Jumaat, 19 April 2013

Bersugi Menggunakan Tangan Kanan atau Tangan Kiri?




‎عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ: لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , telah berkata: telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: "Seandainya, tidak memberatkanku ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka dengan bersiwak ketika setiap kali bersolat". (hadith riwayat Imam Ahmad).

Bersiwak yakni bersugi adalah salah satu sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم kepada umat akhir zaman.

Ulama' berselisih pendapat tentang cara untuk bersugi, adakah menggunakan tangan kanan ataupun tangan kiri.

Hujah para ulama yang berpendapat  bahawa bersugi menggunakan tangan kanan adalah kerana bersugi itu adalah salah satu ibadah dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Tangan kanan mesti diutamakan daripada tangan kiri.

Manakala pendapat sebahagian daripada para ulama' yang lain adalah menggunakan tangan kiri ketika bersugi, berhujahkan bersugi ini adalah perbuatan yang dilakukan untuk menghilangkan kotoran dan bau pada badan (mulut dan gigi). Tangan kiri mesti diutamakan daripada tangan kanan.






Menurut pendapat Sheikh Saad Bin Turki al-Khathlan hafizahullah, pendapat yang lebih kuat adalah menggunakan tangan kanan apabila bersugi sebelum melakukan apa-apa ibadah (lita'abbudi) dan menggunakan tangan kiri apabila bersugi untuk membersihkan mulut dan gigi (litanzifi).

Allahu'alam.


 (الدورة العلمية الرابعة في المسجد الحرام ,شرح عمدة الفقه لإبن قدامة المقدسي)
(Ad-Daurah Al-'Ilmiah Ar-Rabi'ah fil Masjidil Haram, Syarah 'Umdatul Fiqh Ibn Qudamah) 

Khamis, 18 April 2013

Meraikan Perbezaan dalam Perkara-Perkara Khilafiyyah



Sheikh Dr Umar Saud al-Aidh hafizahullah ketika menerangkan tentang bacaan qunut dan perbezaan pendapat antara ulama'-ulama' muktabar, antaranya perbezaan pendapat Imam Syafie rahimahullah (qunut dibaca dalam solat Subuh secara berterusan) dan pendapat Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah (qunut dibaca ketika berlaku peristiwa tertentu sahaja), telah menegur sikap sesetengah umat Islam yang sanggup tidak solat Subuh berjemaah di masjid semata-mata kerana imamnya bermazhab Syafi'e dan membaca qunut dalam solat Subuh.

Sedangkan, solat berjemaah dan kesatuan umat Islam adalah lebih utama daripada perkara khilaf yang dibenarkan oleh syara'. Sheikh menegaskan bahawa khilaf tersebut adalah bersumberkan nas hadith yang sahih & tiada masalah untuk bersolat di belakang imam yang berlainan mazhab.

Tambah beliau lagi, Ibnu Taimiyyah rahimahullah pernah menyebut/menulis tentang permasalahan anggota yang perlu turun dahulu daripada kedudukan berdiri dalam solat kepada kedudukan sujud, sama ada turun lutut dahulu ataupun kedua tangan dahulu. Ibnu Taimiyyah rahimahullah menegaskan bahawa kedua-duanya adalah sunnah kerana bersumberkan dalil yang sahih. Tiada masalah.

Perkara yang sepatutnya perlu lebih difokuskan dan diberi perhatian adalah tentang umat Islam yang tidak bangun bersolat Subuh atau bangun mengerjakan solat Subuh ketika matahari sudah kelihatan secara berterusan dan tanpa sebarang alasan.

Sungguh indah jika memahami perbezaan perkara yang boleh diperselisihkan dalam kehidupan ini. Masing-masing mempunyai dalil, beramalah dengan yang paling diyakini.

Sungguh indah jika setiap daripada kita mengerti perkara apakah yang perlu diutamakan dalam kehidupan di akhir zaman ini.

Allahu'alam.