Ahad, 31 Julai 2011

Catatan Des Moines 5


-Bandar Des Moines-


-Rupa bentuk salah satu rumah di Des Moines-

Alhamdulillah, hujung minggu pertama kami di sini terisi dengan aktiviti-aktiviti sehinggakan kami tidak mempunyai masa tidur tengah hari (memandangkan masa malam yang singkat di sini) seperti hari-hari biasa.

Pada paginya, kami membantu mengajar anak-anak Somalia mengenal, membaca dan menghafaz Al-Quran. Pelbagai karenah mereka. Walaupun berlainan warna kulit, namun mereka sangat mesra sehinggakan tak terjawab soalan-soalan yang tidak putus-putus diajukan kepada kami.


-Malt Snookies Shop, kedai ais krim yang sangat santai-


-Ais Krim yang kami nikmati. Sangat Manis-

Selepas Solat Zohor, kami dijemput oleh Amir (warga Bosnia, bekerja dengan ketenteraan Amerika Syarikat) untuk pergi bersiar-siar ke pekan Des Moines. Kami dibawa melihat Des Moines Memorial Park, Bangunan Pusat Pentadbiran Des Moines dan pekan Des Moines. Setelah mengambil isterinya di School of Nursing (kolej kejururawatan), kami dibawa berehat menikmati ais krim di Malt Snookies Shop, sebuah kedai kecil yang sangat santai.


-Bangunan Pusat Pentadbiran Des Moines-


-Tugu Penduduk Peribumi+Penjajah+Pahlawan-


-Bergambar bersama Amir di pintu gerbang bersejarah-


-Tugu Lincoln and Tad-


-Jam Matahari-

Satu perkara telah menarik perhatian kami semasa berada di bangunan Pusat Pentadbiran Des Moines. Kelihatan ramai yang berkumpul ndi suatu sudut dan terdapat seorang yang berucap di hadapan. Lantas, kami bertanya kepada Amir, apa mereka yang mereka lakukan. Amir berkata mereka berkumpul secara aman untuk menyatakan pendirian dan pendapat mereka atas sesuatu isu. Di Amerika Syarikat, perhimpunan terbuka secara aman dibenarkan oleh pihak berkuasa. Masing-masing bebas menyatakan pendapat dan pandangan tersendiri.



Menurut Amir, di Des Moines baru sahaja berlaku perhimpunan yang dilakukan oleh rakyat untuk menyatakan perasaan tidak puas hati kepada Gabenor Des Moines dan perhimpunan itu berjaya. Kami teringatkan nasib rakyat Malaysia yang tidak diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat dan bantahan hinggakan yang hanya memakai baju kuning lagi suci dan bersih pun ditangkap oleh pihak berkuasa. Kasihan rakyat Malaysia!


-Salah satu kedai di dalam pusat membeli-belah Jordan Creek-


-Pasaraya Walmart-

Setelah itu, kami dibawa ke kawasan West Des Moines. Di sana kami pergi ke pusat membeli belah Jordan Creek, seterusnya ke pasaraya paling popular di Amerika Syarikat, Walmart. Di sini kami memerhatikan keberadaan mereka yang bukan penduduk asal Amerika Syarikat (orang Afrika, Pakistan, India, Mexico dan dari negara-negara lain).

Benarlah seperti yang dipelajari di dalam bilik kuliah, negara maju seperti Amerika Syarikat mempunyai masalah diabetes dan obesiti yang serius. Sepanjang pemerhatian kami di Walmart, hampir 2 orang daripada setiap tiga orang penduduk Amerika Syarikat mempunyai masalah obesiti. Sesetengahnya mempunyai berat badan yang sangat besar sehinggakan kelihatan mereka terseksa ketika berjalan. Harap-harap kemajuan yang dikejar di Malaysia tidak dibawa bersama masalah-masalah kesihatan seperti ini.


-Rumah Amir-

Terakhirnya, kami dibawa ke rumah Amir. Di sana kami dihidangkan dengan daging steak bersama dengan kentang, tomato dan roti. Alhamdulillah, sekali lagi kami berpeluang merasai kepelbagaian jenis masakan di sini.


-Hidangan yang perlu kami habiskan-

Yang menyedihkan, pengamalan dan penghayatan Islam mereka amat kurang. Islam hanya pada nama dan pada majlis-majlis tertentu. Gaya hidup, muamalah, gaya pemakaian sudah jauh dari apa yang Islam gariskan. Malaysia ke arah itu. Kita semua bertanggungjawab untuk membetulkan langkahan ini.


-Memperdengarkan laungan azan dan iqamah ke telinga kanan dan kiri bayi Muslim ini setelah diminta oleh ayahnya, adik kepada Amir. Kasihan bayi ini, setelah berusia berbulan-bulan baru didengarkan dengan laungan ilahi dek kerana kejahilan orang-orang sebelumnya-

Setakat ini dahulu untuk kali ini.

Selamat menyambut Ramadhan. Kedatangannya sangat ditunggu. Semoga segala urusan kami di sini dimudahkanNYA..


12.07 pm (31/7/2011),
Masjid Noor,
1117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.

Tiada ulasan: