Isnin, 27 April 2009

Siapa Sebenarnya Yang Menderhaka??


Sejarah telah membuktikan bahwa penderhakaan terhadap Sultan/Raja Melayu pernah berlaku di tanah air ini pada suatu ketika dahulu. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim sebagai Sultan Kelantan pada tahun 1993 harus dijadikan iktibar. Pihak UMNO cuba untuk membangkitkan isu yang sebenarnya mereka telah lakukan pada suatu ketika dahulu malah lebih 'menderhaka'.

Tradisi feudal memang menebal dalam UMNO
kerana dahulunya UMNO dipimpin oleh tokoh-tokoh yang dahulunya lahir di tepi pagar istana. Sebut sahaja siapa pemimpin UMNO pada 1940-an dan 1950-an, hampir semuanya aristokrat melayu yang berpendidikan sekular. Orang-orang melayu kekampungan yang menjadi penyokong kerana satu sebab iaitu bencikan penjajah. Sedangkan para pemimpin mereka adalah anak didik British yang pada mulanya bangkit menentang Malayan Union kerana terkejut setelah punca kuasanya (istana) cuba dimandomkan oleh penjajah.

Atas slogan 'Hidup Melayu' pemimpin UMNO membakar sentimen rakyat, agar mereka terus berkuasa. Lihatlah mengapa Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan beberapa pertubuhan lain meninggalkan UMNO selepas itu, kerana mereka bukan mempertahankan raja melayu, tetapi mempertahankan kuasa yang diperolehi dari raja melayu. Setelah mendapat kedudukan, UMNO telah mencadangkan supaya seorang melayu (Dato' Onn Jaafar) dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi iaitu jawatan kedua tertinggi di Malay waktu ketika itu - lebih tinggi dari raja-raja melayu.

Apabila raja melayu diketuai Sultan Badlishah dari Kedah menolak cadangan UMNO, Dato' Onn dan para pemimpin UMNO secara terbuka melakukan derhaka dengan cara menghina, mencerca dan mengkritik raja-raja melayu. Bahkan UMNO pernah menggugut untuk mempengaruhi rakyat untuk menjatuhkan raja-raja melayu. Kenapa? Kerana mereka tidak mendapat kuasa yang diidamkan. kerana 'berbulu' dengan sikap Dato' Onn inilah, maka seorang putera dari istana Kedah (adinda Sultan Badlishah) dicalonkan sebagai Presiden UMNO pada 1951.

Selain Tuanku Abdul Rahman Ibni Sultan Abdul Hamid yang menjadi Presiden UMNO kedua, UMNO juga pernah mengangkat beberapa tokoh istana sebagai pemimpin mereka. Antaranya yang terkenal adalah Tengku Abdullah Ibni Sultan Ibrahim dari Kelantan yang lebih dikenali Tengku Besar Indera Petra. Beliau dilantik sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kelantan bagi menggantikan Tan Sri Nik Ahmed Kamil yang menyertai Parti Negara yang mengakibatkan UMNO lumpuh di Kelantan. Setelah itu Bagindalah yang memimpin UMNO Kelantan sehingga kemunculan seorang lagi tokoh istana, Tengku Razaleigh Hamzah pada 1967. Siapakah Tengku Indera Petra ini dalam sejarah istana.

Tengku Indera Petra adalah bekas Raja Muda Kelantan yang dilantik pada 25 Oktober 1944. Sebagai seorang yang berpendidikan barat dan pernah berkahwin dengan gadis British, Annette pada 1939. Tengku Indera Petra dikatakan sebagai seorang yang agak sosial. Akhirnya pada 1947, telah berlaku krisis dalam istana Kelantan kerana beliau dikatakan menderhaka kepada baginda Sultan Kelantan. Pergolakan keluarga kerana penderhakaan ini telah menyebabkan Sultan Ibrahim murka lalu memecat beliau secara rasmi sebagai Raja Muda Kelantan pada 1 Februari 1948.

Kemurkaan ini tidak terkawal lagi sehingga memaksa Tengku Indera Petra melepaskan jawatanya sebagai pewaris takhta pada 25 November 1947, Tengku Indera Petra telah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai raja muda dan keturunannya tidak akan menuntut takhta dan menjadi raja lagi. Lalu baginda Sultan Kelantan menamakan anak keduanya Tengku Yahya Petra sebagai raja muda dan dimaklumkan kepada pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent pada tarikh yang sama. pada hari pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, berakhirlah kedudukan Tengku Indera Petra sebagai raja muda dan terbuanglah dia dari istana kerana menderhaka.

Maka tersebarlah berita kononnya pemecatan ini kerana Tengku Besar Indera Petra tidak disukai oleh British, sedangkan beliau sendiri adalah anak didik British yang tidak pernah tercatat dalam sejarah Kelantan sebagai tokoh anti-British. Bahkan diketahui juga dalam kalangan istana bahawa Tengku Indera Petra adalah anak emas British bahkan isterinya juga orang British. Yang diketahui rakyat ialah tokoh seperti As'ad Shukri Haji Muda (abang Dato' Ashri), Abdul Kadir Adabi, Cikgu daud Jamil, Nik Mat Dato' Amar dan beberapa orang lagi. Tetapi untuk menutup malu dan meyakinkan orang UMNO di Kelantan, maka disebarkan cerita bahawa 'putera derhaka' ini dilucutkan jawatan kerana anti-British.

Disebabkan UMNO Kelantan ketiadaan pemimpin sehingga PAS dengan mudah menguasai Kelantan pada 1959, maka untuk memulihkan semula UMNO Kelantan, lalu ditabalkan 'putera derhaka' ini sebagai Ketua UMNO Kelantan. Tengku Indera Petra turut dicalonkan sebagai wakil rakyat Ulu Kelantan sehinggalah beliau berangkat ke Sri Lanka untuk menjadi duta pada 1971. Selain menjadi duta di beberapa negara seperti Jepun dan Pakistan, Tengku Indera Petra juga pernah memangku jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Dengan isteri keduanya, Puan Sri Zainab Ali, maka lahirlah seorang putera yang terkenal, Tengku Ibrahim yang pernah ditabalkan oleh UMNO Kelantan sebagai 'Sultan Kelantan' pada 1993 dahulu.

Ketika UMNO berusaha memalukan raja-raja melayu pada 1993, di Dewan Rakyat, Dr. Mahathir secara terbuka pada 12 Mac 1993 mengatakan bahawa perlantikan dan pertabalan Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan adalah 'tidak sah'. Seorang lagi juak UMNO, Dato' Seri Shahidan Kassim menambah bahawa 'waris' sebenar kesultanan Kelantan adalah Tengku Ibrahim, anak Tengku Indera Petra. Mereka mendakwa Sultan Yahya Petra yang pernah menjadi Yang Dipertuan Agong tidak layak menjadi raja kerana baginda bukan putera gahara yang beribukan orang kebanyakan. Mereka lupa bahawa ibu Tengku Ibrahim juga orang kebanyakan.

Menyambut penderhakaan Dr. Mahathir dan Shahidan Kassim di parlimen ini, Annuar Musa, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sebagai 'mamanda' kepada 'Sultan Ibrahim' ini mengetuai 'Daulat Tuanku' dalam upacara pertabalan di Ketereh pada 29 April 1993. Walaupun ahli UMNO Kelantan semuanya memberikan 'sembah derhaka' kepada 'Sultan Kelantan' yang ditabalkan oleh orang UMNO ini, tetapi para pemimpin UMNO melaungkan daulat dalam majlis yang lengkap dengan nobat dan tombak berambu itu. Inilah peristiwa penderhakaan terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah orang melayu sejak zaman-berzaman kerana tidak pernah berlaku seorang raja ditabalkan oleh rakyat untuk menghina raja yang sedang berdaulat.

Wahai UMNO, janganlah menimbulkan isu yang akan membuka pekung di dada anda..


*Diedit daripada http://elaksamana.blogspot.com

Tiada ulasan: