Selasa, 2 Disember 2008

Hiburan: Harus Kepada Haram




Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya,  Ihya’ Ulumuddin, ada menyatakan berkenaan halangan yang boleh menukarkan hukum nyanyian yang harus kepada haram:

"Pendengar dari masyarakat awam yang tiada unsur kecintaan kepada Allah tetapi amat menggemari nyanyian dan dia tidak terpengaruh kepada sebarang unsur syahwat. Ketika ini nyanyian yang asalnya haram untuknya akan menjadi harus sepertimana lain-lain perkara harus yang menyeronokkan.

Namun apabila dia menjadikan nyanyian sebagai siulannya dan dia meninggalkan kewajiban yang lain (kemaruk), dia tergolong dari kalangan orang dungu yang tertolak persaksiannya.
Sifat ingin sentiasa berhibur adalah satu jenayah. Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan terus menerus. Begitu jugalah keadaannya dengan sebahagian perkara harus yang lain. Terus menerus melakukannya akan menjadikannya dosa walaupun dalam skala yang kecil.

Contohnya: Sentiasa berhibur mendengar nyanyian dan tarian kaum Afrika dan Habsyi secara berterusan. Ia adalah dilarang walaupun pada asalnya tidak haram kerana Rasulullah sendiri melakukannya.

Antara contoh yang sama dalam hal ini ialah bermain catur yang diharuskan oleh syarak. Namun apabila terus menerus dimainkan, hukumnya akan bertukar menjadi makruh yang amat dibenci. Sekiranya tujuan sesuatu permainan adalah untuk berseronok dan berhibur, ia diharuskan kerana ia dapat merehatkan hati.

Kerehatan hati akan menjadi penawar kepadanya dalam beberapa keadaan, membangkitkan semula semangatnya lalu mendorongnya untuk berusaha lebih gigih sama ada dalam urusan dunia seperti mencari pendapatan dan berniaga, ataupun dalam perkara agama seperti sembahyang dan membaca al-Quran.

Kebaikan sebegini akan dapat dihayati apabila dilakukan berselangan dengan perkara-perkara serius. Ia umpama tahi lalat di pipi yang boleh memaniskan wajah seseorang, tetapi jika bilangan terlampau banyak, wajah akan bertukar menjadi hodoh. Alangkah buruknya jika ia berlaku.

Begitulah juga dalam masalah ini. Kebaikan pada asalnya akan bertukar menjadi buruk kerana terlalu banyak dilakukan.

Bukan setiap perkara elok akan kekal elok apabila dilakukan secara banyak dan berterusan. Begitu juga perkara yang harus. Malah roti adalah harus, namun apabila dimakan secara melampau akan menjadi haram (kepadanya). Begitu jugalah seluruh perkara harus yang lain.
Selain itu, jika pendengar seorang pemuda yang mudah dikuasai oleh nafsu syahwat dan sifat ini lebih menonjol dari sifatnya yang lain. Mendengar nyanyian adalah haram baginya sama ada dia dikuasai perasaan cinta kepada seseorang ataupun tidak. Orang yang sebegini akan bangkit syahwatnya walaupun dengan hanya mendengar sifat rupa paras, pipi, perpisahan dan percintaan dan sebagainya. Dia sentiasa mengkhayalkan imej-imej yang tertentu lalu syaitan meniupkan api syahwat ke dalam hatinya yang akan mendorongnya kepada kejahatan.



Keadaan ini merupakan bantuan kepada kumpulan syaitan dan satu kekecewaan kepada yang menjadi batu penghalang kepada kumpulan Allah.

Pertarungan antara tentera syaitan (syahwat) dan tentera Allah (cahaya akal) akan sentiasa berlaku di dalam hati, kecuali dalam hati yang telah dikuasai oleh salah satu pihak secara total.


Kini, kebanyakan hati telah dimenangi dan dikuasai oleh tentera syaitan. Justeru, pertarungan ini belum selesai. Ia perlu disambung semula untuk menggugat dan menghalangnya dari memperbaharui senjata, pedang dan segala peralatannya.

Bidang
nyanyian adalah merupakan pengasah senjata syaitan kepada orang yang sebegini. Oleh itu dia sepatutnya meninggalkan keseluruhan nyanyian kerana ia akan memudaratkannya".


An-Nablusi dalam kitab yang bertajuk Idohul Aalat berkata:

“Muzik dan nyanyian yang bercampur dengan arak, zina, liwat ataupun bibit-bibitnya seperti sentuhan ghairah, ciuman, pandangan bernafsu kepada bukan isteri, atau sekadar berazam untuk melepaskan syahwat yang diharamkan atau berkhayal melakukannya dan berangan-angan untuk berada dalam majlis sebegitu, semuanya adalah perkara yang diharamkan.

Haram mendengarnya kerana tujuan dan niat tersebut adalah haram. Ia hanya akan mendorongnya melakukan perkara haram yang ada dalam majlis itu, atau perkara haram yang diingininya dalam ilusinya dan dia juga sentiasa membayangkan dia berada di majlis seperti itu. Perkara yang membawa kepada haram adalah haram.


Sekiranya tujuan sebegini merupakan kebiasaan di zaman ini, kita tetap tidak boleh menghukum dengan menggunakan firasah dan jangkaan sahaja lalu memfasikkan seorang umat nabi Muhammad s.a.w.

Kita tidak boleh menghukum seseorang kecuali jika perkara yang haram itu jelas berlaku di hadapan mata di mana sudah tidak ada kemungkinan dan takwil yang lain lagi.


Mungkin ada orang yang akan berkata: Cetusan hati untuk melakukan syahwat yang haram seperti zina, minum arak dan sebagainya (dan ia tidak dilaksanakan) sebenarnya tidak memberikan dosa kepada pelakunya dari segi syarak. Inilah yang diputuskan oleh para ulama’ dalam tajuk-tajuk yang berkaitan dengannya.

Oleh itu, bagaimana pengharusan nyanyian bersyarat dengan tiadanya cetusan hati yang diharuskan oleh syarak ini? Ada contoh perkara ini dari segi syarak?.

Jawabnya: Ya. Cetusan hati sebegini tidak membawa dosa kepada seseorang sekiranya ia terbuku di hati dan hati masih berbelah bahagi sama ada untuk melakukannya ataupun tidak, selagi tidak menjadi satu keazaman. Namun apabila seorang hamba mendengar nyanyian lalu hatinya bergelora, azamnya menjadi kuat dan syahwatnya mula menyala, ketika itu dia tidak berupaya lagi untuk menolaknya. Ketika itu dia akan melakukan perkara yang dimahukan oleh nafsunya itu, sekiranya dia mampu.


Kita ikatkan perkataan `syahwat’ di sini dengan `yang diharamkan’ semata-mata untuk mengecualikan syahwat yang diharuskan. Contoh syahwat yang diharuskan ialah makanan dan minuman halal yang lazat, perkahwinan (persetubuhan) dengan isterinya dan lain-lain lagi.

Cetusan hati kepada syahwat yang halal sebegini sekiranya ia berlaku ketika mendengar nyanyian, tidak akan mengharamkan nyanyian tersebut. Malah nyanyian akan kekal dengan hukum harusnya”

Sumber: kitab Fiqhul Ghina’ wal Musiqi fi Duil Quran was Sunnah. (Feqah Nyayian dan Muzik berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) Oleh Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi.

Tiada ulasan: