Khamis, 26 Jun 2008

Ajaran Nabi Muhammad S.A.W. Dan Para Anbiya' Sebelumnya



Ijma’ umat Islam sebulat suara telah bersetuju bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah Nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia. Siapa yang tidak mempercayainya, dianggap telah keluar dari agama Islam kerana ia merupakan suatu perkara yang mesti dipercayai (‘aqidah).

Hubung kait antara da’wah Nabi Muhammad S.A.W. dengan da’wah nabi-nabi terdahulu adalah da’wah Nabi Muhammad S.A.W. memperkuat dan memperkemas atau sebagai simpulan dan penutupan kepada da'wah para Anbiya' terdahulu.

"Aku dan para Anbiya' sebelumku ibarat satu bangunan yang dibina oleh seorang lelaki. Lalu, ia membinanya dengan baik dan dipercantikannya kecuali pada tempat sekeping batu pada suatu sudut. Maka orang ramai datang mengelilinginya dan kagum melihatnya. Mereka berkata mengapa tidak diletakkan seketul batu-bata di tempat yang kosong itu. Maka, akulah batu-bata itu dan akulah penyudah segala Nabi" ( Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Da’wah para anbiya’ (dari Nabi Adam A.S. hingga Muhammad S.A.W.) seluruhnya adalah bersendikan dua asas yang penting:
1) ‘Aqidah kepercayaan (‘Aqidah)
2) Perundangan dan akhlaq (Tasyri’)


Da’wah ‘aqidah kepercayaan tidak pernah berubah sejak Nabi Adam A.S hingga Nabi Muhammad S.A.W. Semuanya menyeru kepada kepercayaan kepada Allah Yang Esa, mensucikan Allah dari sifat-sifat kekurangan, percayakan hari akhirat, hisab amalan manusia, syurga dan neraka.

"Allah telah mensyariatkan kepada kamu mengenai urusan agama sebagaimana yang telah diperintahkan kepada (Nabi) Nuh. Apa yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang Kami telah perintahkan kepada (Nabi-nabi): Ibrahim, Musa, Isa ialah: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah-belah" (Surah Asy-Syuraa : 13)

Da’wah perundangan dan akhlaq pula berlainan antara nabi-nabi terdahulu. Setiap nabi menyeru hanya untuk kaumnya sahaja. Ada yang agak keras, ada yang agak sederhana. Contohnya, pengutusan Nabi Musa A.S. kepada Bani Israel adalah untuk bangsanya sahaja. Undang-undang yang agak keras diturunkan ketika itu untuk Bani Israel adalah sesuai kerana mereka merupakan bangsa yang keras kepala.

Da’wah perundangan dan akhlaq yang dibawa oleh Nabi Isa A.S. pula agak sederhana berbanding dengan apa yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. kepada Bani Israel. Apa yang dibawa oleh Nabi Isa A.S adalah membenarkan dan menegaskan apa yang telah dibawa oleh Nabi Musa A.S. di dalam Kitab Taurat mengenai soal ‘aqidah dan kepercayaan tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu kelonggaran dari segi tasyri’.

"Dan juga (aku juga datang kepada kamu untuk) mengesahkan kebenaran kitab Taurat yang diturunkan sebelumku dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (daripada perkara-perkara) yang telah diharamkan kepda kamu..." (Ali 'Imran: 50)

Kesimpulannya, setiap Nabi diutuskan membawa ajaran yang mengandungi ‘aqidah dan tasyri’. ‘Aqidah yang dibawa oleh seseorang Nabi itu fungsinya menguat dan menyokong ‘aqidah para Anbiya’ yang terdahulu. Sedangkan syari’at pula fungsinya membatalkan dan memansuhkan syari’at para Anbiya’ terdahulu dan kadangkala menyokong yang lama (ubah suai ikut kemampuan kaum ketika itu).

Dalil-dalil dari Al-Qur'an yang menunjukkan semua nabi membawa ajaran ‘aqidah yang sama: Surah Al-Baqarah:130-132, Surah Al-A’raaf:125-126, dan Surah Ali ‘Imran: 52.

Sumber: Kitab Fiqh Sirah karangan Dr. Sa'id Ramadhan Al-Buti


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: