Rabu, 28 November 2012

Bolehkah Orang-Orang Yang Dizalimi Berdoa Atas Kezaliman yang Menimpa Mereka?





 Hangat dikatakan kini tentang doa kepada orang yang zalim. Adakah ia dibolehkan ataupun tidak. Mari kita selak beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam sirah Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat Baginda dan para Tabien serta beberapa hadith Baginda buat panduan kita bersama.

     1. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam pernah disakiti ketika menyampaikan dakwah di Thaif. Nabi tidak berdoa kepada Allah untuk kecelakaan penduduk Thaif ketika berlindung di sebuah kebun walaupun sebenarnya Nabi mampu untuk melakukan demikian. Rintihan Nabi ketika itu:

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhanku. Kepada siapa Kamu serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”(Sirah Nabawiyyah, Mustafa Sibaie, 28/113)

2. Sa’d bin Abi Waqqas radiallahu’anhu telah dilantik menjadi gabenor pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab radiallahu’anhu. Beliau telah dituduh oleh seorang penduduk Kufah yang bernama Usamah bin Qatadah bahawa tidak adil dalam hukuman yang diputuskannya. Akhirnya, Sa’d telah berdoa: “Saya benar-benar akan berdoa dengan tiga doa. Ya Allah, sekiranya hambamu ini (orang yang menuduh) menipu yang dia berdiri hanya untuk tujuan ria’ dan mendapat nama, maka panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kefakirannya dan timpakanlah dia dengan pelbagai ujian”. Lelaki yang menipu itu akhirnya telah berusia terlampau lanjut tetapi masih lagi mengorat dan mengacau anak-anak gadis. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, hadis ke-762)


3. Sahabat Nabi bernama Sa’id bin Zayd bin ‘Amr bin Nufayl radiallahu’anhu  telah dituduh oleh seorang wanita yang bernama Arwa bahawa beliau telah merampas haknya lalu Sa’id berdoa “Ya Allah, sekiranya wanita itu menipu, maka butakanlah matanya dan jadikanlah kuburnya di dalam rumahnya”. Wanita itu akhirnya telah buta dan akhirnya ketika dia sedang berjalan, dia telah terjatuh di dalam sebuah telaga yang berada di dalam kawasan rumahnya lalu dia akhirnya mati di dalam telaga tersebut. (Sahih Muslim, Kitab al-Musaqah, hadis ke-4218) 

4. Apabila Hajjaj binYusuf al-Thaqafi membunuh seorang ulama Tabi’in yang bernama Sa’id bin Jubayr secara zalim, al-Imam al-Hasan al-Basri telah berdoa “Ya Allah, wahai tuhan yang melumat-lumatkan orang-orang yang zalim, lumat-lumatkanlah al-Hajjaj”. Akhirnya selepas tiga hari doa kebinasaan itu diucapkan oleh al-Hasan al-Basri, perut al-Hajjaj telah berulat dan membusuk dan akhirnya matinya si pemerintah yang zalim ini (al-Bidayah Wa al-Nihayah 9/9).

Beberarapa Tafsir al-Qur'an dan Hadith Nabi sallahu’alaihi wassalam mengenai doa orang yang dizalimi;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ دُونَ الْغَمَامِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ بِعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ

1. Daripada Abu Hurairah radiallahu’anhu katanya Rasulullah sallahu’alaihi wassalam bersabda: “Tiga orang yang doa mereka tidak ditolak; pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka dan doa orang yang dizalimi. Allah subhana wa taala mengangkatnya di atas awan-awan pada hari Kiamat dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan Dia berfirman: “Demi kemuliaan-Ku pasti Aku akan memberi pertolongan walaupun selepas seketika.” (Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Khuzaymah, Ibn Majah).

2. Abdullah bin Abbas radiallahu’anhu telah berkata:
Bahawasanya ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengutus Muaz Bin Jabal radiallahu’anhu ke negeri Yaman (untuk menjadi Amir dan Qadhi), Baginda bersabda kepada nya: “Hindarilah doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dengan Allah SWT hijab yang mendindingi”.
(Muttafaqun ‘alaihi; Bukhari (no: 1425), dan Muslim (no: 29); Tirmizi dalam Musnad Imam Ahmad, Abu Ya’la &  Dhiya AL-Maqdisi).
3. “Jauhilah doa orang yang dizalimi walaupun ia seorang kafir, kerana doanya tidak terdinding.(Hadith dari Anas Bin Malik radiallahu’anhu,  Tuhfatul Ahwazi Juzu’ 6 ms. 155).

4. Abdullah bin Abbas radiallahu’anhuma dalam menghuraikan ayat 148 surah al-Nisa’, telah berkata: “Allah tidak menyukai seseorang yang mendoakan kebinasaan orang lain melainkan jika orang yang didoakan tersebut menzalimi orang yang berdoa. Maka ketika itu, tidak mengapa yang dizalimi mendoakan kebinasaan orang yang dizalimi”. (Tafsir Ibni Kathir 1/571)

Ringkasnya, orang yang dizalimi boleh berdoa atas apa yang menimpa mereka dan doa mereka sangat makbul. Jika ia mampu bersabar, itu lebih baik, Jika tidak, mereka memang berhak berdoa untu hak mereka yang hilang. Awas, bagi mereka yang melakukan kezaliman. Tiada hijab antara doa orang yang dizalimi dengan Ilahi. Allahu'alam.


*Ada banyak lagi sirah, ayat Qur'an serta hadith Nabi yang berkaitan dengan keadilan, kezaliman dan yang sama waktu dengannya. Hanya dinyatakan sebahagiannya sahaja buat panduan bersama.

1 ulasan:

Srikandi permata berkata...

Allahurabbi..
banyak ibrahnya..
jzkk.