Selasa, 1 Februari 2011

Berorganisasi Umpama Bermain Bola Sepak



Ratusan, malahan mungkin mencapai ribuan buku telah ditulis mengenai cara dan teknik dalam berorganisasi. Pelbagai tips dan formula diberikan oleh pakar motivasi, tidak kira daripada barat, timur mahupun daripada anak tempatan. Pelbagai contoh dan analogi diberikan, bermula dengan Nabi junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W. sehingga kepada Sultan Muhammad Al-Fatih, Mahatma Gandhi, Tun Dr. Mahathir Muhammad, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Bill Gates dan ramai lagi.

Di sini, saya ingin berkongsi apa yang telah pun dinukilkan oleh pakar-pakar motivasi terdahulu, iaitu mengaplikasikan 'tabiat' dalam permainan bola sepak kepada rencah di dalam berorganisasi.

Sukan bola sepak adalah sukan yang tersohor di dunia dan mempunyai peminatnya tersendiri hampir di seluruh pelosok dunia. Ikon dalam bola sepak kebiasaanya menjadi ikon bagi kebanyakan penduduk dunia terutamanya golongan remaja.

Sukan ini dimainkan oleh 11 orang termasuk beberapa orang pemain simpanan. Begitulah juga dalam organisasi. Bilangan mereka yang memegang jawatan/ bertanggungjawab menggerakkan organisasi biasanya di dalam bilangan yang tetap. Pemain simpanan ibarat AJK bawahan/tambahan atau para pelapis yang pada bila-bila masa sahaja bersedia menggantikan pemain utama. Kemampuan pemain simpanan ini seharusnya sama ataupun tidak kurang hebatnya dengan pemain utama. Mereka boleh diturunkan pada bila-bila masa dan bersedia memberikan aksi yang terbaik, bahkan mampu memberikan impak yang besar apabila dimasukkan ke dalam padang. Begitulah juga dalam berorganisasi. AJK bawahan atau para pelapis ini seharusnya mempunyai kemampuan yang sama atau paling kurang bersedia untuk memikul tugas apabila dipinta.

Sudah menjadi lumrah di dalam berorganisasi, pasti ada jatuh dan bangunnya. Presiden tidak selamanya akan menjadi presiden. Exco tidak selamanya berada di posisi yang sama sepanjang masa. Sudah banyak berlaku tragedi di mana mereka yang memegang jawatan/ mempunyai tanggungjawab di dalam organisasi menarik diri ataupun meninggalkan tugas mereka di tengah jalan. Mereka ini ibarat pemain yang tercedera ataupun tidak mampu beraksi mengikut taktik asal. Di sinilah perlunya AJK bawahan atau para pelapis yang bersedia dimasukkan ke dalam kepimpinan organisasi ataupun memegang lebih tanggungjawab untuk mengubah corak dan taktikal organisasi agar ia lebih segar dan mampu berdaya saing.

Bermain bola sepak mempunyai matlamatnya tersendiri, iaitu menjaringkan gol dan menghalang pihak lawan daripada menjaringkan gol. Kesemua pemain yang beraksi di atas padang mempunyai tugas tersendiri untuk mencapai dua matlamat tersebut. Penjaga gol dan pemain pertahanan kebiasaanya bertindak untuk menghalang pihak lawan daripada menjaringkan gol. Pemain tengah akan memainkan peranan untuk membantu mendapatkan gol, di samping menghalang pihak lawan daripada menjaringkan gol. Penyerang pula bertindak untuk mendapatkan gol. Masing-masing mempunyai tugas tersendiri. Kelalaian pada bahagian tertentu akan memberikan kesan kepada seluruh pasukan. Mereka mempunyai tugas yang berbeza, tetapi matlamat akhir yang sama, iaitu mencapai kemenangan.

Begitulah juga dalam organisasi. Sebelum memulakan gerak kerja, pastikan ada visi dan misi yang jelas. Kesemua individu di dalam organisasi mesti jelas tentang ke mana halatuju sesebuah organisasi. Jika diibaratkan dengan bola sepak, visi adalah umpama mencapai kemenangan, manakala misi adalah menjaringkan gol dan menghalang pihak lawan daripada menjaringkan gol. Sungguh mudah dalam malaksanakan gerak kerja jika sudah jelas ke mana ingin dituju dan dicapai. Setiap orang akan memainkan peranan masing-masing untuk mencapai matlamat yang sama. Kecuaian atau kegagalan di satu bahagian di dalam organisasi, boleh melemahkan/merosakkan/meruntuhkan organisasi. Misalnya, kecuaian pada bahagian kebajikan atau sumber kewangan di dalam organisasi, boleh mengakibatkan organisasi tersebut pincang dan lama-kelamaan mungkin boleh meruntuhkan organisasi tersebut. Ringkasnya, setiap orang di dalam organisasi haruslah memainkan peranan di posisi masing-masing secara optimum (dengan pemahaman yang jelas tentang matlamat organisasi) untuk mencapai matlamat yang sama.


Di antara 11 orang yang beraksi di atas padang, seorang daripada mereka adalah ketua pasukan. Ketua pasukan adalah orang yang terpenting di dalama pasukan. Beliau adalah orang yang paling berpengaruh, paling boleh diharap, paling bekerja keras, paling dihormati, mampu memberikan arahan, mampu menaikkan semangat rakan sepasukan dan tidak beremosi. Kebiasaanya, ketua pasukan yang akan mengawal keadaan apabila keadaan di dalam padang menjadi tegang. Dia juga akan menjadi jurucakap pasukan untuk berunding dengan pengadil apabila sesuatu kesalahan dibuat atau memohon sesuatu seperti sepakan penalti atau sepakan percuma, dan beliau juga menjadi jurucakap pasukan kepada media di luar pemainan. Pincangnya ketua pasukan, makan pincanglah pasukan.

Begitulah juga dalam organisasi. Pemimpin terutamanya pemimpin tertinggi adalah insan yang terpenting di dalam organisasi tersebut. Beliau seharusnya orang yang berpengaruh, dihormati dan boleh diharap. Beliau juga merupakan orang yang paling bekerja keras di dalam organisasi tersebut, bukannya seorang pemimpin yang duduk menggoyangkan kaki, hanya menunggu tuaian hasil daripada penat lelah orang bawahan. Beliau juga mampu memberikan arahan, mengagihkan tugas dan mengawal keadaan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku. Apabila melibatkan hubungan luar, pemimpin tertinggi seharusnya menjadi wakil untuk berunding atau sebagainya kerana ia mungkin melibatkan perkara-perkara dasar atau imej organisasi itu sendiri. Pemimpin organisasi juga harus berhati-hati dalam memberi kenyataan kerana setiap kata-kata yang keluar daripada mulutnya akan dinilai oleh orang bawahan, kawan dan lawan.

Di dalam bola sepak, apabila menangnya sesuatu pasukan itu, kemenangan itu adalah untuk satu pasukan, tidak kira sama ada ia pemain utama ataupun pemain simpanan, begitulah sebaliknya apabila mengalami kekalahan. Aplikasi yang sama dalam organisasi. Kejayaan sesebuah organisasi itu sebenarnya adalah kejayaan bersama, bukannya kejayaan individu. No one man show in organization. Apabila berlaku masalah di dalam organisasi, seharusnya setiap individu yang berada dalam organisasi tersebut bertangunggjawab menghadapi dan menyelesaikan masalah tersebut. Bukannya saling menuding jari dan melepaskan diri.

Alangkah indahnya jika semua memandang berorganisasi ini ibarat bermain bola sepak...

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nice~

Tanpa Nama berkata...

nice writing... patut print out n dibacakan di khalayak ramai kot... btw,ko presiden yg best,n of course ko kapten bola yg paling best yg aku penah main bersama...