Selasa, 30 Mac 2010

Isu Semasa...Di Mana Puncanya?


Amat janggal apabila mendengar berita tentang seorang wanita yang terlanjur dan mengandung anak luar nikah buat masyarakat satu ketika dahulu.

Namun, suasana kini sangat berubah. Keterlanjuran hubungan antara lelaki dan wanita sudah menjadi satu berita pasar yang sangat membosankan. Kita mungkin tidak dapat mengeluarkan figur sebenar tentang jumlah mereka yang telah telanjur, tetapi cukuplah kejadian gejala membuang anak luar nikah menjadi bukti yang jelas. Perlu diingat, figur kes anak luar nikah yang didedahkan di dada-dada akhbar amatlah sedikit dengan jumah sebenar kes yang dilaporkan dan amatlah sedikit berbanding dengan jumlah sebenar mereka yang membuang anak dan amatlah terlalu sedikit berbanding dengan jumlah sebenar mereka yang telah berzina.

Mungkin ramai yang terkejut apabila tindakan satu akhbar arus perdana yang memaparkan gambar seorang bayi yang di'buang' di halaman utama akhbar tersebut. Mungkin ramai yang menempelak tindakan tersebut sebagai memalukan dan mencalarkan imej negara dan mungkin menjejaskan reputasi akhbar tersebut. Namun itulah realiti sebenar negara kita sekarang. Sebuah negara 'Islam' yang diperintah oleh seorang yang beragama Islam.

Tindakan tersebut sebenarnya jauh lebih baik daripada memamparkan gambar artis-artis yang memenangi hadiah Oscar, yang sedikit pun tidak menguntungkan rakyat Malaysia, ataupun memaparkan gambar dua orang yang ber'usia' yang tidak mempunyai apa-apa pun pertalian, sakan berpelukan apabila dipertemukan dalam satu majlis, ataupun memenuhkan ruangan akhbar dengan ruangan pemenang hadiah loteri. Apabila media massa banyak memaparkan perkara-perkara di seperti atas, ia sebenarnya menggamparkan bagaimana keadaan sosial di negara tersebut.

Apabila gambar-gambar anugerah muzik dan perfileman ataupun gambar artis banyak mewarnai media massa, ia sebenarnya menggambarkan budaya hedonisme menjadi anutan utama di sesebuah negara tersebut. Apabila gambar insan-insan yang bukan mahram bersentuhan banyak terpampang di dalam akhbar, ia mengambarkan pergaulan bebas menjadi budaya utama di negara tersebut. Apabila keputusan perjudian banyak dimuatkan di dalam akhbar arus perdana yang majoritinya adalah pembaca Melayu (Orang-orang Cina dan India lebih cenderung membaca akhbar bahasa mereka atau bahasa Inggeris), ia sebenarnya menggambarkan orang Melayu yang kebisaanya sinonim dengan Islam (boleh pakai lagi ke sekarang?) amat ramai yang terlibat dengan najis judi yang secara terang telah diharamkan di dalam al-Quran.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Maidah:90)
Kini kecoh pula dengan isu untuk meyediakan rumah perlindungan bagi ibu yang terlanjur/anak luar nikah. Rasionalnya, untuk memastikan tiada lagi kes membuang anak. Niat yang murni. Satu cadangan yang bernas. Malangnya, tidak ramai yang menyedari apakah 'real problem' bagi isu ini. Kes membuang anak adalah 'presented problem' kepada 'real problem'. Sampai bila kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini jika hanya merawat 'presented problem'. Isunya seperti isu memberi jarum percuma kepada penagih dadah yang pernah hangat diperkatakan satu ketika dahulu. Natijahnya, bilangan penagih dadah dan penghidap HIV tidak pernah berkurang.

Diri ini tidak menolak cadangan untuk mewujudkan rumah perlindungan tersebut, namun apa yang lebih utama adalah merawat 'real problem' kepada isu ini, bukan hanya menumpukan kepada 'presented problem'.

Apakah 'real problem' kepada isu ini?

Sistem pemerintahan dan sistem pendidikan yang tidak bersandarkan kepada Islam sepenuhnya (hanya mencelup sistem Islam) adalah 'real problem' kepada isu ini. Ia akan membawa kepada masalah dalam memahami dan menghayati ajaran Islam, mencabut rasa untuk mengamalkan Islam, seterusnya mencari cara hidup selain daripada Islam sebagai kiblat yang membawa kepada masalah gejala sosial dan hedonisme, dan barulah sampai kepada masalah pembuangan anak.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam dengan sepenuhnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata". (Surah al-Baqarah: 208)
Sungguh malang apabila tidak ramai yang memahami (atau buat-buat tidak faham) apakah masalah utama di sebalik masalah-masalah yang melanda negara kita dan negara Islam seluruh dunia amnya. Adakah mereka buta, bisu dan tuli dalam mengerti hakikit ini?

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai". (Surah al-A'raf: 179)

Ayuh mari kembali meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya. Setiap daripada kita pasti akan disoal kelak tentang apa yang telah diusahakan.

Apakah yang kita telah lakukItalican untuk Islam?

Sudah cukupkah dengan usaha kita sekarang?


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-