahnya, beliau telah dilayangkan kad kuning akibat daripada kesalahan membuka baju yang mana bercanggah dengan undang-undang bola sepak. Mesir menang 3-0 ke atas Sudan dalam perlawanan tersebut dan Abou Tarika, yang sinonim dengan jersi bernombor 22 di kalangan penduduk Mesir, telah menjaringkan 2 gol daripadanya.

Mesir berjaya mempertahankan Piala Afrika yang telah dimenangi pada edisi sebelumnya setelah menewaskan Cameroon dengan jaringan 1-0 yang mana Abou Tarika merupakan penyumbang gol tunggal dalm perlawanan tersebut. Syabas Abou Tarika dan Mesir!

1 ulasan:

muhammad berkata...

nice artikel sebagaimane cantiknye gambar tu hehe.....tapi lagi bagus kalo letakkan skali contoh2 player bola yg islamik yg sanggup mempertahankan ke"islam"an dieorang walaupon tlh mewakili kelab2 besar sbb example kat artikel ni just hoki player j.....kompem artikel jadi lebih intresting n orang seronok bace espicially football fan....:p