Rabu, 16 Februari 2011

Inikah Kita Di Hadapan Allah?




"Ustaz, saya kerap tak khusyu' dalam solat saya, walaupun saya faham ketika solat saya berhadapan dengan Allah SWT."

"Cuba ustaz beri sebab yang paling jelas agar saya dapat faham." Demikian permintaan seorang peserta Kursus Penghayatan Solat kepada saya.

Agak sukar juga untuk memberikan satu jawapan memuaskan, mungkin bagi saya ia sememangnya memuaskan hati, tetapi tidak bagi orang lain. Ini kerana asas ilmu seseroang memainkan peranan penting dalam sebarang jenis kefahaman.

Inilah cabaran dalam menyampaikan risalah Islam, jawapan bagi sesuatu isu itu mungkin 'straight forward' boleh diperolehi di dalam al-Quran, bagaimanapun cara menyampaikannya perlu dipelbagaikan. Terutamanya Allah SWT menyebut bahawa:



وكان الإنسان أكثر شيئ جدلا

Ertinya : Dan sesungguhnya manusia itu adalah yang paling banyak memperdebatkan (arahan dan larangan Allah SWT )


Cubaan Saya Menjawab.

"Apa pandangan anta jika ada seorang kanak-kanak berumur 1 tahun dibiarkan berada di hujung cerun bangunan 20 tingkat, apa agaknya perasaan kanak-kanak itu?, agaknya dia rasa takut atau tidak berada di situ?" Tanya saya.

"Sudah tentu dia tak berapa takut ustaz, kita pulak yang takut biasanya" jawabnya dengan yakin.

"Ok, saya nak tanya lagi, apa pula perasaan kanak-kanak tersebut jika dibawa di hadapan seekor harimau yang sedang lapar agaknya?" uji saya lagi.



"Sama je ustaz, dia tak endah pun, silap haribulan... mungkin budak tu peluk je harimau tu" sambil ketawa kecil dijawabnya kali ini.

"Tepat sekali, bagaimana pula jika anta berada depan harimau yang sama? Takut tak agaknya?"

"Mestilah ustaz.." balasnya.

"Anta minat durian tak?" saya bertanya.

"Uii suka sangat tu, favorite saya" tersengeh pemuda itu, nampak lapar terus dia bila sebut nama durian.

"Macam mana respon kanak-kanak umur setahun jika letak durian yang tajam kulitnya itu depan mata dia, dia suka macam anta tak?"

"Tak la ustaz, mana budak macam tu tahu durian tu sedap..susu je yang dia tahu sedap" jawabnya.

Itulah Jawapan

Itulah jawapan bagi soalan anta tadi, anta tanya saya kenapa anta tak khusyuk dalam solat sedangkan anta tahu sedang berada di hadapan Allah SWT.

"Macam mana tu ustaz" berkerut pemuda ini cuba memahamkan dirinya.


Begini..

Kanak-kanak tadi tidak merasa gerun atau takut berada di hujung cerun bangunan tinggi mahupun di hadapan harimau lapar dan juga tidak bergembira sangat bila diberikan durian yang sedap itu.

Berbanding orang dewasa yang apabila diletakkan di cerun bangunan dan di depan harimau lapar, sudah tentu kita berasa takut dan berlari pecut !. Ini kerana ILMU dan KEYAKINAN kita tentang bahayanya keadaan itu. Malah suasana itu sudah cukup menaikkan hormon Adrenaline kita kita untuk bertindak dengan pantas menjauhkan diri dari suasana bahaya itu.

Berbeza kanak-kanak umur setahun tadi kerana dia masih belum cukup ILMU dan TIADA SEBARANG KEYAKINAN tentang erti bahaya di cerun dan depan harimau, malah dia tiada juga ilmu tentang sedapnya durian itu.

Itulah jawapannya, bila kita mengucapkan di dalam doa iftitah kita;

إني وجهتُ وجهي للذي فطر السموات والأرض حنيفاً مسلماً

Ertinya : "Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku di hadapan pemilik langit dan bumi dalam keadaan sebagai seorang muslim yang suci"

Tidakkah kita merasai kehebatan dan kebesaran Allah SWT, yang merupakan pemilik langit, bumi dan segala isinya. Tidakkah kita dapat merasakan kerasnya bentuk 'azab yang boleh diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia dan lemahnya kita untuk menghadapi sebarang bencana tersebut..tetapi mengapa masih lagi kita tidak khusyu dan hormat serta gerun berada di hadapan Yang Maha Berkuasa seperti ini?

Ia tidak lain, tidak bukan..kerana ilmu umat Islam kini tentang kekuasaan Allah SWT dan keyakinannya terhadap dahsyatnya bentuk azab Allah SWT adalah amat cetek, secetek kanak-kanak berumur 1 tahun tadi.

Justeru, bilakah kita ingin menaikkan ilmu kita ke paras ilmu orang dewasa apabila berhadapan Allah SWT?

Kita kerap bersifat orang dewasa dengan menjaga segala macam pergerakkan, protokol dan segala adab bila berhadapan dengan inidividu berpangkat di dunia. Apakah kerana kita beriILMU dan YAKIN bahawa rezeki kita dipegang oleh orang sebegini?.

Benar, Islam amat menggalakkan menghormati orang lebih tua serta ketua kita. Masalahnya bukan disitu; tetapi ilmu, keyakinan dan hormat kita yang sepatutnya diserlahkan apabila berhadapan dengan Allah SWT kelihatan diserap hebat oleh penghuni dunia dan isinya, sehingga yang berbaki untuk Allah SWT adalah sisa-sisa perasaan hati sahaja.

Padahal, seluruh milik mereka adalah sementara dan semua kita adalah amat amat lemah.

Cita-cita mendewasakan iman dan ilmu terhadap Allah SWT ini tidak akan dapat sama sekali dicapai dengan perangai malas membaca dan menghadiri kuliah agama.

Konsert dan akademi di banjiri, web melalaikan ditumpui tetapi kuliah dijauhi. Inikah inidividu yang mendakwa ingin berada di syurga Allah bersama para Nabi dan menikmati nikmat yang tiada tamanya..

Inikah usaha kita untuk memperolehi nikmat berpanjangan akhirat?.

Inikah kita?

Inikah kita bila berhadapan dengan hukuman larangan Allah dari dosa riba yang maha besar serta seluruh larangan Islam yang lain..masih ingin berdebat walaupun sedar, ia hanyalah untuk menegakkan benang basah dan meneruskan bisnes diri.

Sekian

-Ust Zaharuddin Abd Rahman-

Tiada ulasan: