Sabtu, 26 Januari 2008

Penyakit yang Menyerang Masyarakat Kampus


“Dan siapakah yang lebih baik perkataanya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah serta beramal soleh seraya berkata, aku dari kalangan orang-orang Muslim” (Surah Fussilat :33)

Usia remaja merupakan suatu tempoh masa yang amat mencabar. Ramai yang tergelincir daripada landasan sebenar akibat terpedaya oleh usia remaja yang kelihatannya amat indah. Bagi yang berjaya melepasi peringkat usia yang mencabar ini, mereka akan melangkah ke alam baru iaitu alam kampus. Di sinilah setiap remaja yang berjaya melepasi halangan tersebut akan membina impian tersendiri untuk mengusai bidang-bidang masing.

Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat untuk orang-orang Mukmin” (Az-Dzariyaat: 55)

Merujuk kepada tajuk di atas, penulis bukanlah orang yang paling layak untuk memberi peringatan apatah lagi kritikan. Tulisan bukanlah untuk ditujukan kepada individu-individu tertentu ataupun mana-mana organisasi. Tulisan ini hanya untuk membuka minda khususnya mahasiswa untuk terus berfikir dan mengkaji baik buruknya fenomena yang kian ‘menjadi’ di kalangan mahasiswa.

Tidak dinafikan alam kampus merupakan alam yang amat berbeza berbanding dengan alam persekolahan. Di kampus, anda akan bercampur dengan rakan-rakan yang datangnya dari pelbagai latar belakang, loghat dan adat. Satu yang pasti, semuanya adalah insan-insan yang menjadi harapan untuk menerajui negara sedikit masa nanti. Oleh itu, alam kampus merupakan medan terbaik untuk mengasah bakat terpendam yang bakal di‘letus’kan kelak. Salah satu alat peledak yang terbaik adalah dengan berpersatuan. Berpersatuan amat penting bagi mahasiswa yang bakal menghadapi pelbagai cabaran di masa hadapan. Salah satu kebaikan yang sudah sekian maklum apabila aktif berpersatuan ialah ia boleh melatih seseorang itu untuk menguruskan organisasi. Skil dalam menguruskan organisasi amat penting sebagai persediaan untuk menguruskan pelbagai organisasi dalam sektor awam atau swasta apabila seseorang itu terjun ke dalam masyrakat kelak.

Selain itu, berpersatuan juga dapat melatih mahasiswa untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin dari segenap segi termasuk pengurusan masa, cara berkomunikasi dan cara penampilan. Seseorang yang aktif berpersatuan kebiasaanya lebih bijak menguruskan masa berbanding seseorang yang tidak aktif berpersatuan. Mereka lebih banyak belajar dengan sendirinya untuk menyusun jadual hidup seharian berbanding mahasiswa-mahasiswa yang kurang aktif berpersatuan yanag mana banyak menghabiskan masa yang kosong dengan aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah. Berpersatuan juga dapat membantu meningkatkan teknik komunikasi dan bersosial. Dua teknik ini amat penting bagi mahasiswa kerana ia merupakan satu bonus tambahan untuk mendapatkan kerjaya dan meyakinkan bakal majikan untuk mendapatkan kerjaya yang diidam-idamkan di masa hadapan apatah lagi jika mahasiswa tersebut mengambil bidang-bidang yang ‘kritikal’ yang mana memerlukan banyak interaksi dengan masyarakat. Sebenarnya, banyak lagi faedah dan kelebihan yang diperoleh apabila seseorang itu aktif berpersatuan dan rasanya tidak perlu dipanjangkan lagi perbincangan dan penjelasan yang sudah sedia maklum.

Setiap kelebihan pasti ada kekurangan. Tiada yang sempurna dalam hidup ini. Begitulah juga dengan aktiviti yang dinamakan berpersatuan. Berpersatuan tidak selamanya membawa kebaikan. Malah jika disalahgunakan, ia membawa banyak keburukan dan mudarat kepada mahasiswa itu sendiri. Mungkin kita tidak menyedarinya, tetapi sebenarnya mungkin ia telah berlaku dalam diri kita atau masyarakat di sekililing kita.

Terdapat banyak penyakit yang melanda mahasiswa-mahasiswa yang bergiat aktif dalam persatuan. Antara penyakit yang popular adalah penyakit lewat datang ke kuliah. Kita mungkin boleh ber‘husnuzon’ bahawa mereka ini mungkin terlalu sibuk dengan tugasan, tanggungjawab yang berat dan ‘meeting’, tetapi sekadar bertanya, adakah beradab jika kita memasuki kuliah dikala pensyarah sudah memulakan sesi pembelajaran? Jika hendak dibandingkan dengan adab menuntut ilmu golongan yang terdahulu yang mencari guru, memang jauh perbezaannya dengan trend masa kini. Bukan sahaja guru terpaksa menunggu, malah terpaksa memulakan sesi pembelajaran terlebih dahulu kerana terlampau lama menunggu. Lebih memburukkan keadaan, kadang-kadang gejala ini berlaku hampir setiap hari sehingga pensyarah-pensyarah melabelkan mereka sebagai ‘mat lambat’ dan ‘minah lembap’. Sedarlah wahai bakal pemimpin agama dan negara. Sesibuk mana pun, kita tetap ada tanggungjawab yang lebih utama sebagai seorang pelajar dan penuntut ilmu dimana adab menuntut ilmu haruslah ditekankan sebagai wasilah untuk berjaya di kemudian hari. Kita boleh menghebohkan bahawa kitalah orang yang paling sibuk, tetapi kita tidaklah sesibuk pensyarah-pensyarah yang sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan, malahan sesetengahnya terpaksa memandu seawal jam 6.30 pagi tetapi tetap mampu tiba tepat pada masanya berbanding dengan kita yang hanya dipikulkan dengan sedikit tanggungjawab dan hanya perlu berlenggang untuk ke tempat kuliah, tetapi masih lagi lewat. Malulah wahai saudara-saudaraku!!

Kesinambungan daripada penyakit di atas bagi insan-insan yang aktif berpersatuan ialah sering tidak ‘berkesempatan’ untuk menyiapkan tugasan dan assignment yang diberikan oleh pensyarah. Alasan yang sama diberikan. Terlau sibuk. Jika ada yang lebih ‘kreatif’, assignment rakan menjadi penyelamat terbaik untuk dicopy bagi mengelakkan nama seorang ‘pemimpin’ tercemar akibat daripada tidak menyiapakan tugasan yang diberikan. Akhirnya, ‘pemimpin’ yang mendapat nama sebagai seorang yang bijak menguruskan masa antara masa study dan kerja. Padahal, assignment yang dicopy sepenuhnya itu merupakan hasil titik peluh rakan-rakan yang dianggap pasif dan tidak berkebolehan. Begitulah corak kehidupan seharian sesetengah ‘pemimpin’ yang dianggap berkaliber dimata orang ramai..

Selain itu, ‘orang-orang yang sibuk’ ini selalunya juga terkenal sebagai kaki-kaki skip kuliah. Mungkin alasan mereka ini lebih bermaruah daripada kaki-kaki game dan kaki-kaki tidur yang juga sering tuang kuliah. Dengan sehelai ‘excuse letter’ yang dibangga-banggakan, mereka ini tanpa segan silu untuk tidak menghadirkan diri ke kuliah walhal adakalanya tugasan itu hanya tugasan kecil dan tidak perlu disegerakan. Oleh kerana tugasan ini hadir pada masa yang sama dengan masa kuliah bagi subjek-subjek yang kurang diminati dan tidak dianggap penting, memberikan sehelai ‘excuse letter’ bagaikan menyorongkan bantal kepada orang yang mengantuk. Hasilnya, kebanyakannya ‘pemimpin-pemimpin’ ini telah menerima ‘surat cinta’ daripada pensyarah-pensyarah yang tidak tahan dengan tabiat buruk mereka. Wahai pembela agama, janganlah membaluti perkara yang suci dengan perkara yang jijik. Tidak hadir ke kuliah secara kerap atas alasan kerja bukanlah suatu budaya yang harus dicontohi. Malah, ia boleh mendatangkan fitnah kepada individu dan persatuan tersebut.

“ Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan..” (Surah Huud: 114)
Hasil daripada penyakit-penyakit yang disebutkan sebelum ini menyebabkan terhasilnya satu natijah baru yang memberi impak yang lebih besar kepada kehidupan dan masa hadapan mahasiswa. Aktif dalam berpesatuan tanpa langkah yang betul boleh menyebabkan penurunan prestasi belajar. Malah, tidak mengejutkan dan sering berlaku kepada ‘pemimpin-pemimpin’ yang begitu disegani dalam organisasi ditendang keluar daripada universiti. Sesetengahnya mungkin agak bernasib baik kerana hanya dihukum dengan hukuman yang agak ringan iaitu repeat paper. Penyakit ini amat berbahaya kerana pemimpin yang diharap untuk membela agama, negara dan bangsa serta menjadi contoh teladan untuk generasi seterusnya telah terkandas di tengah medan pertempuran akibat daripada salah percaturan. Akibatnya, generasi akan datang akan mengambil contoh-contoh ikutan yang kurang baik sebagai idola mereka akibat daripada ketandusan pemimpin yang berkaliber dalam oranisasi dan akademik.

Kita sering mendengar ceramah-ceramah dan motivasi-motivasi yang mengatakan bahawa menyibukkan diri dengan aktiviti berpersatuan ini dapat mengelakkan penyakit hati yang sering menyerang para remaja. Sebenarnya, berpersatuan juga boleh menyebabkan penyakit hati. Kenapa penulis mengatakan begitu? Penyakit hati merupakan penyakit yang sangat halus yang tidak bisa dilihat oleh mata kasar tetapi panahannya sungguh berbisa. Dimulakan dengan meeting pertama sebagai medan untuk saling berkenalan dan dilanjutkan lagi dengan permainan mata di meeting seterusnya. Apabila bidang kerja masing-masing telah diberikan, mesej-mesej kerja mewarnai dan menghalalkan perhubungan melalui ‘sms’. Perhubungan ini berlanjutan walaupun program yang menemukan mereka sudah lama selesai hingga melahirkan bibit-bibit kasih seterusnya menyebabkan ‘cinta murahan’ mula bersemi. Ini mungkin hanyalah contoh khayalan penulis. Ia mungkin pernah terjadi, mungkin juga tidak pernah terjadi. Mungkin juga terdapat peristiwa-peristiwa lain yang lebih advance dan romantis bagi mereka yang aktif berpersatuan. Maka, akhirnya terhasillah sebuah ikatan ‘kasih sayang’ atas nama ukhuwwah fillah yang dianggap lebih ‘islamik’ dan menurut syarak.

Daripada Abdullah Bin Umar R.A, bahawasanya Rasullulah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah memaafkan bagiku dari umatku akan kesilapan dan kelupaan dan apa yang dipaksakan mereka atasnya”
(Hadith Hasan, diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Majah, dipetik daripada kitab Hadith 40, syarahan Imam Nawawi)

“Hai Tuhan kami! Janganlah Engkau siksa kami jika kami lupa atau kami tersalah” (Surah Al-Baqarah: 286)

Wahai saudara-saudara yang seaqidah denganku, sesungguhnya sesuatu perkara itu boleh berubah hukumnya mengikut keadaan. Aktiviti berpersatuan pada dasarnya adalah suatu yang harus kepada mahasiswa tetapi ia boleh berubah kepada wajib, makruh atau haram. Diharapkan mahasiswa-mahasiswa yang bijak pandai dapat membezakan mengikut awlawiyyat sesuatu perkara tersebut seperti yang telah digariskan oleh Sheikh Yusuf Abdulah Al-Qaradhawi dalam kitab karangan beliau, Fiqh Awlawiyyat. Semoga tulisan ini memberi sedikit manfaat kepada kita yang sering terleka. Jika ia tidak berlaku kepada diri kita, mungkin ada rakan-rakan lain yang memerlukan kesedaran daripada kita. Marilah kita mengorak langkah ke arah pembaikan diri dan diri rakan-rakan.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)…” (Surah Ali ‘Imran:110)

1 ulasan:

Asmaroni Abd Rahman berkata...

hmmm...apa yang boleh saya bagi komen kat sini tak semua student semacam itu, tapi tak saya nafikan lah ada student yang datang lambat ke kelas sebab komitmen dengan persatuan. semuanya depend on their self la cara yang sewajarnya untuk bahagikan masa. macam saya timb presiden persatuan pelajar psikologi kolej tempat saya belajar, alhamdulillah saya masih boleh bahagi masa study dan berpersatuan, for me smuanya depend on our self