Selasa, 11 Ogos 2015

Keimanan Anak-Anak 'Utbah bin Rabi'ah


'Utbah bin Rabi'ah adalah antara ketua Kaum Musyirikin Mekah yang sangat memusuhi kerja-kerja dakwah Nabi صلى الله عليه وسلم)) dan para pengikut Baginda di awal kebangkitan Islam. 'Utbah telah mati terbunuh dalam peperangan Badar. Sebahagian besar daripada anaknya memeluk Islam dan menjadi antara pembela agama Allah. Antaranya ialah:

1. Abu Huzaifah. Beliau merupakan antara sahabat Baginda yang awal memeluk agama Islam di saat ayahnya adalah penentang utama Baginda. Beliau telah berhijrah bersama isterinya ke Habsyah dan Madinah akibat tekanan daripada ahli keluarga. Beliau telah syahid dalam peperangan Yamamah menentang Musailimah al-Kazzab.

2. Ummu Aban. Beliau merupakan isteri kepada sahabat Baginda, Aban bin Sa'id bin al-'As.

3. Hindun. Beliau merupakan isteri kepada Abu Sufyan bin Harb dan ibu kepada Mu'awiyah. Menyertai kaum Musyirikin dalam peperangan menentang kaum Muslimin sebelum pengislamannya selepas pembukaan kota Mekah. Selepas pengislamannya, Hindun menyertai kaum Muslimin dalam peperangan memerangi kaum Kuffar seperti dalam peperangan Yarmuk.

4. Fatimah. Memeluk agama Islam bersama Hindun selepas pembukaan kota Mekah. Antara suami beliau adalah sepupu Baginda, 'Aqil bin Abi Tolib.

5. Abu Hasyim. Memeluk agama Islam pada pembukaan kota Mekah. Meriwayatkan beberapa hadith dari Baginda.

Maha Suci Tuhan Yang Maha Berkuasa  yang telah mengurniakan hidayah kepada insan-insan yang dikehendakiNya. Walaupun ayahnya seorang yang tegar menentang Islam, ia tidak menghalang cahaya Islam menembusi rumah-rumah mereka dan menusuk ke dalam jiwa anak-anak mereka.

Tiada ulasan: