Isnin, 23 April 2012

Pendidikan Percuma & PTPTN


Isu Pendidikan Percuma & PTPTN hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Pihak kerajaan melalui Perdana Menteri Malaysia dan Akhbar Utusan mendakwa kerajaan akan terbeban malah jatuh bankrap jika hutang PTPTN dimansuhkan. Menteri Pengajian Tinggi pula mendakwa pelajar Melayu akan terjejas jika pinjaman PTPTN dimansuhkan.

Ketua Pembangkang menjanjikan permansuhan hutang PTPTN jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya ke-13 kelak. Pengarah Strategik PKR datang bersama teori ekonomi dan pengurusan bagaimana untuk melupuskan beban hutang PTPTN, begitu juga dengan Naib Presiden PAS. Bahkan, Naib Presiden PAS tersebut lebih awal menjanjikan penghapusan hutang PTPTN bagi anak-anak Kelantan jika royalti minyak Kelantan diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang sudah termaktub dalam perjanjian.

Melihat kenyataan yang berbeza dan saling bertentangan ini, maka muncul pula golongan pertengahan yang menggangap ini hanyalah mainan politik dan angan-angan kosong daripada pembangkang/mahupun sogokan yang menakutkan daripada kerajaan.

Sebagai mahasiswa, apakah pendirian kita?

Sebelum berbicara jauh, perkara yang paling penting dan utama adalah kita kena bezakan antara pendidikan percuma dan PTPTN. Dua perkara yang berbeza.

Secara peribadi, saya berpendapat pendidikan di Malaysia harus diberikan secara percuma sehingga ke peringkat ijazah pertama untuk semua rakyat Malaysia. Pendidikan peringkat sarjana dan kedoktoran diberikan percuma jika pelajar tersebut melepasi tahap kecermelangan tertentu.

Secara peribadi, saya berpendapat PTPTN tidaklah harus dimansuhkan tetapi harus diubah beberapa  perkara. Jika sistem pendidikan percuma berjaya dilaksanakan, PTPTN akan menjadi tabung atau 'sumber' kewangan untuk mereka yang tidak berkemampuan bagi menyara kos hidup seperti makan minum dan lain-lain.

Kita harus mengakui bahawa tidak semua keluarga di Malaysia mampu untuk meyara hidup seharian dengan selesa. Masih ramai yang mengikat perut untuk meneruskan hidup. Bantuan PTPTN dilihat mampu untuk menjadi alternatif kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Apa yang perlu diubah daripada PTPTN adalah caj tambahan daripada pinjaman PTPTN tidak perlu dikenakan. Peminjam hanya perlu membayar mengikut jumlah yang dipinjam sahaja. Pinjaman kerajaan negeri seperti Negeri Selangor dan Kelantan boleh melaksanakannya, kenapa tidak bagi pengurusan PTPTN?

Saya juga berpendapat cara pembayaran balik PTPTN haruslah diubah. Peminjam hanya perlu membayar apabila sudah mempunyai pekerjaan. Kadar pembayaran pula mestilah pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan peminjam.

Hadiah saguhati and intensif haru diwujudkan dan diberikan kepada mana-mana pelajar yang cemerlang, baik buat mereka yang meminjam PTPTN mahupun tidak. Ia akan menggalakkan para pelajar untuk lebih berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. 

Saya amat terkejut apabila mendengar dan membaca kenyataan Perdana Menteri Malaysia,Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pengajian Tinggi. Mereka memberikan sebuah gambaran yang sangat buruk jika hutang PTPTN dimansuhkan.

Memansuhkan secara tiba-tiba hutang PTPTN adalah suatu yang amat mustahil, namun melihat kepada cara kerajaan menguruskan wang dan harta rakyat, sebenarnya ia bukanlah suatu yang mustahil.

Pelepasan hutang sebanyak kira-kira RM589 juta kepada Tan Sri Tajudian Ramli dan pemberian pinjaman sebanyak hampir RM250 juta kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil adalah dua contoh cara pengurusan kerajaan yang membimbangkan. Kronisme, ketirisan dan rasuah yang sekian lama menjadi amalan pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada yang atas hingga ke bawah adalah perkara sebenar yang membebankan dan merugikan negara.

Perkara yang paling pokok yang perlu diubah adalah cara pengurusan pemerintahan. Ia tidak akan menjadi satu isu jika kerajaan memang benar-benar melaksanakn good governance, namun masih belum mampu untuk memberikan pendidikan percuma. Ketika itu, menjadi kewajipan keapda rakyat untuk bersama kerajaan dan membantu meringankan beban kerajaan.

Andaikata ditakdirkan Allah S.W.T. bahawa Pakatan Rakyat memerintah Malaysia selepas PRU ke-13 nanti, laksanakanlah good governance terlebih dahulu. Jika mampu untuk melaksanakan pendidikan percuma secara keseluruhannya, maka laksanakanlah. Jika tidak mampu, maka laksanakanlah secara berperingkat dan setakat termampu.

Andaikata kerajaan sekarang ditakdirkan Allah S.W.T. untuk terus memerintah Malaysia, berubahlah dan sedarlah bahawa kuasa adalah amanah. Laksankanlah good governance untuk kebaikan rakyat yang menjadi tanggungjawab anda.

Kepada para penghutang PTPTN, lunaskanlah hutang anda kerana hutang tersebut tetap menjadi tanggungjawab kamu semua yang akan disoal kelak. Berdoalah bahawa pemerintah yang memerintah Malaysia kelak adalah pemerintah yang adil lagi soleh, lantas menghilangkan bunga terhadap hutang atau mengurangkan kadar hutang, bahkan jika bermampuan, memansuhkan hutang kamu.

Allahu'alam.





4 ulasan:

Cheqno berkata...

Saya sependapat dengan anda,
http://cheq-ambo.blogspot.com/2012/04/kami-bukan-alongkami-cuma-mau-tolong.html

عبد الرحمن بن العزمي berkata...

Setuju dengan Khairee Shahdila.. semua itu adalah amanah yang akan disoal kelak..kadang2 para pelajar terlupa daripada mana datangnya sumber wang tersebut

Mengharap RedhaMu berkata...

alaaa....dah nama pun pinjaman kan?? bayor jerlah balik. Orang Melayu ni memang tak sedor2....abih tuh kalau tak bayor macam mana orang lain nak guna duit pulak untuk belajor...
Kalau semua nak Free boleh....tp semua gaji sama...tukang sapu sampah sama dengan gaji pengarah....tukang angkat sampah sama dengan gaji Menteri...boleh??? dah semua ada Degree free....so tak payah lah nak pilih2 keje....dah semua gaji sama....tak gitu???
usah terlalu taksub terhadap sesuatu sehinggakan tidak memikirkan yang belakang. Maka fikir2kanlah.....

عبد الرحمن بن العزمي berkata...

Mengharap Redhamu..dlm artikel ini, mmg ditekankan utk byr hutang..hutang ttp hutang..cuma perkara lain yg perlu dilihat dan dimuhasabahbersama adalah cara pengurusan wang negara kerana ia memberi banyak kesan kepada banyak sektor, termasuk sektor pendidikan..jika pemerintahan telus telah dilaksanakan tanpa sebarang pembaziran,namun masih belum mampu untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, ketika itu laksanakanlah setakat yang termampu..