Sabtu, 23 Februari 2008

Krisis Minyak yang Mengelirukan


Terdapat pihak yang mengatakan bahawa adalah mustahil untuk menurunkan harga minyak kerana harga minyak sedang meningkat naik di peringkat global. Timbalan Perdana Menteri menyatakan negara akan bankrap jika harga minyak diturunkan....

Untuk kenyataan seperti ini kita patut tanyakan terlebih dahulu. Adakah kerajaan sebenarnya tidak mampu menanggung subsidi?

Berdasarkan laporan Belanjawan 2006, muka surat 10 dan 15, jumlah kutipan kerajaan daripada Petronas adalah RM39.924billion. Jika ditolak subsidi yang ketika itu berjumlah RM 12billion, maka lebihan hasil kerajaan daripada Petronas adalah RM27.924b. Ini adalah kenaikan dana RM12.82billion berbanding tahun 2005. Harus diingat, anggaran ini dibuat akhir tahun 2005 sebelum subsidi minyak dikurangkan pada Februari 2006 sebanyak RM4billion dan keuntungan Petronas mencecah RM76billion. Jadi pertambahan dana tersebut pasti lebih tinggi.

Pernah sekali dipersoalkan ke mana RM500billion duit keuntungan Petronas hilang. Buat pengetahuan semua, Audit Petronas tidak perlu dibentangkan di Parlimen dan Petronas hanya bertanggungjawab pada PM. Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian 'World's Most sustainable And Ethical Companies'. Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol.

Dalam kajian itu, Petronas mendapat 20.15% berbanding Shell 89.01%. Sekitar 1986, terdapat satu Tabung dipanggil Tabung Warisan Petronas. Tujuan tabung ini adalah bagi membantu kerajaan sekiranya kita menjadi pengimport minyak satu hari nanti. Setiap tahun, sebahagian keuntungan Petronas akan dimasukkan ke dalam tabung ini. Soalnya, berapakah jumlah kutipan tabung ini sekarang dan mengapa ianya tidak pernah didedahkan?

Minyak Malaysia antara yang paling berkualiti di dunia. Harga setong minyak Malaysia adalah 1-2 dolar lebih tinggi dari harga pasaran dunia. Katakanlah, harga minyak dunia sekarang USD100 setong. Tapi harga minyak Malaysia yang dijual ke luar negara adalah USD102 setong. Lebihan 2 dollar setong ini sudah menghasilkan keuntungan USD438j @ RM1.49billion setahun. Minyak yang diimport masuk ke Malaysia sebenarnya minyak bermutu rendah. Dengan kata lain, kita ada minyak mahal tetapi pergi jual. Selepas itu, hanya minyak yang kurang berkualiti diberi kepada rakyat. Kitaran penjualan ini menyebabkan peredaran wang USD yang sangat besar. Ini menyebabkan jika sedikit masalah berlaku pada mata wang US, kita turut terjejas sama. Seeloknya, minyak digunakan ke dalam negara dan lebihannya barulah dieksport. Penggunaan NGV sebagai bahan bakar mesti dipertingkatkan bagi mengelakkan penggunaan petrol yang terlalu besar dalam negara. Dengan cara itu, minyak kita tidak akan bergantung pada harga ekonomi dunia lagi.

Penipuan yang kerajaan buat tentang hal kenaikan amat jelas. Kerajaan kata subsidi kena hapus perlahan-lahan sebab nanti tak lama lagi rizab minyak akan habis. Jadi rakyat kena berlatih hidup tanpa subsidi. Tapi berdasarkan jawapan bertulis Perdana Menteri di Dewan Rakyat November 2005, rizab minyak negara adalah 5.29billion tong yang boleh kekal sehingga 2024. Ini belum termasuk penemuan telaga baru seperti telaga Pisagan 1A dan rizab gas lainnya terutama di laut Sabah. Bohong tak bohong. Ingat, jangkaan habis petrol pada 2024 ini dibuat mengambil kira rizab pada tahun 2005 sahaja dan pengeluaran sehari secara purata 750 000 tong. Untuk rekod, pengeluaran sekarang adalah 650 000 tong.

Dan jika diikutkan, kenaikan harga minyak mentah dunia sebenarnya memberikan rahmat besar buat Malaysia. Menurut laporan Asian Development Bank, dalam buku laporan tahun 2007 menyatakan bahawa setiap kenaikan sebanyak USD1 bagi pasaran dunia untuk minyak mentah, kerajaan Malaysia mendapat keuntungan tambahan USD 62juta bersamaan RM210.8 juta. Pada saat minyak kali terakhir dinaikkan RM0.30 satu liter sekitar awal 2006, harga minyak mentah dunia adalah USD70 setong. Kini harganya kira-kira USD96 setong. Bermakna penambahan keuntungan buat kerajaan Malaysia sebanyak USD 1.612

Jadi, mengapakah boleh dikatakan negara akan bankrap jika harga minyak diturunkan?

Sebenarnya, siapakah yang akan bankrap, negara atau individu-individu tertentu??

Ingatlah, kamu akan dipertanggungjawabkan kelak atas segala yang telah dilakukan di atas muka bumi. Allah Maha Mengatahui segala apa yang berlaku tidak kira ia tersembunyi atau tidak.

Artikel ni bukanlah untuk membuka aib mana-mana pihak, tetapi atas dasar kesedaran untuk membuka mata dan minda semua akan hakikat sebenar senario negara Malaysia.

"Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam kebanyakanya di antara jin dan manusia. Bagi mereka ada hati, (tetapi) tidak mengerti dengan hatinya, dan bagi mereka ada mata, (tetapi) tidak melihat dengan matanya, dan bagi mereka ada telinga, (tetapi) tidak mendengar dengan telinganya. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang yang lengah (rugi)" - (Surah Al-A'raaf:179)

Tiada ulasan: