Ahad, 28 September 2008

Mengapa Mesti Merokok?



Artikel lama yang berada di dalam simpanan yang menarik untuk dikongsi.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Ummu Salamah telah berkata, “Rasulullah melarang dari mengambil setiap bahan yang memabukkan (muskir) dan yang melemahkan badan (muftir).” (hadith riwayat Ahmad dan Abu Daud)
"Tidak diizinkan melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan" (hadith riwayat Malik, Al-Hakim, Baihaqi, dan Ibnu Majah)

Rokok mengandungi 4,000 bahan-bahan kimia yang toksik dan 37 daripadanya telah dikenal pasti sebagai sebagai bahan penyebab kanser, antaranya ialah aseton (bahan untuk menanggalkan pengilat kuku), asid asetik (cuka), ammonia (bahan pencuci tandas), arsenik (racun), butana (cecair alat pemetik api), kadmium (bateri, karbon monoksida (asap dari ekzos kereta), DDT/dieldrin (alat pembunuh pepijat), etanol (arak), formaldehid (bahan pengawet katak mati), hexamine (alat pemetik api untuk majlis jamuan), hidrogen sianida (racun0, naftalena (ubat gegat), nikotin (bahan pembunuh serangga), asid stearik (lilin), dan toluena (bahan pelarut di industri).

Rokok juga mengandungi sejenis dadah berbahaya. Ia bernama nikotin. BBC News bertarikh 8 Februari 2000 melaporkan, pakar-pakar perubatan dari Royal College of Physicians UK (RCP) meminta agar pengawasan dan tindakan yang lebih tegas diambil untiuk mengawal ketagihan merokok. Mereka mengatakan, nikotin yang terdapat di dalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan heroin dan kokain. Apabila seseorang menghisap rokok, dadah nikotin yang menyerap masuk ke dalam darahnya dan mempengaruhi otak di dalam masa hanya 7 saat dan apabila amalan ini berterusan, KETAGIHAN mengusai dirinya.

Kini terdapat lebih daripada 1.2 billion orang perokok di seluruh dunia. Separuh daripada mereka dijangka akan meninggal dunia sebelum waktu yang sepatutnya akibat menghidap pelbagai penyakit yang berpunca daripada rokok. Mengikut laporan Berita Harian Online bertarikh 3 Jun 1997, pada pertengahan abad ke-20, rokok membunuh lebih 60 juta manusia di negara maju saja. Satu kajian oleh pakar ekonomi Bank Dunia menganggarkan bahawa penggunaan tembakau menyebabkan kerugian global sebanyak AS $200 billion (RM

500 billion) setahun.

Sehubungan dengan ini, Surgeon General Amerika yang merupakan autoriti tertinggi berhubung dengan polisi-polisi kesihatan di Amerika, telah mengeluarkan sebuah laporan berhubung dengan bahaya merokak pada tahun 1964. Di dalamnya dimuatkan rumusan berhubung rokok dan bahayanya berdasarkan lebih kurang 7000 kajian yang telah dilakukan sebelum itu. Antara perkara yang dijelaskan ialah, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh rokok seperti sakait jantung dan barah paru-paru, telah menjadi punca 400 000 kematian di kalangan golongan dewasa di Amerika setiap tahun. Sejak laporan Surgeon General Amerika itu dikeluarkan, dianggarkan 10 juta orang telah meninggal dunia disebabkan penyakit yang berpunca daripada amalan merokak. Antara penyakit itu (di samping barah paru-paru dan penyakit jantung), ialah radang saluran pernafasan (chronic bronchitis), kanser secara umum (kanser mulut, kerongkong, esofagus dan peti suara), di samping kesan ke atas kandungan serta bayi dalam kandungan, seperti kelahiran tidak cukup bulan, risiko keguguran dan bayi mati sebelum atau selepas dilahirkan.

Pada tahun 2004 Surgeon General Amerika mengeluarkan satu lagi laporan berkaitan dengan rokok, iaitu 2004 Surgeon General's Report—The Health Consequences of Smoking. Ia menunjukkan hampir kesemua organ dalam badan manusia menerima padah kesan daripada merokok. Penyakit-penyakit yang dikenal pasti berpunca daripada tabiat merokok telah bertambah berbanding yang sebelumnya. Antara penyakit yang baru itu ialah aneurisme aorta bahagian abdomen (aneurisme ialah bengkak atau gelembung pada pembuluh darah arteri), penyakit selaput mata atau katarak, barah serviks, barah buah pinggang, barah pankreas, barah perut, radang paru-paru (pneumonia) dan radang tisu serta struktur yang mengelilingi gigi (periodontitis) .

Pada tahun 2006 pula, satu lagi laporan dikeluarkan oleh Surgeon General Amerika, iaitu The Health Consequences of Involuntary Exposure to Tobacco Smoke: A Report of the Surgeon General. Ia memfokuskan kesan negatif asap rokok (sama ada yang dihembus keluar oleh perokok atau asap daripada puntung rokok) ke atas mereka yang tidak merokok. Asap ini dikenali juga sebagai secondhand smoke. Laporan ini menunjukkan asap rokok ini mengandungi lebih daripada 250 bahan kimia toksik yang boleh menyebabkan kanser seperti formaldehid, benzena, vinil klorida, arsenik, ammonia, dan hidrogen sianida. Ia menjadi punca kematian kepada ramai bayi dan golongan dewasa yang terdedah kepada asap rokok ini.


Malaysia dan Rokok

Laporan Buletin Umum Pusat Racun Negara, USM (PenawaRacun, bilangan 52, Mac 2004), menunjukkan bahawa 14 peratus daripada remaja di seluruh dunia adalah perokok. Di Malaysia pula lebih kurang 8 peratus daripada 4.6 juta perokok adalah terdiri daripada kalangan remaja. Statistik ini juga menunjukkan bahawa lebih kurang 50-60 remaja mula merokok setiap hari. Kajian juga menunjukkan kadar merokok di kalangan Melayu Islam adalah tertinggi iaitu 27.2 peratus berbanding Cina 16.7 peratus dan India 15.6 peratus. Hal ini dilaporkan oleh bernama.com bertarikh 22 September 2005.


Kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pula mendapati kadar merokok menyebabkan 10,000 kematian setiap tahun. Secara puratanya setiap batang rokok yang dihisap akan memendekkan hayat seseorang itu selama 5 minit. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 25 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan 25 peratus berpunca daripada strok. Negara mengalami kerugian kira-kira RM 20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti kesan daripada merokok.


Tambahan daripada itu pembaziran yang berlaku kerana tabiat merokok amat mengejutkan. Utusan Online bertarikh 25 September 2006 melaporkan, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 3 juta sehari atau RM 90 juta sebulan untuk membeli rokok.


Apakah Hukum Merokok?

Melihat kepada kemudaratan dan pembaziran yang disebabkan oleh rokok, seperti yang dipaparkan sebelum ini, maka tidak ada hukum yang lebih sesuai baginya melainkan HARAM.

Antara ulama yang mengharamkannya ialah, Syeikh Ahmad As-Sanhuri Al-Bahuti dan Syeikh Ibrahim Al-Liqani dari Mesir, Syeikh Abdul Ghaith Al-Maliki dari Moroko, Syeikh Najmuddin bin Badruddin dari Syria, Syeikh Ibrahim bin Jam’an dari Yaman, Syeikh Abdul Malik Al-‘Isyami dan Muhammad bin ‘Alamah dari Mekah dan Madinah, dan ramai lagi.

Dr. Yusuf Qardawi di dalam Fatawa Mu’asirat telah berkata, “Dari penjelasan yang telah diberikan, saya berpendapat, pandangan yang menghalalkan merokok tidak dapat diterima sama sekali malah pendapat sebegitu boleh dianggap sebagai salah. Justeru, kita hanya mempunyai dua pilihan hukum: makruh ataupun haram.. (Berdasarkan kajian terkini), penetapan hukum haram adalah lebih tepat di sudut alasan dan hujahnya”.

Penetapan hukum haram ini sudah pasti ada dalil dan hujahnya. Antara dalil dan hujah itu ialah:

1) Rokok Adalah Khabaith

Allah berfirman: “Dan dia (Rasul) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk (khabaith).” (Al-A’raf ayat 157).

Ayat ini menunjukkan sesuatu yang khabaith (keji) diharamkan oleh Islam. Imam Syafie mentafsirkan khabaith sebagai ‘sesuatu yang diharamkan berdasarkan hujah syariat termasuk sesuatu yang kotor dan keji’. Rokok yang mengandungi 4000 bahan kimia toksik dan beracun sudah pasti termasuk dalam kategori ini.

2) Melemahkan dan Memudaratkan Diri

Merokok melemahkan umat Islam dan membawa kepada maut. Umat yang lemah tidak akan mampu memperjuangkan maruah agama. Tambahan daripada itu mereka yang merokok seolah-olahnya telah membunuh diri mereka sendiri. Allah berfirman: “Jangan kamu membunuh dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepadamu.” (an-Nisa ayat 29) Dalam sebuah hadis, Ummu Salamah telah berkata, “Rasulullah melarang dari mengambil setiap bahan yang memabukkan (muskir) dan yang melemahkan badan (muftir).” (Ahmad dan Abu Daud)

3) Rokok Memudaratkan Orang Lain

Asap rokok mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan orang lain. Nabi bersabda: DILAKNAT seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin dan menipunya.” (Riwayat Tirmizi)

4) Rokok Membawa Kepda Pembaziran

Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 3 juta sehari atau RM 90 juta sebulan untuk membeli rokok dan ini adalah satu pembaziran. Pembaziran ditegah oleh agama. Allah berfirman: “Janganlah kamu membazir kerana sesungguhnya mereka yang membazir adalah saudara-saudara syaitan.” (Al-Isra ayat 27)

5) Merokok Menguntungkan Musuh

Merokok melemahkan badan sekali gus melemahkan umat Islam dari usaha-usaha dakwah dan jihad di jalan Allah. Di samping itu pembelian rokok membantu untuk menjadikan musuh Islam kaya raya. Mereka boleh menggunakan wang itu untuk menindas umat Islam. Allah telah berfirman: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah ayat 2)

6) Rokok Mengandungi Dadah Berbahaya

Rokok mengandungi nikotin dan nikotin sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah heroin dan kokain. Segala yang memabukkan, termasuk dadah berbahaya, diharamkan oleh agama. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah., beliau berkata: “Rasulullah melarang dari mengambil setiap bahan yang memabukkan (muskir) dan melemahkan badan (muftir).” (Ahmad dan Abu Daud)

Justeru, pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah HARAM menurut pandangan Islam.



Oleh Dr. Danial b. Zainal Abidin

M.B.Ch.B., Universiti Iskandariah

Tiada ulasan: